Showing posts with label ~diari. Show all posts
Showing posts with label ~diari. Show all posts

~Bahagia-bahagia dunia... harapnya kekal ke syurga~

~Mereka cahaya cinta saya~



Bahagia-bahagia dunia... terlalu banyak perkara yang membahagiakan di dunia ini. Terpulang kepada perspektif manusia untuk memanifestasikan kebahagiaannya. Saya bahagia... anda bagaimana? Dan besar rasa di jiwa saya agar bahagia- bahagia dunia ini berkekalan hingga ke syurga. Moga bahagia-bahagia dunia inilah yang menjadikan saya insan yang sentiasa bersyukur dan kurniaan-Nya. Moga bahagia- bahagia dunia inilah yang mengingatkan saya bahawa saya hanya insan kerdil yang tiada apa- apa jika tanpa belas kasihan dan rahmat Yang Maha Pencipta.





Dunia ini sememangnya hanyalah sandaran sahaja. Hidup kita... tiadalah bermatlamatkan dunia. Akhirat juga selamanya. Akhiratlah yang menentukan adakah kitalah orang yang paling bahagia. Tapi hiduplah di dunia ini dengan rasa bahagia kerana dengan rasa itulah kita mampu meneruskan kehidupan dunia sebagai semaian amal menuju akhirat yang abadi. Bahagia melakukan amal ibadah keranaNya... bukankah itu enak bunyinya dan mudah perilakunya?





Lihatlah... Rasullullah adalah orang yang sangat bahagia walaupun baginda bukan dilahirkan kaya raya. Baginda si miskin yang yatim piatu. Pernah mengembala kambing dan merasa dilempar batu. Jika dibandingkan dengan kehidupan kita zaman ini terlalu luas dan besar jurangnya. Jadi mengapa mencipta alasan untuk tidak bahagia? Berbahagialah dengan apa yang Allah kurnia pada kita... bukan membandingbeza kurniaan orang lain dengan apa yang kita ada.







Bahagia yang saya rasa... sering kali menjengah dalam tempoh masa seminggu ini. Bahagia. Sangat-sangat bahagia dan rasanya bagai berbunga-bunga dalam jiwa. Wangiannya menyemarak ceria. Bahagia... ya, saya bahagia.





Bahagia saya bukanlah dari sudut harta benda yang saya ada. Saya tidak kira dari sisi itu. Saya bahagia dengan insan-insan yang berada di sekeliling saya. Saya ada keluarga yang ceria... yang tidak pernah lupa memberi kata dorongan dan pertolongan. Saya ada sahabat- sahabat yang sentiasa menemani jalan... saya ada adik-adik yang menceria suasana. Saya ada pengajar-pengajar yang banyak menyuluh cahaya. Saya ada kamu semua...


~Ceria semuanya~





Tiada kata selain kesyukuran yang selayaknya selain kepada Allah swt. Hanya dia yang mentadbir alam buana ini dan hanya Dialah yang memberikan segala kebahagiaan yang saya rasakan ini. Alhamdulillah... segala puji bagiMu.





Insan- insan ini... hadir mereka memang membuah bahagia pada saya.





Bahagialah kamu semua. Bahagia dengan apa yang kita ada. Bukan memandang kebahagian orang lain dengan kaca mata kesukaan kita. Masing- masing manusia semuanya telah ditetapkan rezekinya. Maka yang ada itulah untuk kita... yang ada pada mereka untuk mereka. Benarlah... bahagia itu letaknya pada hati yang sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang ada. Moga bahagia-bahagia dunia ini kekal ke syurga. Moga bahagia- bahagia saya, anda dan kita semua mendapat redha dan rahmat kasih sayang-Nya.



by Aisya_Yusra
1.00pm

~coret2an ^^, ~

Assalamualaikum dan salam ceria semuanya...



April ke Julai... satu tempoh masa blog ini sepi tanpa sebarang artikel. Beberapa sebab yang dapat saya sertakan. Pertama, sibuk menyiapkan tulisan ilmiah... dan alhamdulillah kesibukan dan kepahitan itu natijahnya semanis madu. Saya sudah rasakan. Rasa madu setelah berhempas- pulas dan bersusah- susah telahpun Allah kurniakan kemanisannya. Terima kasih kepada Allah. Tuhan sekalian alam yang memberi kudrat, memberi izin dan buah fikiran serta memberikan saya insan- insan yang terlalu banyak membantu. Alhamdullilah... segala panjatan syukur bagi Allah s.w.t.


Kedua, masa yang ada perlu digunakan untuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk peperiksaan akhir. Rupanya ini bukan peperiksaan 'terakhir' . Huhu.



Ketiga... REHAT. haha... Saya akui sangat penat membuat ayat dan menaip latihan ilmiah. Tiga kali sebenarnya membetulkan dan memperbaiki draf yang telah saya siapkan. Terutamanya dari segi teknikal yang memerlukan penggunaan format yang betul. Aspek isi pun tidak kurang pembetulannya dan method tesis saya sangat memerlukan rujukan yang sangat banyak. Rujuk, analisis dan simpulkan dalam bahasa sendiri memaksimumkan fungsi otak yang sangat memenatkan akhirnya. Dan itu dia.... berehat dengan jayanya.
Keempat, balik kampung... jadi tiada ekses intenet yang mudah dan cepat bagi saya.
Sebenarnya, banyak perkara yang bermain di minda... terlalu banyak tetapi perlu masa untuk diluahkan. Jadi sehingga bertemu lagi. Salam ceria dan kasih sayang untuk semua.



1210PM.

~Usaha tanpa ada rasa CUKUP~



Salam pertemuan kembali...


Hampir satu bulan blog ini tidak diupdate. Menyiapkan projek penyelidikan merupakan priority saya saat ini. Blog hanya dijenguk dan dibalas komen, tanpa ada sebarang post baru. Walaupun dalam fikiran, ada banyak yang ingin dikongsi... ada banyak yang ingin diberi. Alhamdulillah hari ini ada kesempatan. Mengambil sedikit ruang kerehatan sebelum esok saya bakal berdepan satu gerak- gempur. Gerak- gempur apakah? Hihi... adalah=)

~Ini dia... fasa kesulitan 1 telah ditempuhi~




Seseorang menegur;

"Akak bila nak update blog?"

Jawapannya hari ini... hihi.


* Belajar dari kehidupan




Hidup kita penuh dengan melankolik. Sahabat saya kata, itu dia hitam putih kehidupan. Hitam putih sahajakah? Saya kata warna warni ada juga. Hitam putih nampak macam terlalu membosankan. Hanya ada dua. Mungkin yang dia maksudkan gembira dan kesedihan. Saya rasa tidak. Hidup penuh dengan warna- warna.

Kita mungkin suka warna hijau... tidak suka warna yang terang-terang, yang menyakitkan mata. Ada orang lain suka warna seperti itu... tidak suka warna yang kita suka tadi. Begitulah hidup. Maka setiap warna- warna itu kita kena telusuri... sama ada kita suka atau tidak. Kalau pelangi itu perlu lengkap dengan 7 warna, begitulah hidup kita. Untuk lengkap satu pusingan kehidupan maka perlu hadapi semua warna- warna itu.



Warna yang kita suka kita tidak akan banyak komen. Hidup dipenuhi kehendak dan cita-cita sangat menyenangkan. Allah beri segalanya bahkan pada benda yang kita tidak duga. Allah beri sesuatu yang kita tidak pernah usaha. oH~ syukurlah.



Kadang-kadang kita rasa... sudah banyak berusaha maka memang selayaknya kita dapat kurnia. Kurnia bentuknya kejayaan. Kalau dapat keputusan cemerlang, kita kata:



"Inilah hasil penat- lelah saya. Saya belajar siang dan malam, buat latih tubi maka selayaknya saya berjaya."



" Program berjaya. Hebatnya aku."



Inilah dia satu falsafah yang salah. Tiada kejayaan selain daripada pemberian Allah semata. Namun, kita tidak boleh menafikan usaha kita, penat- lelah dan ikhtiar untuk kita berjaya. Usaha... ia dinamik. Pegangan ahlul sunnah wa jamaah, bukan tersasar dari falsafah jabarriyyah dan qadarriyyah.



*Dan ketahuilah, dalam usaha yang banyak itu tidak dinamakan cukup.




Mengapa? Dalam usaha yang banyak, belum tentu ada kecukupan?



Kita boleh rasa cukup dengan harta yang kita ada tapi kita tidak boleh rasa cukup dengan usaha dan ilmu yang kita ada. Bahaya. Sangat berbahaya jika kita rasa cukup dengan 2 aspek ini. Saya juga terfikir, berjaga menyiapkan projek sehingga tidur tidak cukup, habiskan masa di perpustakaan membuat kajian, pergi ke kelas... cukupkah itu sebagai satu ukuran kejayaan?


Sebagai manusia, kita tidak boleh rasa sudah sempurna dengan usaha yang kita laksana, tidak boleh rasa kita sudah berjaya. Kerana yang menyempurna itu adalah Allah s.w.t. Maka dengan itu kita perlu sentiasa dahaga untuk mengharap pertolongan Dia Yang Maha Mencipta. Maknanya USAHA MESTI BERIRING DOA!


Cuba fikirkan... jika apa yang kita usaha, natijahnya tidak seperti yang kita jangka, apa yang dirasa. Sudah buat latih- tubi, sudah belajar ikut jadual dan sebagai macam usaha tapi tidak berjaya. Sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui. Kita hanya perlu mengkoreksi diri.



Saya pernah terbaca dalam satu buku. Katanya;


"Lagi banyak yang kita belajar, lagi banyak yang kita tidak tahu."


Suka saya kata yang saya berstuju dengan kata-kata ini. Itulah maknanya kita tidak boleh rasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Sudah tahu dari 1 aspek, maka belajar pula dari aspek yang lain. Jangan kita tutup pintu- pintu itu sehingga tiada ruang langsung untuk ilmu- ilmu menembus masuk. Kotak yang sempit dan kecil... bolehkah mengisinya dengan barang yang banyak? Tidak. Maka keluarlah dari kotak tersebut.



*Sudah usaha, tapi orang menghina.




Allhuakhbar. Saya mahu motivasikan adik- adik saya. Dalam hal ini, bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama- sama dengan hambanya yang bersabar. Dahulu, saya pernah membuat post tentang tafsir surah Nuh. Jadi hari ini saya mahu ulang semula. Nabi Nuh yang dakwahnya selama 950 tahun, tidak berhenti- henti menerima hinaan sepanjang kerja dakwahnya.


~Usah lelah dalam usaha~


Bayangkan bila baginda berdakwah, kaum- kaumnya menutup telinga dengan tangan- tangan mereka dan memalingkan wajah. Malah, anak- anak dan isteri baginda turut mengejek. Bila Allah perintahkan membuat bahtera lagilah dasyat hinaan dan ejekan mereka. Namun selama 950 tahun perjalanan dakwahnya bertahan sehingga Allah mentaqdirkan banjir besar berlaku.


Nabi Muhammad pula dibaling batu, dikatakan gila namun masih sempat mendoakan orang- orang yang menghina baginda itu.


Maka adik- adikku sayang... cukuplah Allah sebagai sebaik- baik penolong.



*Jangan ada rasa cukup




Minggu lepas dalam kuliah hadis saya perasan yang ustaz yang mengajar ulang semula hadis yang beliau telah ajar dahulu. Balik ke bilik, saya selongkar semula khazanah- khazanah kuliah saya. Memang saya jumpa nota tentang hadis yang diulang itu... namun tahukah isi yang disampaikan tidak sama. Begitulah, ilmu ini terlalu banyak untuk kita rasa cukup dan sombong diri.



Dahagalah dalam mencari ilmu. Jangan rasa sudah cukup pandai sudah cukup bijak. Tingkatkan usaha tanpa mengenepikan hak- hak yang sepatutnya. Maknanya, kalau mengantuk kita perlu tidur, kalau penat perlu ada masa rehat. Dalam satu hari ada masa kita dengan Allah, berdoa... di samping usaha- usaha kita yang sewajarnya kita buat.


Apa yang penting setiap usaha itu mestilah untuk mengharap Allah redha... bukan untuk mendapat nama dan dipandang mulia.

~@Isya_Yusra

~Bersihkan hati ~


Agak lama... terbiar sepi tanpa sebarang post. Dihimpit kesibukan maka saya hanya sekadar membuka blog sendiri sekali sekala. Esok lusa, masih dengan agenda dan acara yang tersendiri. Alhamdulillah, hari ini Allah beri kekuatan, beri masa untuk sedikit perkongsian. InsyaAllah.


Berdebar menunggu lusa... hari pembentangan tesis saya.


Tajuk: Pendidikan Alam Sekitar daripada perspektif Islam dengan merujuk kepada bab Thaharah

Masa: 2.15 petang
Tempat: BSJ


Mohon-mohon, ditembakkan doa untuk saya. Juga kawan-kawan saya. Walaupun sebenarnya saya adalah di antara kumpulan terakhir untuk perbentangan. Doa moga dipermudahkan.


Kali ini, sedikit perkongsian mengenai hati. Apa itu hati? Anda boleh baca di post-post yang lepas. Enam perkara. Bagaimana mahu membersihkan hati. Mengapa perlu kita membersihkan hati? Dalam konteks seorang pelajar, hati perlu bersih kerana ilmu Allah tidak akan mudah memasuki hati yang kotor. Segala yang kita belajar... semuanya ilmu hak milik Al-A'lim. Hatta jikalau dibuat perbandingan, ilmu manusia ini hanyalah sekadar setitis air yang jatuh dari celupan laut yang luas. Subhanallah.





1)Duduk dalam majlis ilmu
- Carilah dan duduklah di mana-mana majlis ilmu. Majlis yang mengingatkan kita kepada ALLAH.

2)Banyakkan berzikir dan bertasbih
-Setiap pagi 100 kali dan petang 100 kali

3)Banyakkan berselawat
-100 kali setiap hari

4)Beristiqfar siang dan malam

5)Banyakkan bersedekah

6)Bacalah surah Al-Ikhlas 10 kali setiap pagi.


Mungkin kita melihat kesukaran dalam perlaksanaan cara tersebut. Namun, memetik kata Ustaz Khairul dalam kuliah tafsir;


"kita perlu cari kekuatan dalam diri kita."



Kekuatan apa? Kekuatan rohani. Niat, tulus ikhlas untuk sentiasa mempertingkatkan diri. Mempertingkatkan ibadah.Ia perlu mujahadah. Mujahadah menentang hawa nafsu. Menentang hawa nafsu bermakna menentang diri sendiri. Sakit, pedih dan tersiksa tapi itulah pengorbanan. Ah bukan... ia sebenarnya JIHAD.


InsyaAllah, kita mampu lakukan. Sekadar itu... sedikit dari saya mudah-mudahan bermanfaat.(^_^)

.......................................

~Sesuatu... kadang-kadang tak dapat nak diluahkan~



Akan tiba masa dalam hidup kita... akan ada sesuatu yang takkan dapat kita luahkan. Ya, ia memang ada tapi tidak terluah. Bagaimana untuk meluahkan? Kita tidak tahu. Kadang-kadang rasa pelik dengan diri sendiri. Setengah orang akan rasa tenang bila dia telah luahkan sesuatu itu. Tapi kalau tidak?




Saya bukanlah mahu bercerita tentang apa yang saya fikirkan sekarang. Sudah namanya 'tidak dapat diluahkan'... jadi jawapannya tiada. Tiada apa dari 'sesuatu' itu yang dapat saya ceritakan di sini. Berat bercerita dengan seseorang yang sangat rapat... inikan pula hendak dipostkan dalam blog. Lalu untuk apa post ini? Hihihi...




Post ini khas untuk ucapan terima kasih. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini. Sukar saya nak luahkan sesuatu itu, jadi saya pilih untuk luahkan apa yang mudah untuk dibicara... apa yang mudah untuk dilafaz. Terima kasih. Itu mungkin lebih mudah kepada saya.




Kalau kita fikir kita hidup berseorangan di dunia ini nampaknya andaian kita itu memang 100% salah. Kita di kelilingi ibu bapa, adik-beradik kita, kawan-kawan dan orang-orang sekeliling yang mungkin tiada hubungan dengan kita... tapi melalui mereka kadang-kadang kita dapat pengajaran bermakna. Kalau orang-orang yang saya sebutkan tadi tidak memahami kita, kita rasa mereka tidak bersama kita maka kita sebenarnya salah.




Kita yang rasa begitu. Kerana apa? Emosi... emosi yang mengawal segalanya kala itu menjadikan kita rasa kita sahaja yang betul. Andai seseorang memberi nasihat dan ia tidak menyokong kita... maka kita rasa tiada seorang pun di dunia yang memahami perasaan kita. Keutamaan, jika masa itu masa sedih... masa sunyi... masa rasa dipinggirkan.




Kita perlu sentiasa ingat bahawa Yang Maha Cinta sentisa bersama kita. Cuma itulah kita. Manusia yang asalnya juga dari perkataan 'lupa'. Maka kita lupa. Lupa akan Pencipta kita. Oleh itu... heiraki utama ucapan terima kasih saya ialah Allah swt.




Saya jadi teringat semasa kuliah hadits dari Ustaz Yazid.



"Selepas solat Isya' cubalah sedaya mungkin untuk buat sujud syukur. Terima kasihlah pada Allah atas nikmat-nikmat yang kita dapat hari itu. Allah beri kita makan, udara. Itu tidak kira apa lagi yang kita hajatkan: yang Allah tunaikan pada hari itu."




Allahuakhbar... terima kasih Ya Allah.




Lagi? Terima kasih juga kepada keluarga. Selaut terima kasih kerana banyak yang mereka berikan pada saya. Mahu dikira tidak akan mampu terhitung. Jadi... itulah. A lot of thank you.




Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang budiman. Ada kawan... beri saya buku. Ada kawan... beri saya baju. Ada kawan... beri saya nasihat. Ada kawan... tolong dengar masalah saya. Ada kawan... ingatkan saya. Ada kawan... ajak saya jalan-jalan nak hilangkan bosan. Ada kawan... faham saya. Ada kawan... mungkin buat saya terasa hati, tapi akhirnya saya fikir sesuatu. Saya dapat pengajaran dari peristiwa itu dan pengajaran itu lebih manis dari pahit sakit hati.




Terima kasih kepada guru-guru saya, pensyarah-pensyarah, ustaz-ustaz dan ustazah yang mengajar kuliah. Banyak yang saya dapat. Ilmu yang formal dan secara tak formal. Saya dengar ada cikgu saya di sekolah menengah dulu sedang demam. Maka di sini, saya doakan moga cikgu cepat sembuh. Pembaca... tolong doakan cikgu saya. Ameen.




Terima kasihlah semua. Ada juga yang tak ada kena- mengena dengan saya tapi tetap beri saya sesuatu yang berharga. Mutiara hidup.




Puas. Saya puas dapat berterima kasih kepada semua. Biar 'sesuatu' dalam fikiran saya tak dapat nak diluahkan, namun saya dapat kepuasan dan ketenangan dari sudut lain. Kalau yang membaca ini mengenal saya dan rasa-rasa tidak termasuk dalam golongan-golongan yang disebut di atas... ketahuilah anda sebenarnya termasuk dalam senarai. Anda ada. Dan terima kasih saya ucapkan untuk anda.




Yang penting... ketahuilah yang saya lakukan ini semata-mata untuk mengharapkan redha-Nya. Bukan untuk mengampu mahupun membodek anda. Mungkin terima kasih sahaja tidak mampu membalas segala jasa-jasa anda... tapi saya harap saya dapat lakukan sesuatu sebagai tanda terima kasih saya. Yang pasti, saya sentiasa doakan moga Allah membalas segalanya. Dan ketahuilah... pembalasan dari Allah itulah yang sebaiknya. Ameen...



tulus dari hati,
@isya_YusRa (^_^)

Sebulan yang ditinggalkan~

~Buka lembaran baru menuju dimensi peningkatan~


Sebulan... blog ini sepi tanpa sebarang entry baru. Cuti dan kesibukan, tiada izin untuk berkongsi. Alhamdulillah, hari ini ada kesempatan. Saya menulis hari ini bukanlah kerana hari ini tahun baru tetapi hanya hari ini saya mempunyai ruang dan masa terluang. Kepada semua yang memgikuti blog ini, ribuan maaf diucapkan.




Saya berkira-kira... menyusun idea untuk membaiki blog ini. Ideanya sudah lama tapi belum sempat dilaksanakan. Saya berkira-kira mahu menukar tema bagi blog saya. Dari Kasih Tercipta~ kepada........................


Tunggu da lihat sahaja ye=)




Jika sebelum ini, saya banyak menyentuh bab hubungan kita dengan Allah ( anda boleh lihat entry-entry sebelum ini seperti: Allah... dia sentiasa ada, syukur... tidak cukup hanya diraikan dengan asma Allah dan Ku mohon keizinan itu), kini saya lebih suka membawa mesej MENGENAL DIRI.





" Untuk baiki dunia, baiki manusianya. Untuk baiki manusia, baiki hatinya.."




Itu kata-kata yang saya pinjam untuk memberi hint pada anda.




Setelusnya... saya ini bukanlah berkongsi kerana saya yang terbaik. Saya masih memegang tiket belajar... masih bermujahadah dala membaiki ruang-ruang nubari. Perkongsian: sebagai peringatan untuk diri sendiri terutamanya dan untuk kita bersama. Andai tersalah, saya sangat mengalu-alukan teguran anda.




Mungkinkah anda merasakan ini adalah azam tahun baru saya? Tidak! Saya sudah menghajatkannya lama. Sekarang masa merealisasikannya. Harapannya manfaat itu akan terus mengalir... mengalir ke sungai kebahagiaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah...




Menyentuh bab azam: bukan hanya berazam di tahun baru. Bukankah nabi s.a.w pernah menyebut:




" Hari ini mesti lebih baik dari semalam."



Perancangan saya banyak untuk sesi ini. Teringat kata-kata Ustaz Yazid: benarlah tanggungjawab kita lebih banyak dari masa yang kita ada. InsyaAllah, dengan pertolongan Allah kita mampu. Teruskanlah memperbaiki diri saban hari saban waktu dan saban ketika.




Ingatan ikhlas:
@isya_YuSRa (^_^)


" Ya Allah.. aku ini lemah maka kuatkan aku. Aku ini miskin maka kayakanlah daku... aku ini hina maka muliakanlah aku..."

~Langkah sudah mula~


Langkah saya sudah mula.
Langkah menuju ke mana?


Langkah saya sudah menghampiri jurang paling dalam dan luas. Paling banyak onak dan duri dalam hidup saya sebagai pelajar. Di alam pekerjaan belum lagi. Hihihi...



Tahun akhir... cabarannya lebih. Masa saya rasakan terlalu singkat untuk semester ini. Kerja-kerja yang banyak, laporan dan kerja lapangan membuatkan masa saya terisi dengan maksimum. Sehingga untuk cuti hari raya pun saya seperti tiada hati mahu pulang. Memikirkan kerja-kerja yang belum diselesaikan, cuti jadi menyiksakan.



Tahun akhir juga tahun untuk latihan ilmiah @ tesis. Di bawah seliaan Dr Zuhdi Marsuki, langkah saya telah satu per empat dimulakan. Takut, gementar untuk tesis kali ini. Tajuk tesis saya?...



"Eh, fakulti sains buat tajuk macam tu juga ke?"
"Buat tesis kena guna kitab ke kak?"






Pelik. Teman rasa pelik dengan tajuk tesis saya bila saya katakan saya mahu pinjam kitab daripadanya. Tiada yang pelik. Sains, Islam dan Ilmu... Ia saling berkaitan. Tolong doakan yang terbaik untuk saya dan semoga kajian saya ini ada manfaatnya kepada masyarakat. Doa itu kekuatan dan tatkala gerak langkah saya mula goyah doa itulah penyelamatnya.







Bermula lagi langkah. Langkah menuju ke Bangunan Peperiksaan. Peperiksaan akhir sudah menampakkan sinarnya. Semester ini saya ada 6 kertas yang perlu dijawab. 3 daripadanya untuk subjek major dan 3 daripadanya untuk subjek minor. Minggu ini minggu terakhir pembelajaran dan kertas pertama saya akan bermula 5hb November 2009. Berakhir 18hb November 2009.



Tolong doakan saya ya. Mungkin doa anda lebih makbul dari saya. Siapa tahu. Sudah baca kan post yang lepas? Post " Benarkah yang makbul itu doa kita?". Kita saling mendoakan dan semoga dengan rahmat-Nya, Allah swt redha dengan kita semua. Aminn...


Dalam kesibukan, masih sempat menjadi tukang teknikal untuk Hari Apresiasi Seni dan Sastera PAKK hari ini. Wah... pengalaman baru. Seronok walaupun sangat-sangat nerveous. Tahniah team Dara Merenti, dapat tempat kedua. Kepada pak cik teknikal: jangan lupa ambil saya berkerja nanti ya... dah pakar jaga sound dan peralatan teknikal..Huhu=)


Sesungguhnya ini hanyalah sebahagian daripada langkah-langkah kecil dalam kehidupan ini. Terlalu banyak lagi langkah yang perlu saya aturkan. Langkah ini di antara langkah-langkah permulaan dan saya perlu mengaturnya dengan penuh berhati-hati. Kalau jatuh? Perlu cepat-cepat bangun!!!




Langkah tercipta-UNIC

Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
Mimpi yang seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian,

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengalah
namun jiwaKu berbisik inilah dugaan
Dan langkahku kini terbuka

Pada hikmah dugaan uji keimanan
Tak dilontarkannya ujian diluar kekuatan
setiap diri insan

Allah…
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta


Daku mohon agung kudratMu

Wahai Tuhan Yang Satu

Segalanya dariMu



_download lagu ini di sini_


~Salam Aidilfitri~


Salam untuk semua...


Maaf kerana agak lama saya tidak mengupdate blog ini... Hampir 2 minggu.
Maaf... saya tiada kesempatan. Akhir-akhir Ramadhan ini saya terlalu sibuk dengan pelbagai perkara. Banyak tanggungjawab saya. Alhamdullillah, segalanya berjalan lancar hasil kudrat kurniaan Allah SWT.


Hari ini... saya akan pulang ke kampung. Tak sabar rasanya. Dan yang pastinya di kampung saya juga bakal sibuk. Kakak saya dengan bangganya telah mengorder sejenis kuih dari saya. Itu belum dikira menu2 yang wajib ada di rumah...

(agak-agak berapa patut saya jual? =P)



Doakan saya selamat sampai. Amin...


Di kesempatan yang sempit ini ( saya perlu ulangkaji untuk test petang ini+ berkejar2an untuk mengemas brg dan menyelesaikan beberapa perkara... huhu) saya mengambil kesempatan mengucapkan:


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN


Ringkas... saya tiada idea lagi..hihi.. Maaf ya.



Saya doakan semoga Aidilfitri ini membawa seribu makna buat anda. Moga tarbiah Ramadhan itu akan kekal menjadi urat saraf anda... penguat untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bertambah keimanannya...



Amin Ya Rabbal A' lamin...

~Akhirnya 'dia' milik saya (^_^)~


~Dalam rahsia ada taktik dan strategi.
Di hujungnya kejutan demi kejutan~





Milik saya... akhirnya saya dapat VT saya!



Dapat?...Hmm kurang tepat. Saya membelinya. Hari ini tercapai hajat saya untuk memiliki VT. Sejak dari gerai FESKUM 09 saya asyik membelek-beleknya sahaja. Mengambil masa berfikir. Beli atau tidak. Akhirnya saya terpaksa akur dengan kira-kira. Tiada budget untuk buku pada waktu itu...huhu...


(saya rasa pemilik gerai tu pun memandang2 saya kerana membelek2 tapi tidak beli...hihi)



Tapi hari ini... saya gembira.. VT milik saya...Yipiii...(^_^).




Kerja saya terlalu banyak sebenarnya. Saya perlu siapkan proposal dan tesis, siapkan slide presentation, report makmal, artikel jurnal ISI ( oh... layakkah bagi seorang amatur seperti saya?=)...), report itu report ini. Wah...tak terkira. Tapi VT ni adalah makanan jiwa saya. Untuk menghilangkan tekanan dan kepenatan, saya suka membaca.



Kadang-kadang mungkin saya menonton cerita atau filem... tapi membaca memberikan saya kepuasan maksimum. Buku yang saya beli semuanya saya sudah survey ceritanya, gaya penulisan penulisnya dan yang terpenting... jalan cerita. Filem atau cerita (saya tonton di laptop saja ye...bukan di panggung wayang...huhu) kadang-kadang membosankan, terlalu perlahan jalan ceritanya dan kadang-kadang tiada pengajaran pun. Sebab itu saya suka baca, baca dan baca.



Jadi bilakah masanya untuk VT? Saya telah tetapkan masa untuk VT iaitu selepas Asar sehingga waktu berbuka. Itupun jika saya ikut. Tapi saya rasa saya akan capai VT bila-bila masa saja bila saya penat buat kerja...




VT, sebuah novel tentang bola keranjang (Volleyball Team). Mencetuskan inspirasi dakwah dalam aspek sukan yang sememangnya dekat dengan hati remaja. Siapa kata bersukan kita tidak boleh menyampaikan Islam? Nak tahu bagaimana... bacalah VT. Tapi, ini VT saya... baca VT kamu. hihi.. (^_^)







Macam kenal je wanita dalam gambar ni. Inilah Dr Amida@ Hamidah Abd Hamid. Turut memberikan komen ni muka pertama novel ini. Pernah berguru dengannya dalam bidang penulisan dan komunikasi saintifik selama 1 semester. Menarik ulasannya di muka pertama... Saya... bila lagi ya nak dapat ulasan sebegitu dari Dr Amida?? Hihi...


Cukup-cukup. Saya perlu mentelaah VT saya pula. Hihihi..
Hilal Asyraf... saya sudah dapat VT... saya tunggu SINERGI pula. Cepat-cepat sikit ya terbitnya...
.....................................

~Saya terluka~

Luka itu pedih... menyucuk kalbu dan mencedera jiwa. Hati rasa tersiat kerana keterlaluan pedihnya. Itulah hati saya. Hati saya terluka. Terluka bukanlah kerana cinta atau apa tapi terluka dengan kata-kata. Ya, hanya kata-kata. Kata-kata itu ibarat pedang...yang tajamnya bisa membunuh lawan. Hati saya terpancung dek kata-kata itu. Terlalu pedih. Sakit.


Mudahnya manusia menutur kata... tanpa berfikir akan kesannya. Terdorong dek emosi, kita bisa meluahkan apa sahaja.


Terfikirkah kenapa Allah menciptakan mulut itu satu? Mata dan telinga itu dua? Allah menyuruh kita lebih melihat dan mendengar dan mengurangkan percakapan. Hikmahnya tersirat. Kata-kata kita bisa menguris orang lain... bisa menyedihkan orang lain.



Kali ini... selama lebih 2 dekad usia saya, inilah kali kedua seseorang menerbitkan hal itu. Pertama, semasa di sekolah menengah... tapi ia bukan ditujukan kepada saya tetapi sahabat saya. Dia menangis kerana pernyataan itu. Saya mengerti sekarang mengapa dia menangis. Saya mengalami perasaan itu sekarang. Saya mengerti... terlalu mengerti.


Apalah salah saya sehingga dia memandang menembusi dimensi yang lain. Saya hanya meminta satu perkara. Jikalau tidak mahu beri... tak perlu beri tapi janganlah berkata yang bukan-bukan. Pedih... menyucuk-nyucuk. Sebak dada tatkala dia berkata begitu. Dada saya seakan mahu pecah. Sukar saya gambarkan perasaan saya ketika itu. Seperti saya membuat dosa sebesar gunung padanya. Allah... dosa kecil pun saya tidak sanggup menanggung, inikan sebesar gunung. Allahuakhbar...


Tanpa sedar... kadang-kala air jernih itu mengalir juga. Ketika duduk, berjalan berseorangan... walaupun tidak terzahir pada penglihatan tapi hati saya menangis hiba. Ketika saya bertadarus dan terjumpa ayat-ayatNya yang berkaitan dengan perkara tersebut, kolam mata saya akan terus bergenang. Mungkin ada yang melihat saya senyum, ketawa... tapi dasar hati saya hanya Allah yang mengetahui. Pedihnya... hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sungguh... luka ini terlalu berat untuk saya tanggung.


Kelukaan ini juga menyebabkan saya mengabaikan seseorang. Seseorang yang agak rapat dengan saya. Saya biarkan pesanan-pesanan ringkasnya... saya biarkan panggilan-panggilannya. Maafkan saya. Saya bukan sengaja tapi kelukaan ini menjadikan saya seorang yang sensitif. Saya hanya boleh berbicara dengan orang-orang tertentu sahaja.



"...Dalam bulan Ramadhan ni, Allah beri kita ujian. Kalau kita sabar... kita akan dapat pahala tapi kalau sebaliknya... kita tak dapat apa-apa..."

Hafizuddin Hasni



Benar katanya... sabar itu pengubat jiwa saya. Saya bersabar dengan kata-katanya walaupun saya tahu saya tidak mempunyai kekuatan maksimum. Sabar...itu kemanisan yang berbuahkan syurga.



"...Sabarlah Aisya_Yusra. Marah dia tu tandanya dia........hahaha"
Zahidah Ishak

Ada juga yang menghiburkan hati saya. Masih ada yang sudi membalut luka saya yang terbuka luas itu.. Saya tak mahu menyambung ayat tersebut kerana ayat itu hanya suka-suka. Penghibur hati sendiri di kala duka. Itu sahaja yang saya mampu. Menutup kelukaan dengan kegembiraan. Hipokritkah? Biarkan... Saya hanya mampu buat itu. Sabar dan mencari kegembiraan.



Saya bukanlah pendendam. Saya bukanlah membenci dia. Namun, hati saya terluka dan kelukaan itu pasti mengambil masa untuk sembuh. Entah bila kesembuhan itu akan tiba... saya tidak pasti. Kelukaan itu terlalu pedih untuk saya. Tetapi yang pasti, saya tidak akan biarkan ia hadir dengan sendiri. Saya akan mencarinya. Ya, mencari kesembuhan... dengan kalamullah dan dengan zikirullah. Insyaallah ia akan hadir. Saya pasti itu. Tiada yang menghampakan andai ia melibatkan Allah Yang Maha Kuasa.
.............................

~Mencari kepastian~


Celaru...

Fikiran saya bercelaru...


Alahai, sukarnya saat ini. Di mana kepastian yang dicari? Saya belum menemuinya... saya belum jumpa... saya belum ketemu jawapannya.


Alahai, bila fikiran bercelaru saya sukar berfikir dengan tenang. Fikiran saya menjadi penat. Menjadi lelah sehingga membataskan pergerakan jasmani saya. Sungguh, bila fikiran menjadi berat, jasad terasa bejat.


Hari ini saya telah merancang setiap aktiviti yang ingin saya lakukan. Namun, sejak dua hari ini, segalanya tidak menjadi. Dugaan buat saya. Saya lebih rela menempuh ujian fizikal daripada ujian mental. Ujian dalaman. Sukarnya ujian ini... saya merasainya sekarang.


Terapi Ramadhan menjadikan saya sedikit tenang. Saya sentiasa berharap ketenangan yang bertandang itu terus kekal di dalam hati, namun kecelaruan tetap datang bila saya memikirkannya. Janganlah bermain kata dengan saya. Saya bukanlah sasterawan yang bijak mentafsir. Bukan juga sasterawan yang mudah mengerti setiap bait kata itu. Saya keliru.



Kurang semangat, kurang penghayatan.
Semuanya kerana kekeliruan ini.


Saya perlu bangkit. Tapi bagaimana? Kekeliruan ini hanya boleh dijawap oleh insan-insan itu. Saya tak mampu mentafsir. Andai tersalah tafsir, saya juga yang menanggung akibatnya. Tapi saya perlukan sedikit cahaya untuk keluar dari kegelapan ini. Biarpun hanya sedikit. Biarlah sedikit, asalkan tidak teraba-raba hingga sesat di perjalanan. Itulah kata-kata ' teman bicara hati ' saya.


' Teman bicara hati'
Dialah sahaja yang memahami saya. Memberi saya sedikit udara untuk bernafas dalam kecelaruan ini. Memberi saya sedikit kekuatan untuk menghadapi kecelaruan ini. Syukur, Allah mengurniakan teman sepertinya.


Temanku... masalah kita hampir serupa.
Bicara itu biarlah tersemat kukuh di hati kita. Hanya kita berdua.
Saya teringat akan satu sirah berkaitan Saidina Abu Bakar r.a...
Ketika kebimbangan dan kecelaruan. Ketika hijrah, apabila dia dan Rasulullah SAW bersembunyi di dalam gua Tsur, dia amat gelisah. Kerana orang quraisy sudah berada di hadapan pintu gua. Dia berkata kepada Rasulullah SAW dalam resah:
“Ya Rasulullah, andai kata mereka menundukkan kepala dan melihat ke dalam gua, nescaya mereka akan dapat melihat kita”

Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kamu, jika kita berdua, dan yang ketiganya adalah Allah?”
Ini memberikan kesan dalam keimanan Abu Bakr RA. Tenteramlah hatinya. Hilanglah gundahnya. Daripada Rasulullah SAW, dia belajar untuk yakin sepenuhnya kepada Allah SWT. Dan daripada sirah ini juga, saya belajar yakin sepenuhnya kepada Allah SWT. Kecelaruan ini dariNya dan Dialah yang akan memberikan jalan keluarnya.


Insyaallah... Saya perlu meneruskan terapi sendiri. Tiada gunanya terus kekal dalam kecelaruan ini. Jawapannya tiada pada saya... tapi pada mereka.


.....................




~Ku mohon keizinan itu~


Jika Allah tidak memberi izin, apakah yang mampu kita lakukan?

Tiada...

Tiada apa yang mampu kita lakukan. Walaupun sekadar mengerdipkan mata, walaupun sekadar mengangkat tangan. Segala apa yang berlaku hanyalah dari kudrat Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:



'Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.'

(surah At-Thaaghabun ayat 1)


Bila saya memuhasabah diri, saya terfikir. Terlalu banyak perkara yang perlu saya lakukan. Ingin saya lakukan. Dalam menjadi hamba-Nya yang patuh akan segala perintah dan dalam menghadapi kehidupan ini sebagai pelajar, sahabat, dan anak. Namun, apalah yang ada pada kudrat seorang Aisya Yusra? Saya tiada apa-apa... penggantungan saya 150% kepada Allah.


Saya sangat takut seandainya Allah membiarkan saya. Membiarkan saya sendirian. Selepas azan malam Nisfu Syaaban yang lalu, saya sempat berdoa panjang. Alhamdulillah, Tuhan beri saya kesempatan. Namun, saya merasakan masih ada terlalu banyak lagi yang ingin saya minta. Saya bukanlah tamak. Tapi saya takut... takut dibiarkan... takut andai tidak diberikan keizinan itu. Tetapi saya tetap meletakkan prasangka baik kepada Allah di puncak segala pengharapan.


Ya... penggantungan saya 150% kepada Allah. Tiada yang lain. Hanya Dia Yang Maha Cinta.


Allah tidak akan sedetik pun meninggalkan hambanya. Cuma kita yang terkadang lupa. Hanya mencari Allah ketika ditimpa kesusahan, ketika bersedih... ketika semua yang berada di sekeliling meninggalkan kita. Ketika kita gembira, suka... jarang sekali kita mengucapkan syukur. Mengingati bahawa semua itu adalah kurniaan-Nya.


Kadang-kala saya melihat orang-orang di sekeliling saya. Melihat, memerhati dan berfikir. Pedih di hati saya terasa seandainya keizinan untuk beribadah dengan sebenar-benar ibadah itu tidak diberikan kepada orang-orang di sekeliling saya. Juga pada saya.


Siapalah saya untuk memaksa agar 'mereka-mereka' itu solat di awal waktu, meninggalkan urusan dunia itu sebentar untuk mengadap Allah seketika. Siapalah saya untuk menyuruh mereka menyeimbangkan urusan-urusan mereka? Saya hanya mampu mengingatkan... ingat dan ingat sambil mengajak.


Kerana urusan-urusan dunia kita terlupa akan kewajipan kita yang sebenarnya. Hakikat penciptaan kita sebagai hamba kepada Rabb.


Saya sangat sensitif tentang hal-hal yang berkaitan dengan solat. Saya sentiasa mengingati diri saya agar menjaga solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Saya sangat-sangat alah melihat orang-orang yang meringan-ringankan solat. Yang masih bermain game, mendengar lagu dan sebagainya sedangkan waktu semakin merangkak pergi.


Apakah kita punya terlalu banyak kesempatan untuk melaksanakannya di akhir waktu? Adakah kita pasti umur kita akan dipanjangkan sehingga kita selesai melaksanakannya?


'Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya). '

(49 :Surah Yunus)

Sememangnya Allahlah punca segala kudrat. Dia yang memberikan keizinan dalam setiap perilaku manusia. Namun, kita tidak boleh menyalahkan Allah andai sesuatu tidak dapat dilaksanakan. Kadangkala Allah memberi izin, tetapi kita yang tiada kemahuan.


Allah membuka telinga kita mendengar bunyi jam loceng yang mengejutkan dari tidur kala subuh hari. Memberikan kita sahabat yang membantu membangunkan tetapi kita masih senang menarik selimut... lebih senang melayari mimpi.


Allah memberi izin...tetapi kita tiada kemahuan.

Lalu bagaimana?


Berdoalah kepada Allah dan bergantung haraplah kepadanya tetapi jangan pula meninggalkan usaha untuk meningkatkan tahap keimanan. Ikhlaskan pada hati segala amal itu untuk Ilahi. Hidup dan mati untuk-Nya. Teguhkanlah dalam diri kalam Rabbani dan jadikan pesanan nabi sebagai panduan diri.


Ya Allah... aku mohon keizinan itu...
Kumohon kudrat pelaksanaan dari keizinan itu...
Amin ya rabbi.

~Bila @isya_YuSra demam~


Muhasabah cinta-Edcoustic


Wahai Pemilik nyawaku betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu kupasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru kusedar indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur kini kuharapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini ya ilahi..
Muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku lindungiku dari putus asa
Jika kuharus mati pertemukan aku dengan-Mu


Demam saya kembali menyerang hari ini. Badan saya panas, bercampur selsema, pening kepala dan batuk. Dua minggu lepas saya demam juga. Simptom-simptom yang sama juga kali ini. Dua hari lepas, saya menemani kawan saya ke klinik universiti untuk mendapatkan rawatan sakit mata. Tak sangka rupa-rupanya hari ini saya demam kembali.


Dua hari lepas...

Roomate saya demam. Kawan saya sakit mata. Saya pula sihat walafiat. Saya lihat ubat-ubat yang roomate saya makan. Banyaknyaa... Petang itu, saya teman kawan saya yang sakit mata tu pergi ke klinik. Ramainya orang sakit. Kebanyakan demam...saya rasa. Saya berada di tengah-tengah kelompok mereka.

Dalam hati, saya memanjatkan kesyukuran. Alhamdullillah saya sihat.

Hari ini... saya pula yang kurang sihat. Bermula pagi semalam saya selsema. Macam orang baru lepas nangis. Hari ini, bertambah teruk... ditambah pula dengan pening kepala.huhu..


Saya... bukanlah seseorang yang jenis terikut-ikut dengan kesihatan yang kurang baik. Maksudnya di sini, saya tak akan 'memanjakan' diri saya hanya kerana demam. Sesetengah orang bila demam, mind set nya telah diprogramkan

"aku demam...aku tak larat..."

"peninglah...nak jalan pun tak larat."


Malah ada yang berbaring sepanjang hari. Mengharap makan disediakan, disuapkan. Tapi saya tidak. Kalau saya demam, saya akan buat perkara-perkara yang boleh mengeluarkan peluh. Tujuannya supaya saya cepat sihat.
Malam semalam saya suda dapat rasakan yang saya akan demam. Namun, saya programkan minda saya- jangan dilayan sangat demam tu.


Pagi-pagi lagi saya sudah bangun. Lebih awal daripada roomate2 saya yang sihat walafiat. Mandi dan bersarapan di bawah dengan teman. Kemudian saya menjahit baju, menyiapkan report makmal, mengadap komputer, turun semula ke dewan santapan-tapau makanan tengahari dan makan.

Kalau di rumah, saya tetap buat kerja-kerja seperti biasa tapi dalam kelajuan yang paling rendahlah. Kadang-kadang saja melompat-lompat setempat untuk keluarkan peluh.hihihi. Bila saya demam, antara minuman wajib saya- air limau nipis suam. Di sini, tak bolehlah nak buat air tersebut. Limaunya tak ada. Sesiapa yang sayangkan saya...boleh belanja air limau suam?? hehe...


Pukul 1 petang, pening kepala saya semakin menjadi-jadi. Saya makan panadol sebiji kemudian bergerak ke katil. Hajat di hati ingin berehat sekejap sementara menunggu Zohor tapi nampaknya tak kesampaian. Kepala saya bertambah pening bila mendengar sekumpulan pelajar India berlatih lagu kebudayaan mereka. Lagu tamil. huhu. Kalau hindustan saya tak la kisah sangat. Sangat kuat...seolah-olah saya rasakan berada dalam panggung cerita Tamil. Tak bolehkah berlatih senyap-senyap? Buat gaya cukuplah, jangan keluarkan suara. Boleh? hehe


Pukul 1.15 mereka senyap tiba-tiba. Saya sangkakan mereka sudah tamat latihan. Amanlah... tidur 15 minit pun jadilah. Rupa-rupanya tidak. Mereka tukar lagu lain pulak.huhu...

Saya memang tak mampu nak buat apa-apa lagi. Kepala saya semakin memberat. Saya sapu minyak cap kapak dan saya ajak roomate2 saya bersembang. Kalau saya layan pening tu lagilah terasa sakitnya. Saya ambil nota, saya baca sambil baring. Lusa saya ada test, jadi saya tak mahu sia-siakan waktu yang ada. Akhirnya, saya terlena dengan nota bab Fungi di tangan.

Bangun dari tidur, saya rasakan sedikit kelainan. Pening kepala sudah surut tapi masih selsema. Alhamdullillah... semoga esok saya akan sihat sepenuhnya.

~400x1~

Tak tahu bagaimana mahu memulakan post ini. Saya terfikir 2 perkara saat ini, yang kedua-duanya sangat berkaitan. Lalu, saya memutuskan: saya simpan yang buruk dan ceritakan hikmahnya. Itu lebih bererti dan bermakna... hihi. Emosi saya tidak 100% seimbang semalam. Geram saya menggunung, seakan-akan mahu tercetusnya letupan. Memuntahkan lahar panas. Wah, overnya ayat saya...hihi.

Jujurnya saya tidak tahu. Mengapa yang baru ini sama dengan yang lama? Saya terfikir. Saya merenung... Akhirnya saya putuskan.


"Ini adalah ujian. Allah ingin menduga saya kerana Dia menyayangi saya. Dia mahu saya kenal akan diversiti ciptaan-Nya. Ini adalah tarbiahnya."


Saya tersenyum... berpuas hati dengan jawapan tersebut. Namun syaitan masih cuba menyuntik hasutannya kepada saya. Tak peduli...saya tetap tersenyum. Seorang diri. Apa pandangan anda? Saya tidak waras?


Saya teringat kata-kata seseorang yang boleh saya panggilnya adik. Saya agak rapat dengannya semenjak menjejak kaki ke universiti. Saya mengadu pada mulanya. Mengadu kepenatan membuat kerja rumah seorang diri tanpa bantuan sedangkan di sisi ada orang yang boleh membantu. Sayalah yang memasak, sayalah yang menyapu sampah, sayalah yang menyiang ikan. Pendek kata semua saya buat.Bersungguh-sungguh saya mengadu. Saya penat. Teramat-amat penat.


Namun, hanya jawapan pendek yang dia berikan:


" Buatlah kerja tu dengan senyuman dan keikhlasan."


Saya tertawa. Saya katakan sebegitu banyak aduan saya, dia hanya menjawab dengan 7 perkataan. Dia membalas dengan ketawa juga. Hehehe: itu saja yang dia tahu.


Saya seperti disuntik semangat baru. Saya buat semua kerja dengan senyuman. Lipat baju saya senyum, ambil surat di peti surat pun saya senyum, angkat kain digigit kerengga pun saya senyum. Semua gara-gara kata- kata 'adik' saya yang seorang ni. Kepenatan yang saya rasakan sebelum ini entah melayang ke mana.


Sungguh, bila saya teringatkan perkara itu... cairlah kegeraman saya. Saya terus tersenyum dan hari ini apabila saya berjumpa lagi dengan 'ujian ALLAH ' itu dan melihat kerenahnya saya hanya perlu menggerakkan sedikit mulut saya agar membentuk lekukan senyuman. Saya niatkan senyum saya itu sebagai ibadah, sebagai penyucian hati dan sebagai husnulzhon. Kalau anda kata saya tak waras terpulanglah pada anda. Niat saya hanya seperti di atas

~ibadah-penyucian hati-husnulzhon~





Kenapa ya kalau kita tersenyum hati akan gembira?



Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.



Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.


Anda juga perlu sedar bahawa bayi lebih banyak tersenyum dari orang dewasa. Bayi senyum 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Wah, kita orang dewasa kedekut senyuman ye.

Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.


Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.




Kawan saya pernah bergurau. Mengatakan saya bayi- tak ada gigi. Ooh, saya ingin menjadi bayi bermula saat ini. Tapi bukan dari segi fizikal dan bersikap seperti bayi... tapi saya ingin mencuba untuk senyum 400 kali sehari. Sesiapa yang menerima senyuman saya (termasuk almari, cermin, semut, skrin laptop dan kawan-kawan) itu termasuk target 400 kali senyum saya...hihi.


Mudah mendapat pahala bila diniatkan untuk ibadah

Mudah beroleh ketenangan jiwa bila tiada berburuk sangka


Senyumlah... Ada sesiapa yang mahu sertai kempen 400x1 hari saya? Tiada yuran penyertaan, yang perlu hanya SENYUMAN IKHLAS ANDA.


~Kira dan tunggu~

Hari ini saya rasa panas membahang. Walaupun dewan kuliah di fakulti saya berpenghawa dingin, saya tetap rasa panas.

Saya mengantuk.

Saya lapar.

Allah, hari saya terasa panjang. Sememangnya jadual saya agak padat untuk semester ini. Isnin hingga Rabu, sepanjang semester. Hari ini adalah hari yang paling padat. Kelas saya bermula 8 pagi dan berakhir jam 5 petang, hanya berhenti rehat sejam untuk solat Zohor. Saya tidak pernah berasa penat dan lelah seperti hari ini. Perut saya berbunyi-bunyi kira-kira jam 12.30 tengahari. Wah, dari terasa lapar, saya geli hati. Geli hati mendengar bunyi perut sendiri. Hahaha…

Saya sangat mengantuk. Saya mengira-ngira waktu. Jika amali tamat awal pada hari ini, saya akan terus mencari bantal sebaik sampai di kolej. Saya mengira-ngira juga. Mengapa terlalu lapar dan mengantuk. Saya mengira-ngira dengan jari. Ooh… mungkinkah?

Pelbagai cubaan menduga saya hari ini. Menduga kesabaran terutamanya. Menjadi kumpulan terakhir untuk evaluation memang teruji kesabaran. Tetap menunggu dalam sabar, dalam keadaan mengantuk dan lapar. Fikiran saya membayangkan bantal dan katil bercadar hijau. Fikiran saya melayang lagi…

Oh, hari ini 27 Rejab. Kita sedia maklum hari ini hari Israk dan Mikraj. Bercakap tentang ujian, ia lebih hebat -bukan sahaja menguji kesabaran tapi keyakinan.

Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rasulullah saw sesungguhnya menguji keyakinan umat Islam ketika itu. Peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah saw itu dianggap tidak masuk akal oleh golongan kafir dan munafik pada masa itu. Malah ia turut diragui oleh sebilangan umat Islam yang tipis imannya. Peristiwa Israk dan Mikraj memang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad saw.

Semasa dalam perjalanan israk dan mikraj ini Nabi saw telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa suka dan duka; menghibur dan menakutkan silih berganti. Rasanya tak perlu saya ceritakan di sini.

Peristiwa besar dalam Israk dan Mikraj ini ialah apabila Rasulullah saw menerima perintah mengerjakan solat. Berbeza dengan ibadat lain seperi puasa, haji, zakat, ibadat solat diterima secara langsung daripada Allah swt.

Perintah bersolat. Anda tahu tak bahawa kita selalu mengulang-ulang peristiwa ini dalam kehidupan seharian kita? Asasnya 8 kali sehari, tidak tercampur dengan yang sunat.

Pabila telah mendapat perintah solat dari Allah, maka berkatalah Rasullullah:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.”

Dan Allah menjawab,
"Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya."

Jawab rasul saw
"Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. "

Dan berkata pula para malaikat yang mendengar perbualan tersebut,
"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad"

Tahukah anda perbualan tersebut adalah bacaan dalam tahiyat? Hmm…semoga kita lebih menghayati dan khusyuk dalam solat selepas mengetahui akan hal ini.

Saya berkira-kira lagi. Kelas sepatutnya tamat pada pukul 5 tapi telah melebihi hadnya. Tepat 5.35 petang saya tiba di bilik. Semestinya saya mencari katil dahulu. 5 minit 10 minit, saya bangun semula. Saya belum solat Asar.

Saya menunggu lagi. Menunggu waktu berbuka. Alhamdullillah ada rezeki dari Allah.
Dalam fikiran saya telah terbayang 1 perkara…saya akan laksanakannya selepas solat Isya’… Rasanya anda tahu bukan rancangan saya itu?.....