~Pamitan Syaaban menuju Ramadhan~



SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, Alhamdulillah. Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya, terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang baru kita lalui.


Tidak beberapa hari lagi, Insya-Allah... kita akan memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan. Malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.


Rejab dan Syaaban berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan. Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam. Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar.


Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk ‘meminang’ lailatul qadar.

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."



Antara hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan bulan ini adalah:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
Riwayat Bukhari dan Muslim



“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim



“Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagi mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim


Baru-baru ini saya menerima kunjungan dari sahabat lama saya. Agak lama kami tidak bersua... berpisah sekolah sejak tingkatan 4 hinggalah sekarang. Kesempatan bertemu ini, kami berkongsi banyak cerita. Sempat saya bertanya budaya berpuasa masyarakat di Mesir. Budaya mereka patut kita contohi.


Masuknya bulan Syaaban, mereka sudah mula mengemaskan rumah mereka, menyediakan keperluan untuk berhari raya dan apabila masuknya Ramadhan... mereka hanya menumpukan perhatian terhadap ibadat sahaja. Malah, 10 malam terakhir Ramadhan, ibadah mereka bertambah giat... bertambah khusyuk... bertambah syahdu.



Kita???


10 malam terakhir adalah masa untuk membuat kuih raya, memasang pelita dan menghias rumah. Malah, ada yang menunggu malam-malam terakhir ini untuk menunggu jualan murah. Kuih raya, baju raya. Sedangkan amal ibadat, zikir munajat ditolak tepi. Tidakkah kita rasa rugi untuk meninggalkan Ramadhan dengan sia-sia?


Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

.....................


0 comments:

Post a Comment