~...Hadiah buat kekasih...~


Hadiah buat kekasih. Apakah yang sesuai untuk saya berikan buat kekasih saya? Menyingkap sirah... saya terkenangkan kekasih hati ini. Kekasih hati setiap orang mukmin. Siapa dia? Dia... Muhammad bin Abdullah. Junjungan besar, nabi akhir zaman.



Saya, sudah lama ingin buat post tentang Rasul tercinta ini. Tapi pengetahuan sirah yang terbatas buat saya berfikir sebentar. Yang saya ingin tulis di sini... hanyalah sedikit perkongsian yang saya perolehi dari sumber-sumber intenet dan buku. Juga sedikit dari kuliah-kuliah agama.



Dia... Muhammad bin Abdullah tersangat istimewa orangnya. Figur yang lengkap serba-serbi. Teladan buat segenap manusia. Dirinya yang maksum tapi penuh dengan akhlak-akhlak terpuji. Sehinggakan dalam satu hadith, Saidatina Aisyah RH berkata:



"Akhlak rasullullah adalah Al-Quran"




Dulu, saya amat-amat tersentuh dengan cerita hijrah Nabi saw ke Taif. Sejak zaman sekolah rendah saya membaca kisah itu... tapi waktu itu, minda yang belum berkembang membuat ia hanya terlafaz di mulut sahaja. Tanpa aplikasi... tanpa rasa perlu dicontohi.
Namun, syukur semuanya berubah sejak mula bersekolah menengah. Tersentuh dengan keperibadian Rasullullah saw: apabila Jibrail menawarkan untuk menghempap penduduk Taif yang tega membaling batu kepada baginda dengan bukit, baginda tidak mahu. Apa kata baginda?


" Sesungguhnya mereka itu tidak tahu"




Rasul kita yang ummi itu... walaupun buta huruf tetapi masih bertolak-ansur dan tidak sombong diri. Pernah dalam Perjanjian Hudaibiyah, penduduk pada ketika itu tidak setuju ditulis dalam lafaz syahadah Muhammad rasullullah. Mereka hanya mahu Muhammad bin Abdullah. Nabi kita dengan rasa rendah diri menyuruh Saidina Ali memadamkan perkataan Muhammad rasullullah dan menggantikan dengan Muhammad bin Abdullah. Namun Saidina Ali tidak mahu.


Apa tindakan Rasullullah?


Baginda bertanya kepada Saidina Ali... di manakah perkataan itu. Lalu, apabila Saidina Ali menunjukkannya... baginda padam dengan tangan baginda sendiri.



Ketika membuat persediaan untuk Perang Khandak, sahabat-sahabat menggali parit dalam keadaan kelaparan. Mereka mengikat perut mereka dengan batu bagi mengempiskan perut mereka agar angin tidak masuk, agar kurang rasa laparnya.


Namun, sampai satu ketika, mereka rasa tidak tahan. Mereka bertemu dengan Rasulullah SAW yang juga bersama mereka menggali parit. Mereka tidak mengadu dengan mulut, namun sekadar tersenyum dan mengangkat baju mereka, menunjukkan perut mereka yang diikat dengan batu tanda sangat lapar.


Rasulullah SAW ketika itu tersenyum. Lantas baginda pun mengangkat bajunya, menunjukkan perut baginda yang diikat juga dengan batu, bukan satu, tapi dua batu. Tanda baginda lebih lapar lagi. Sahabat-sahabat tidak berkata apa-apa, terus menurunkan baju mereka dan menyambung kerja. Rasulullah lebih lapar lagi dari mereka.


Pernah sekali, ketika giliran Rasulullah SAW bersama dengan Aisyah RH, isteri Rasulullah yang lain bernama Zainab binti Jahsy menghantar makanan. Aisyah RH rasa terganggu kerana ketika itu, adalah gilirannya dengan Rasulullah SAW. Lantas, Aisyah menolak semula makanan yang dihantarkan Zainab melalui khadamnya. Makanan itu jatuh dan perkakas yang digunakan untuk membawa makanan itu pecah.




Rasulullah SAW ketika itu tidak melenting, tidak menunjukkan rasa marah, tidak pula berkasar dengan Aisyah atas sikapnya. Baginda amat tenang, memikirkan semua perkara, baginda faham Aisyah masih muda dan agak mudah cemburu. Maka baginda sendiri bergerak, mengutip pecahan perkakas itu, dan makanan yang bersepah.


Kemudian baginda berkata: “Pergilah meminta maaf kepada madumu itu”
Itu sahaja. Dan Aisyah pergi.


~Cinta... manakah sewajarnya?~

Begitulah... indahnya peribadi si kekasih. Kekasih yang tidak pernah melupakan umat tercintanya. Sehinggakan pada saat sakarat sekalipun, lidahnya masih menyebut umatnya. Kita? Ingatkah kita pada sang kekasih ini. Sungguh... cintanya pada umat tiada tara. Tapi berapa ramai kita ingat dan sedar akan cintanya?



Dalam kuliah lepas, Ustaz Fikri sedikit bercerita mengenai Nabi Muhammad saw. Sebagai ikon yang perlu kita contohi. Kita selalu dengar, ramai ulama'-ulama yang telah bermimpi bertemu rasullullah. Dia pernah bertanya pada gurunya... bagaimana untuk bertemu mimpi dengan baginda. Apa kata guru ustaz Fikri? Gurunya kata... tanya dalam diri kamu, pernahkah kamu berhajat untuk bertemu rasullullah?




Wahai pembaca... pernahkah? Mengkoreksi diri... kita selalu ingin bertemu dengan model-model manusia hebat di dunia. Ada yang nak berjumpa Dr Syeikh Muzafar; angkasawan negara yang pertama, mungkin juga pemain bola sepak dunia; David Beckham dan entah siapa-siapa lagi. Tapi pernahkah... berhajat untuk bertemu rasullullah???




Si kekasih ini... cintanya berpanjang sejak dilantik menjadi rasul hinggalah menerjah gerbang akhirat. Masih menunggu umat-umatnya untuk memberi syafaat. Mengapa kita tidak semaikan rasa cinta pada baginda sebagaimana cintanya baginda kepada kita?



Kalau kekasih kita, kita beri bunga, anak patung beruang sedangkan dia belum tentu beri bakti pada kita. Sanggup. Tapi mengapa cinta kita tidak sebegitu pada baginda. Patutnya, cinta itu berlebih-lebih lagi. Tetapi berapa ramai yang mengaku cintakan rasullullah?




Ingin amal sunnah rasul pun malu. Pakai serban... malu, pakai jubah... malu, makan dalam dulang pun malu. Jadi bagaimana? Bagaimana mahu kita zahirkan kecintaan kita pada Rasullullah saw jika bukan melalui sunnahnya? Cintakah kita pada baginda sedangkan mulut begitu berat untuk berselawat padanya?


Mari sama-sama kita koreksi diri kita. Agak-agak... apakah hadiah yang sesuai untuk kekasih kita itu?

..............................

~Syukur... tidak cukup hanya diraikan dengan asma Allah~

~Nikmat kehidupan... tidak terhitung nilaiannya~


Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita cukup banyak. Walau kita kira... kita hitung tidak cukup angka-angka yang kita ada. Kalau dibandingkan dengan cakrawala ini... yang cukup besar: yang kita kata infiniti, nikmat Allah itu masih tidak terhitung bilangannya. Mahupun yang kita nampak dalam alam musyahadah atau yang kita tak nampak. Tak mampu gapai sekalipun.



"Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."


Surah Al-Kahfi:109


Kita telusuri hidup kita nan indah ini.


Bermula dari alam roh yang sedikit yang kita tahu. Bermula daripada penciptaan kita ke muka bumi. Bertuahnya kita. Dalam 120 juta sperma yang berjuang untuk masuk ke dalam ovum, kitalah yang terpilih. Hanya satu... dan kitalah yang satu itu. Berjuang untuk melihat dunia, pernahkah kita tahu kesusahan dan kesakitan si ibu?




Dalam perjalanan hidup di dunia pula bermacam-macam nikmat yang Allah beri. Allah beri kita anggota yang tiada cacat celanya, diberi kepintaran, diberi segala-galanya. Apa yang kita minta... harap, semuanya dapat. Nikmat yang kita nampak sudah tak terhitung. Belum dikira nikmat yang kita tidak nampak lagi. Nikmat apa?




Pernah dalam perbentangan kelas, sahabat saya membuat perbandingan masa: berapa lama kita boleh hidup tanpa makanan, air, udara. Dilukis satu bulatan di atas whiteboard. Tanpa makanan, kita mungkin boleh bertahan selama 3 minggu untuk hidup; tanpa air, mungkin 3 atau 4 hari; dan tanpa udara? Berapa lama kita boleh bertahan? Lihatlah... itu dia nikmat Allah yang kita tak nampak, tapi peranannya sangat-sangat besar.




Saya, terkedu sebentar. Berfikir. Kalaulah Allah tarik nikmat udara pada saat itu??? Allah... tak mampu saya bayangkan.



Berapa kalikah kita bersyukur pada Allah setiap hari? Ironinya, manusia ini... bila Allah tarik nikmat-nikmat tertentu baru dia kenal erti syukur. Allah beri kesihatan, namun tiba-tiba Allah tarik nikmat tersebut... dapat penyakit, pergerakan terbatas, baru dia tahu nikmatnya sihat. Waktu sihat... jarang-jarang kita ingat pada Allah. Sebab itu, walaupun Allah timpa kita dengan musibah... perlu juga panjatkan kesyukuran. Itu tanda Allah tidak melupakan kita. Tidak mahu kita terus hanyut dalam arus 'melupakan-Nya'.




Itu nikmat yang kita nampak... kita rasa. Bagaimana pula nikmat yang kita tidak nampak? Dua nikmat terbesar yang kita jarang-jarang ambil peduli. Nikmat apa? Zaman persekolahan dulu sebelum mula kuliah, ustaz saya selalu kata,


"Bersyukur kita dengan nikmat Islam dan iman yang Allah beri..."



Ini dia sahabat-sahabat... dua nikmat terbesar yang kita jarang-jarang bersyukur atas kurniaan-Nya. Kerana apa? Kerana nikmat ini kita tidak nampak. Sedangkan nikmat yang nampak pun kita selalu dustakan... inikan pula yang tak nampak.


"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"


Surah Ar-Rahman:13




Kalau nikmat-nikmat zahir Allah tarik, kita sedar dan mungkin menyesal jika tidak guna dan syukur dengan selayaknya. Tapi bagaimana dengan 2 nikmat ini? Kita perasankah kalau Allah tarik nikmat ini? Kita ambil beratkah? Kita menyesalkah? Menjadi lumrah... yang tidak nampak memang kita tidak pernah ambil peduli. Sedangkan dosa dan pahala pun kita tidak ambil kisah... inikan pula 2 nikmat ini.



Jadi bilakah penyesalan timbul jika benar-benar Allah tarik nikmat ini?



Jawapannya nanti. Di Yaumul Hisab... Bila amalan sudah ditimbang tara... pada masa itulah kita akan benar-benar menyesal akan kehilangan 2 nikmat ini. Namun, fikirlah... berbaloikah penyesalan tika itu? Di saat tak mungkin kembali ke dunia walau sesaat pun. Berbaloikah penyesalan kala itu? Justeru, kalau Allah sudah beri kita nikmat Islam dan Iman... maka peliharalah. Peliharalah dua nikmat ini semaksimum kudrat yang kita ada.




Pernah Ustaz Fikri menyebut perkara ini dalam kuliahnya. Kita kata kita Islam, kita beriman... tapi benar-benarkah kita mengamalkan cara hidup Islam yang ditetapkan syariat? Benarkah kita beriman dengan sebenar-benar iman? Fikirlah...




Mungkin ramai juga yang lupa. Kalau dapat satu kebaikan, kesenangan yang selalu keluar dari mulut kita perkataan apa?


"Wah... bestnya"
"Seronoknya."



Ramai yang lupa untuk raikan setiap kesenangan mahupun kesusahan dengan mengintrepitasikan kesyukuran itu dengan asma Allah... kalimah 'Alhamdullillah'. Lafaz sahaja tidak cukup... yang perlu adalah aplikasi daripada lafaz tersebut iaitu membuktikan kesyukuran kita dengan amal.




Amal yang selayaknya sebagai tanda kita bersyukur atas nikmat Allah. Bagaimana? Guna nikmat Allah dengan sebaik-baiknya: guna untuk kebajikan tanpa pembaziran dan dengan penuh sifat kehambaan. Segalanya Allah yang beri. Kudrat, keizinan semuanya dari Allah. Kita ini, hanya sebagai alat yang menzahirkan segala kudrat itu. Hakikatnya... semuanya Allah yang beri. Kita... tiada apa-apa sebenarnya.



"Maka terangkanlah kepadaku tentang yang kamu tanam. Kamukah yang menumbuhkannya atau Kamikah yang menumbuhkannya? Kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami jadikan dia hancur dan kering, maka jadilah kamu hairan dan tercengang."
Surah Al-waqiah:63-65



"Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya atau Kamikah yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami jadikan dia masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?"
Surah Al-waqiah:68-70



"Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu). Kamukah yang menjadikan kayu itu atau Kamikah yang menjadikannya? Kami jadikan api itu untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir. Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang Maha Besar."
Surah Al-waqiah:71-74



Sungguh... nikmat Allah terlalu banyak untuk kita. Ayuh, syukurlah. Buktikan dengan amal.


...................................

~Menjemput ketenangan... singkirkan kegelisahan~

~Ketenangan yang dicari mendamai hati~
~Andai dinanti entah bila kan jadi~
~Perlu dicari menyentuh nubari~


Apakah definisi ketenangan yang sering kita canang-canangkan? Sering kita cari? Orang kata tenang itu bergantung pada hati, ada pula yang kata kalau hidup senang... cukup makan, pakai... itu tenang. Ada pula yang kata tenang bila lihat orang tersayang. Pelbagai versi.


Tapi persamaannya, setiap individu mencari ketenangan. Tidak kira dalam bentuk apa pun tapi ia tetap dicari dan dinanti. Tenang ini satu bentuk keperluan maknawi yang kita tak nampak. Tapi kita perlu. Sangat-sangat perlu. Ada orang yang sudah cukup mewah... kereta besar, rumah bagai mahligai tapi kekayaannya tiada membuat hatinya tenang. Takut andai segala kekayaan itu dicuri orang. Hilang dalam sekelip mata.



Ada orang, punya ramai kawan tapi tak juga hatinya tenang. Sentiasa ada masalah. Asyik ada konflik dan masalah. Ada pula yang kita lihat... naik basikal buruk, rumah buruk, kerja kais pagi makan pagi tapi wajahnya ada aura tersendiri. Bersinar-sinar. Tambah manis dengan senyuman.


Nampakkah? Nilai materi, fizik yang kita lihat bukan penentu kepada hadirnya ketenangan.



Pada suatu masa di zaman rasullullah saw, ada seorang lelaki berjumpa dengan Abdullah bin Mas'ud untuk bertanya cara-cara untuk menghilangkan keresahan. Abdullah bin Mas'ud berkata:


" Bawalah hatimu mengunjungi 3 tempat.
Pertama ke tempat orang membaca Al- Quran tidak kira kamu ikut membacanya atau sekadar mendengar bacaannya.


Kedua, menghadiri majlis ilmu yang mengingatkanmu kepada Allah dan


ketiga, kamu cari satu waktu yang sunyi, contohnya pada waktu malam dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadat kepada Allah serta memohon kepadanya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati.


Jika selepas melakukan semua itu jiwamu masih tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar menukarkan hatimu dengan hati yang lain kerana sesungguhnya hati yang kamu miliki sekarang bukan hatimu"


Lihatlah garis panduan yang diberikan dalam hadith ini dalam usaha kita mencari ketenangan. Namun, berapa orangkah yang melaksanakannya?



Kalau kita tertekan... stress dengan pelajaran, dengan peperiksaan dan segala macam masalah... kebanyakan kita memilih untuk makan, menonton wayang, window shopping dan sebagainya. Sanggup menghabiskan duit asal hati tidak gelisah lagi. Satu perkara yang ingin saya tekankan di sini. Kita mungkin beroleh KEGEMBIRAAN TAPI BUKAN KETENANGAN. Sungguh, kegembiraan yang bersifat sementara, waktu itu sahaja tapi akhirannya???



Adakah ada lagi ketenangan itu?



Kalau kita lihat hadith itu, mencari ketenangan sungguh mudah. Kalau tak mahu ikut, cukup sekadar mendengar orang membaca Al-Quran. Cukup juga sekadar mendengar kuliah ilmu dan bangun malam. Andai tidak juga tenang, minta agar ditukarkan hati. Lihatlah betapa pentingnya hati dalam skala ukur ketenangan. Sampai perlu tukar hati. Bukankah Allah berfirman;

" Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang."


Saya pernah satu ketika dulu, entah apa yang rasa rasa pun saya tidak tahu. Bercampur-baur. Ada rasa geram, marah, sedih dan macam-macam lagi bila satu projek yang saya rancang ada orang lain terlebih dahulu yang buat. Memang tiada tenang. Lalu saya ambil keputusan untuk datang awal ke surau. Saya baca Al-Quran, namun rasa yang pelbagai itu masih ada. Tertanya-tanya dalam hati kenapa hingga saya rasa seperti mahu menangis.

Tak lama selepas itu, saya perasan ada seorang sahabat saya membaca Al-Quran di belakang saya. Saya biarkan sahaja sehingga sampai satu ketika saya berhenti untuk ambil nafas dan.... saya dengar di belakang, sahabat saya itu baca 1 ayat;


" Kamu merancang, Allah merancang.
Tapi sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik"



Saya, seperti rasa terpukul dari belakang. Pukulan yang terus menghentam hati. Rasa saya sangat lemah, sampai kan terlupa akan hakikat itu. Lihatlah bagaimana Allah memberikan ketenangan itu... bukan sahaja melalui usaha kita tapi kadang-kadang melalui orang-orang di sekeliling. Cuma kita sendiri yang tidak perasan.



Dan sungguh perancangan Allah itu yang terbaik. Bila saya hadir ke majlis tersebut, sambutannya dan keadaannya bukan seperti yang saya jangka. Saya terfikir... kalau projek ini berjalan atas nama organisasi yang saya pimpin mungkin akan memburukkan imejnya. Saya sangat terkesan daripada peristiwa itu. Hingga kini, setiap apa yang berlaku saya katakan pada diri: jangan cepat melatah, mungkin ada hikmah.



Hikmah kejadian kita mungkin tidak nampak pada masa itu tapi di masa hadapan... saya pasti. Tersangat-sangat pasti. Andai kita yakin dengan Allah maka ketenangan itu pasti akan mampir. Mari kita jemput ketenangan dan singkirkan kegelisahan. InsyaAllah. Moga setiap gerak langkah menuju destinasi ketenangan akan mendapat redha dari-Nya.

............................

~Apa dalam perutmu?~


"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah."



Al-Baqarah:172


Pernahkah kita fikir akan pengertian thoiyibb yang disebutkan dalam ayat ini? Setiap hari kita makan. Ada yang berfalsafahkan makan untuk hidup, ada juga yang hidupnya untuk makan. Jadi yang mana satu?



Perlu titikberatkan soal makan dan pemakanan ini. Yang saya maksudkan bukanlah pemakanan seimbang, diet seimbang: cukup protein, cukup karbohidrat... kurang lemak tapi dari mana sumber makanan kita itu.



Sekarang mungkin kita tidak melihat isu ini sebagai satu isu yang besar. Iya, bukan kita bekerja untuk mendapatkan wang untuk beli makanan. Kita masih bergantung kepada ibu bapa, pada duit pinjaman PTPTN, JPA lalu kita memandang isu ini hanya sebelah mata. Ada yang pandang langsung pun. Yang dia tahu, cukup waktu kena makan. Limitation satu pinggan. Kalau tak makan perut mula berbunyi-bunyi, tak ada tenaga mahu belajar, mahu berjalan. Angkat tangan pun tak mampu.



Hukum makan sebenarnya apa?



Kalau dalam fekah, kita ada pembahagian dalam hukum. Ada wajib, sunat, harus dan haram. Itu asas. Jadi makan? Hukumnya apa?



"Eh, mestilah wajib. Kalau tak wajib, maka ia tak jadi keperluan asas manusia."


Perlu? Adakah itu tetapan untuk menjadikannya wajib?


Kalau saya katakan hukum makan itu harus, kamu percaya? Harus itu apa? Perlu kah maknanya? Kalau kita terjemahkan dalam rangka bahasa mungkin benar maknanya perlu tapi saya suka berkongsi makna harus itu dalam pengertian yang lebih islami. Pengertian fekah.


Harus dalam fekah maksudnya kalau kamu buat kamu tidak dapat apa-apa tetapi kalau kamu tinggalkan kamu tidak dapat apa-apa juga. Jadi perkara harus ini kita tidak perlu buatkah? Tak dapat apa-apa, maka sia-sia kalau kita buat. Kamu fikir begitu?



Makan hukumnya harus. Tetapi harus ini pembahagianya sangat istimewa. Ia boleh jadi wajib dan boleh jadi haram. Mahu tahu? Ingat penyataan awal tadi. Makan itu hukumnya harus, buat atau tinggal kita tidak dapat apa-apa. Tetapi makan dari sumber yang halal itu WAJIB dan makan dari sumber yang haram itu HARAM. Apabila berurusan dengan perkara-perkara haram maka dosa iringannya dan begitu sebaliknya: pahala sebagai ganjaran.



Sumber makanan kita dari mana agaknya? Halal atau tidak?


Mungkin dalam istilah biokimia, sintesis glukosa, protein dan lipid (lemak) yang kita makan hasilnya tenaga yang diterjemahkan dalam istilah saintifiknya ATP. ATP inilah yang kita guna untuk gerak kerja tubuh badan kita. Untuk berjalan, angkat tangan, lompat-lompat. Itulah yang kita guna. Apa yang kita makan, akan keluar semula dari tubuh kita jadi mengapa perlu fikir asal halal atau haram?


Mengapa perlu ambil kisah dalam bab makanan? Apa yang kita makan akan menjadi darah daging atau bahasa mudahnya sebahagian dari tubuh badan kita. Makan banyak makanan berlemak, maka lemak yang tak dapat disintesiskan itu akan berkumpul bawah sel-sel kulit kita. Menjadikan kita bertambah 'kiut' dan 'comel'. Makanan akan membentuk sel-sel badan, otot-otot kita. Jadi ia jadi sebahagian dari tubuh badan. Kalau sumbernya haram secara tidak langsung akan mengelapkan hati kita. Menyukarkan untuk menerima ilmu.



"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."


Al-A'araf:31


Sering rasa tidak puas hati kalau makanan dicatu. Kena marah pula kalau mahu ambil lebih. Bukan untuk kita, tapi untuk kawan-kawan kita. Lihatlah secara positif. Mengapa makanan itu dicatu? Jawapanya kerana ada orang yang makan lebih, yang mengambil sesuatu yang bukan hak dia sehingga kan orang lain tidak dapat.


Makan yang bukan hak kamu maka hukumnya haram.


Patutnya berterima kasih kepada insan-insan itu. Sudahlah mereka masak untuk kamu tapi juga menyelamatkan perutmu dari makanan yang haram. Yang bakal menyukarkanmu menerima ilmu.


Kalau pula kita buat jualan untuk persatuan atau kelab. Barang-barang jualan semuanya dibeli dari tabungan organisasi-organisasi tadi. Contohnya kita buat air, tiba-tiba rasa dahaga... kita minum tanpa persetujuan dari pengerusi, tanpa bayar. Halalkah sebenarnya minuman itu? Mungkin kita fikir,


"Eh, aku buat ni tak kan lah tak boleh rasa sikit"


"Tinggallah sikit untuk AJK"


Oh... walaupun kamu yang buat ia tetap bukan hak kamu. Ia adalah amanah dari organisasi kamu. Makan, minum yang bukan hak kamu tetap hukumnya haram. Itulah kita katakan, bila kamu sedekahkan kudrat kamu untuk organisasi itu, maka pelaburan kamu mesti yang sebaik-baiknya. Jangan mengharapkan balasan. Kalau sudah budget 1 liter air untuk dijual, maka 1 liter itulah. Bukan 900ml sahaja. Yang 100ml lagi masuk perut kamu.


Terfikirkah yang masuk itu dari sumber yang haram?


Allah... menulis ini pun saya kecut perut. Kecut, bimbang andai perut ini pernah dimasuki dengan makan minum yang haram. Yang menjadi darah daging yang mana daging yang terbentuk dari sumber yang haram ini akan disambar oleh api neraka! Allah... nau'zubillah.


Fikirlah... apa dalam perutmu itu, statusnya?

..................