~Kalau ingin bercinta...~

~Musim cinta?~


Bulan ini merupakan bulan penuh dengan bunga-bunga cinta... benarkah? Orang meraikan cinta pada tanggal 14 Febuari walaupun tahu sejarah di sebalik peristiwa tersebut. Walaupun terdapat beberapa versi yang kita dengar... secara kesimpulannya menyambut Valentine bukanlah budaya orang Islam. Bukan budaya orang beriman. Saya tidak mahu mengulas mengenai versi-versi tersebut tapi saya ingin mengajak anda mengenal CINTA. Maka untuk tulisan kali ini, saya ingin mengubah sedikit gaya penulisannya. Kerana apa? Supaya anda jelas akan point-point yang ingin saya kongsikan.




Dalam soal CINTA, sentiasalah ingat kepada pesan Rasullullah s.a.w;


"Seseorang itu akan dihimpunkan di Mahsyar bersama-sama dengan orang yang dicintainya."


(Bukhari dan Muslim)



"Ada 3 hal yang barang siapa amalkan, maka dia dapat menemukan manisnya iman. Mereka adalah yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi yang lain, mencintai yang lain kerana Allah dan tidak suka kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana dia takut untuk dilemparkan ke neraka."

(Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i dan Ahmad)





Menyelami lautan cinta bukannya mudah tetapi ia perlu untuk bermuhasabah. Kita menyelam untuk melihat keindahan cinta yang tersembunyi dari penglihatan kita untuk memahami hakikatnya yang sebenar. Kita sering kali salah mentafsir cinta... menjadikan CINTA yang asalnya suci, putih, bersih dan bersinar berubah jijik, busuk dan memualkan.



*Apakah cinta suci?



Suci dasarnya didefinisikan sebagai clean, untained (from the religious perspective) atau bebas (dari kejahatan), bersih (dari segi agama); pure, innocent, holy atau kudus, nirmala, divine, sacred atau murni dan clear (jernih)



CINTA itu pelbagai jenis dan tingkat. Yang paling tinggi dan mulia semestinya mahabbatu fillah wa lillah ( cinta kerana Allah dan di dalam agama Allah) iaitu cinta yang membenarkan mencintai apa-apa yang mencintai Allah. Seterusnya CINTA yang terjalin kerana persamaan sikap, falsafah, pegangan hidup, agama dan sebagainya. Jenis yang ketiga adalah cinta yang bermotif: mencintai atas sebab dan maksud yang tertentu.



Jadi adakah CINTA yang ingin kita bina benar-benar CINTA SUCI?



Saya pernah menulis, jika benar CINTA, maka kita tidak akan membawa pasangan kita ke neraka. Kita ingin bahagia bukan sahaja di dunia tapi berkekalan hingga ke akhirat. Hingga ke gerbang syurga. Lalu apakah CINTA itu benar-benar suci andai bayi-bayi dibuang di tong-tong sampah? Dibakar, ditanam dan ditinggalkan di merata-rata. Sudah jelas-jelas perbuatan yang Allah murka membawa dosa, menghumban ke neraka. Maka sucikah CINTA itu? Kita silap menyemai CINTA. Lalu jadilah ia busuk ,memualkan dan mengorbankan jiwa-jiwa yang tidak berdosa.




*Kita dimotivasikan dengan CINTA bertaraf PALSU.



Setiap hari berlalu tidak akan sunyi dengan cinta. Buka sahaja televisyen, semuanya cerita cinta. Hatta iklan Ribena juga diselit cinta dengan lemon. Buka majalah... cerita artis bercinta, peluk sana sini. Pergi kedai buku, bersusun-susun novel-novel cinta. Dengar radio semua lagu-lagu cinta, tangkap jiwang dan layan perasaan.




Persoalannya adakah CINTA yang kita 'makan' setiap hari itu CINTA YANG MENGIKUT SYARA'? Saya berani kata 'TIDAK'... Kalau benar ikut landasan syara' kita takkan lihat pasangan kekasih pegang-pegang tangan tanpa sebarang ijab dan kabul. Kita tak lihat penzinaan, kita tak lihat orang sanggup lari dari rumah hanya kerana cintanya tak direstui ibu bapa. Lebih malang, kita dikaburi dengan tajuk-tajuk cerita yang kononnya Islamik. Tasbih Cinta... Abadi Sebuah Cinta tapi nilai islam tidak langsung ada. (kecuali Ketika Cinta Bertasbih=D)



Kalau ada cerekarama, novel, samarinda tentang kehidupan suami isteri, kita tak pernah disajikan dengan cinta yang membahagiakan, mawaddah dan rahmah sebaliknya cerita 'baling pinggan', 'isteri tinggi suara, pantang ditegur', dan dedah aurat yang banyak.





Yang kita lihat, kita dengar setiap hari itu secara tidak langsung meresap dalam pemikiran. Mewujudkan satu pandangan alam (worldview) dan mendorong kepada pengamalan. Bila jadi budaya, orang tidak kisah lagi... tak pandang bahawa ia akan jadi barah dalam masyarakat. Tak kisah anak sendiri keluar berpeleseran malam-malam, bawa kekasih pulang ke rumah. Jarang sekali kita menjadikan sirah sebagai buku panduan cinta kita. Lihatlah Rasullullah.




Buanglah segala cereka rekaan, tinggal semua novel-novel cinta khayalan... bakar semua pengaruh-pengaruh cinta palsu ini. Bukannya Islam tidak memberikan alternatif untuk bercinta, cuma kita yang malas mencarinya. Bertambah cinta rosak dan busuk, tidak harus menjadikan anda terikut-ikut sehingga menjadikan cinta anda turut rosak dan memualkan.




*Sucikan CINTA bersihkan HATI



Sesiapa pun yang anda cintai itu, biar kecintaan anda kepada Allah tetap mengatasi dia. Jangan menjadi buta kerana cinta. Seseorang itu, bila hatinya telah penuh dengan cinta... dia tidak nampak untuk bersyukur kepada Allah yang menetapkan pertemuan. Bila sudah terlalu mengagumi, terlalu menyayangi dan mengingati kekasih hati, jiwanya longgar kepada banyak perkara.



Letakkan heiraki kecintaan anda yang tertinggi kepada Allah. Rasullullah s.a.w sendiri paling mencintai Aisyah r.h. tapi kecintaan itu tidak dapat menandingi Siti Khadijah. Isteri-isteri baginda yang lain turut dicintai tetapi semua yang dicintainya tidak mampu menandingi cintanya kepada Allah.




"Andaikata aku boleh mengambil seorang kekasih daripada salah seorang penduduk bumi, maka aku akan jadikan Abu Bakar sebagai kekasihku."



Nampakkah anda heiraki cinta junjungan mulia itu?




Tetapkan matlamat anda untuk bercinta. Matlamat yang bagaimana? Matlamat cinta untuk ke gerbang perkahwinan bukan hanya suka-suka. Matlamat untuk Allah redha, Allah pandang dengan rahmat dan kasih sayang.




Perlu beza antara SUKA dan CINTA. Apakah anda benar-benar cinta dia atau hanya sekadar suka. Suka tidak akan kekal lama. Maka bila yang suka itu bukan cinta tinggallah sebuah perhubunga yang sia-sia. Kalau anda tak nampak matlamat dan masa depan anda dalam percintaan itu, lebih baik jangan cuba-cuba bercinta. Takut nanti jiwa merana, tubuh badan binasa. Cinta kita terlalu mahal harganya untuk dibazir sia-sia.



*Kalau ingin bercinta



Tak ada siapa larang anda bercinta. Cinta itu bukan jenayah dan anda bukan pesalah kalau merasakan cinta. Sememangnya perasaan cinta Allah ciptakan menjadi satu dengan manusia. Manusia yang tanpa cinta jadinya tidak lengkap, tidak sempurna tetapi tiada manusia seperti itu. Boleh bercinta tapi perlu jaga batasannya.





Perkara utama ialah tingkatkan keilmuan. Dengan ilmu itulah yang bakal menyelamatkan anda dari jurang kecelakaan. Bukan bermakna anda perlu cari ilmu bila sudah jumpa pasangan yang sesuai... mencari ilmu perlu sepanjang kehidupan. Dengan ilmu itulah yang bakal menyelamatkan kita dan pasangan kita dari terhumban ke neraka, gapai redha Allah. Saya tidak nampak apa-apa masalah tentang cinta... yang bermasalah adalah kita. Manusia.




Kalau ingin bercinta yang sebenarnya, selidik latar belakang si dia. Kalau sudah benar-benar suka, buat istikarah. Jika sudah yakin maka jumpa ibu bapanya, buat cara yang Allah redha. Kalau mahu dating, ajak keluarganya sekali... jangan hanya jumpa berdua. Jangan rasa ia menyekat dan merimaskan tapi mengapa kita perlu jaga? Jawapannya kerana perhubungan itu akan mempengaruhi anak-anak kita yang bakal lahir nanti. Kita mahu anak soleh, yang jaga kita di masa tua tetapi adakah itu bakal ternyata kalau benihnya sendiri asalnya sudah busuk?





~Yang mencorak CINTA adalah KITA~



Belajarlah berkata TIDAK pada cinta yang boleh membawa Allah murka. Kata TIDAK untuk perhubungan yang diharamkan, bergayut di telefon berjam-jam sehingga melekakan, serta angan-angan yang tanpa kesudahan.




Cinta itu bersih, jernih dan putih... jangan kita kotorkannya.



*Sebagai manusia, aku sayang padamu*
@isya_yusrA (^_~)

~Bersihkan hati ~


Agak lama... terbiar sepi tanpa sebarang post. Dihimpit kesibukan maka saya hanya sekadar membuka blog sendiri sekali sekala. Esok lusa, masih dengan agenda dan acara yang tersendiri. Alhamdulillah, hari ini Allah beri kekuatan, beri masa untuk sedikit perkongsian. InsyaAllah.


Berdebar menunggu lusa... hari pembentangan tesis saya.


Tajuk: Pendidikan Alam Sekitar daripada perspektif Islam dengan merujuk kepada bab Thaharah

Masa: 2.15 petang
Tempat: BSJ


Mohon-mohon, ditembakkan doa untuk saya. Juga kawan-kawan saya. Walaupun sebenarnya saya adalah di antara kumpulan terakhir untuk perbentangan. Doa moga dipermudahkan.


Kali ini, sedikit perkongsian mengenai hati. Apa itu hati? Anda boleh baca di post-post yang lepas. Enam perkara. Bagaimana mahu membersihkan hati. Mengapa perlu kita membersihkan hati? Dalam konteks seorang pelajar, hati perlu bersih kerana ilmu Allah tidak akan mudah memasuki hati yang kotor. Segala yang kita belajar... semuanya ilmu hak milik Al-A'lim. Hatta jikalau dibuat perbandingan, ilmu manusia ini hanyalah sekadar setitis air yang jatuh dari celupan laut yang luas. Subhanallah.





1)Duduk dalam majlis ilmu
- Carilah dan duduklah di mana-mana majlis ilmu. Majlis yang mengingatkan kita kepada ALLAH.

2)Banyakkan berzikir dan bertasbih
-Setiap pagi 100 kali dan petang 100 kali

3)Banyakkan berselawat
-100 kali setiap hari

4)Beristiqfar siang dan malam

5)Banyakkan bersedekah

6)Bacalah surah Al-Ikhlas 10 kali setiap pagi.


Mungkin kita melihat kesukaran dalam perlaksanaan cara tersebut. Namun, memetik kata Ustaz Khairul dalam kuliah tafsir;


"kita perlu cari kekuatan dalam diri kita."



Kekuatan apa? Kekuatan rohani. Niat, tulus ikhlas untuk sentiasa mempertingkatkan diri. Mempertingkatkan ibadah.Ia perlu mujahadah. Mujahadah menentang hawa nafsu. Menentang hawa nafsu bermakna menentang diri sendiri. Sakit, pedih dan tersiksa tapi itulah pengorbanan. Ah bukan... ia sebenarnya JIHAD.


InsyaAllah, kita mampu lakukan. Sekadar itu... sedikit dari saya mudah-mudahan bermanfaat.(^_^)

.......................................