~Al-mulk- mengapa ahsanu bukan aksaru?~

Perkongsiaan muslimat semalam membincangkan tentang kelebihan surah Al-Mulk. Hasil cetusan Iffah, maka terbentuklah 1 halaqah. Bila Iffah minta idea untuk perbincangan mengisi waktu antara maghrib dan Isya' itu, ana seakan-akan blur... hihi. Mungkin penat sedikit, sebab petang tu ana berjoging dengan kawan-kawan di varsiti. Sedikit perkongsian ana coretkan di sini kerana ana berasa rugi dan kecewa pulak kerana tak dapat bercakap malam tadi kerana kekangan waktu...( kak dayah cakap banyak sangat lagipun..hehe)


Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.


Ibnu Abbas menceritakan:"Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur.


Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud:

"Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka."


Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain.Diantaranya:


1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk."


2. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."


3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."


4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur."


5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.


6. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga."


Lihat...terlalu banyak kelebihan surah-surah dalam Al-Quran. Ana cuma letakkan 6 sahaja kerana ana ingin fokuskan kepada 1 isu yang kebanyakkan antara kita tak pernah perasan, atau perasan tapi buat-buat tak tahu atau memang tak tahu...



Kalau anda perasan, ayat 2 daripada Surah Al-Mulk bermaksud:

“Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun,”

Perhatikan: “…untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya”

ALLAH menggunakan kalimah ‘ahsanu’(terbaik) dan bukannya aksaru(terbanyak) dalam menyatakan tujuannya menguji manusia.


Kenapa Ahsanu? Kenapa bukan aksaru?


Saya tidak perasan juga awalnya, berkenaan persoalan ini. Selama ini, saya hanya membaca dan mengambil ayat ini sebagai dalil bahawa ALLAH menciptakan kita dengan ujian untuk melihat bagaimana kita melalui kehidupan kita, dan bagaimana kita beramal dengannya.

Tetapi, persoalannya kenapa ALLAH menggunakan kalimah Ahsanu dan bukan aksaru,?

Biasanya, kita akan melihat bahawa orang yang menderma RM1000 lebih pemurah dari orang yang mendermakan RM10 bukan?

Biasannya, kalau kita nampak orang yang solat 20 rakaat tarawih, kita akan katakan dia lebih baik dari orang yang solat 8 rakaat tarawih.

Kita, manusia, biasa mengukur sesuatu itu dengan bilangan. Banyak, maka kita akan katakan itu baik. Sikit, maka kita akan pandang rendah seakan ia tidak bernilai.

Kenapa ahsanu? Kenapa bukan aksaru?

Kalau kita melihat dari segi penerimaan amal, adakah ALLAH menerima amal berdasarkan bilangan, atau berdasarkan bagaimana amal itu dilakukan?

20 rakaat tarawih yang dilakukan secara tergopoh gapah, ataupun tanpa wudhu’, adakah lebih baik dari 8 rakaat yang dilakukan dengan tenang, teratur, dan dengan wudhu’ yang sempurna?
RM1000 yang diderma dalam keadaan terpaksa, atau menunjuk-nunjuk, adakah lebih baik dari RM10 yang didermakan dalam keadaan ikhlas, menderma dalam keadaan tangan kiri tidak mengetahui?

Menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzu’ dalam keadaan tajwid tunggang langgang, tergopoh-gapah, adakah lebih baik dari membaca 10 helai muka surat AL-Quran dalam keadaan tajwid teratur, tenang?


Kadang-kadang, kita rasa berbangga apabila kita dapat bangun qiamullail, dapat puasa, dapat zikir 1000 kali, atau dapat melakukan amal-amal yang kita rasa jarang-jarang kita buat.


“ Banyak juga amal aku” Kita akan rasa begitu.


Tetapi, pernah satu ketika, Rasulullah SAW bersabda di tengah-tengah sahabat-sahabatnya:


“ Akan berlalu di hadapan kalian selepas ini seorang ahli syurga”


Dan berlalulah seorang lelaki.
Esoknya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata yang sama, dan lelaki yang sama juga keluar. Lusanya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata baginda, dan lelaki yang sama juga keluar.


Salah seorang sahabar Rasulullah, mempunyai rasa ingin tahu, apakah amal lelaki itu sehingga dia mendapat ganjaran syurga. Maka dia mencari alasan untuk bermalam di rumah lelaki itu selama 3 hari. Namun, dia tidak melihat lelaki itu bangun mengerjakan qiamullail. Pendek kata, amal lelaki itu tidak banyak, dan tiada pula perbuatan-perbuatan istimewa yang kelihatan pada lelaki itu.


Selepas 3 hari, sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:


“ Aku mendengar Rasulullah SAW menyatakan bahawa engkau ahli syurga, tetapi aku tidak melihat pada engkau ini seorang yang bangun malam bersolat, dan tidak pula aku melihat kau mempunyai apa-apa amal yang istimewa. Maka beritahulah kepada aku, apa yang telah engkau kerjakan?”


Lelaki itu menjawab: “ Aku sebagaimana yang engkau lihat, tiada apa yanng istimewa dan tidak pula banyak amalnya. Tetapi dalam hatiku, tiada sedikit pun rasa hasad dan sangka buruk kepada saudara muslimku yang lain”


Nah, tanpa qiamullail, tanpa zikir banyak-banyak, tetapi hanya dengan itu, dia berjaya mendapat tempat di syurga. Kerana amalnya yang satu itu, ALLAH kira sebagai yang terbaik.

Sebab itu, kita tidak perlu tergopoh gapah dalam memperbanyakkan amal kita.


“ Amal yang sedikit tetapi berterusan itu, lebih baik dari amal banyak, kemudian tidak berterusan”


Hendak menjadikan amal kita sebagai amalan yang terbaik, bukannya mudah. Lebih sukar dari memperbanyakkan amal. Kita perlu menjaga hati, pergerakan, dan tindakan kita dalam amal itu. Hati perlu ikhlas, pergerakan biar teratur, dan tindakan biar cermat.


Sebagai contoh, solat. Solat nampak mudah kan? Hari-hari kita buat. Kalau sehari 5 kali solat, setahun sudah 1825 kali kita solat, itu belum ditambah solat sunat, solat raya, solat jenazah dan sebagainya. Banyak. Tetapi bagaimanakah kita mendirikan solat kita? Apakah kita sudah mendirikan solat dengan cara yang terbaik?


Kita membaca Al-Fatihah tanpa penghayatan, kita bergerak laju dari satu pergerakan ke satu pergerakan. Kadangkala kita bertarung pula dengan masa, hendak habis solat awal. Ada masa kita sengaja pula lewat-lewatkan solat kita. Itu belum dikira lagi khusyuk kita dalam solat, tumpuan kita kepada ALLAH. Hati pula, berbolak balik dari keikhlasan kepada menunjuk-nunjuk.


Tambah pula bila kita ini merupakan seorang imam, dan orang puji pula suara kita sedap dan sebagainya.

“ Maka celakalah orang yanng solat, yaitu oranng-oranng yang lalai terhadap solat mereka”
Surah Al-Ma’un ayat 4-5.


Pokoknya, ALLAH tidak ingin melihat betapa banyaknya amal kita. Tetapi ALLAH hendak melihat bagaimana kita melakukan amal kita.


Seorang yang bergaji RM3000 sebulan, tanpa hutang, lebih baik dari orang yang bergaji RM12000 sebulan tetapi hutang bertimbun keliling pinggang. Seorang yang bergaji RM3000 sebulan, dapat makan nasi, tidur cukup, hidup bahagia, lebih baik dari orang yang bergaji RM12000 sebulan, sempat makan maggi sahaja, tidur tak lena, hidup porak peranda.

“ Masalahnya bukan berapa, tetapi bagaimana”


Bukan banyak itu menjadi ukuran.


Tetapi terbaik itu yang akan mendapat perhatian.


Mari kita perbaiki kehidupan kita.Menjadikan amalan-amalan kita sebagai ahsanu amala(amalan yang terbaik)!

0 comments:

Post a Comment