
Saya berjaya menghabiskan buku Langit Ilahi: Tuhan tidak lupakan kita ini pada hari Rabu, tepat 9.25 pagi. Sementara menunggu lecturer masuk, saya khusyuk membaca. Oh ada hikmahnya ye lecturer saya terperangkap dalam kesesakan jalan raya=). 60 bab dalam buku ini saya hayati dengan penuh minat. Menarik. Gaya yang bersahaja dan penuh ilmiah.
Mengenali Hilal Asyraf melalui websitenya langitilahi.com menyebabkan saya tertarik untuk membeli buku ini. Saya jumpa buku ini dahulu, buka websitenya dan baru beli bukunya...hihi. Beli di Pekan Buku harganya dikurangkan kepada RM18.90...bermakna saya jimat rm2 lebih.
Secara keseluruhannya saya dapat membahagikan buku ini kepada beberapa bahagian daripada 60 bab tersebut.
Menyentuh bab hakikat kita sebagai manusia membuat saya terfikir. Kita sebenarnya makhluk mulia. Firman Allah yang bermaksud:
" Sesungguhnya Kami ciptakan insan itu dengan sebaik-baik penciptaan."
At-tin:4
Cuba kita fikir, bagaimana jika Allah menjadikan kita sebagai batu? Batu yang saban hari dipijak orang, batu yang kadang-kadanng di baling pada monyet. Kalau dijadikan sebagai kambing pula macam mana? Kambing yang takut pada air, yang menunggu untuk disembelih? Cuba bayangkan. Justeru kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat kehidupan kita. Jangan memandang orang yang rendah darjatnya, kurang pelajarannya kerana hakikatnya kita ini makhluk yang mulia. Kita semua sama, yang menjadikan kita lebih mulia hanyalah IMAN dan TAQWA.
Dari mana kita datang, kenapa kita didatangkan dan ke mana kita hendak pergi? Jawapannya hanya 1 iaitu ALLAH. Datang dari Allah untuk beribadat pada Nya untuk kembali ke syurga. Jelas bukan?
Satu lagi bab yang menarik minat saya ialah Motivasi dalam Sirah. Saya minat juga bab-bab sejarah ni (ambil kursus pun tentang sejarah). Sirah rasul dan para sahabat memberikan banyak pengajaran. Kita belajar dari sirah, mengambil motivasinya untuk menjadi lebih semangat, tawaduk dan tawakkal dalam hidup.
Kadang-kadang kita mungkin tersentuh dengan sirah-sirah terdahulu, tapi kita jarang mengambil pengajaran daripadanya. Bagai angin lalu... bila angin yang membawa bayu sejuk menyapa, kita akan merasa kesejukannya, namun bila ia berlalu pergi kita lupa akan kesejukkan itu.
Menarik. Buku ini menarik apabila diselitkan dengan pengalaman penulis sendiri. Saya sangat menyukai keperibadian Dr Thowalbeh, mudir dan Sir Abduh.
' Hikmah orang tua perlu ada dalam semangat orang muda'
Betul juga. Saya teringat juga pada Ustaz Ustazah dan guru-guru saya di sekolah dan universiti. Memang kita perlu sematkan hikmah mereka dalam diri kita- orang muda.hihihi.
Tapi saya rasakan buku ni seolah-olah tergantung kerana di akhiri dengan cerita tentang Sir Abduh. Saya tercengang-cengang. Eh, dah habis ke? Saya selak muka surat belakang... memang tiada tulisan lagi, yang ada hanya gambar-gambar buku baru. Eh, dah habis?? Saya memang rasa tak puas hati. huhu
Saya tahu, pengisian dalam buku ini adalah hasil dari tulisan dalam blog beliau yang terdahulu. Namun, saya akui... saya berpuas hati akan isinya tapi bukan endingnya... hihi. Tak rugi rasanya saya membeli buku ini. Seronok, enjoy dan bermanfaat. Belilah, kalau nak pinjam pun saya sedia beri...
Andai mendongak ke LANGIT
adakah itu tandanya sombong dan lupa diri?
Tiadakah di sana kasih Ilahi yang dicari?
LANGIT ILAHI- di sini kasih terpatri!

Tajuknya nampak menarik bukan? Tidakkah anda rindu pada Allah? Sebenarnya saya belum membaca buku ni...hihi... tapi saya postkan di sini sebagai... hmm...sebagai keinginan saya, sebagai matlamat saya= saya perlu jadikan ia koleksi peribadi. Ulasan ini saya pinjam dari blog seorang kawan. Moga kita bersama mendapat manfaatnya.
Bagaimana kita mahu menumbuhkan perasaan cinta kepada Allah? Ada 3 cara semuanya yang dituliskan oleh penulis.
Pertama
Kita harus dekat dengan Al-Quran dan wujudkan komitmen di dalam diri untuk melaksanakan perintah Allah seperti yang terkandung di dalam kitab suci itu. Kita harus sedar apabila kita membacanya adalah dengan tujuan cuba memahami apa yang dibaca dan bersungguh-sungguh membaca dengan tartil serta cuba untuk menangis ketika membacanya.
Kita renung sedikit hadis ini,
Siapa yang merasa senang dapat mencintai Allah dan RasulNya, makahendaklah dia membaca al-Quran. (Hasan - Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim , Al-Baihaqi)
Allah menggunakan kaedah pengulangan dalam memberi pemahaman kepada kita dengan cara penyampaian yang berbeza di dalam kitab sucinya. Kaedah ini cenderung untuk memberi keyakinan kepada akal dan mempengaruhi perasaan.
Mari kita bersama-sama menjadikan Al-Quran sebagai aktiviti prioriti di dalam setiap hari-hari kehidupan kita. Jangan biarkan hari berlalu tanpa membaca Al-Quran dan maknanya. Biar satu ayat sahaja dibaca, tetapi jikalau kita konsisten, maka itu sudah cukup bermakna. Janganlah kita menjadi manusia yang membaca buku keduniaan bertimbun-timbun, tetapi Al-Quran sekali sekala sahaja dijenguk. Selain itu, kita juga harus membiasakan diri membaca hadis-hadis Rasulullah saw.
Saya petik lagi kata-kata Ibnu Rajab yang diperolehi melalui buku ini iaitu :
Mendengarkan Al-Quran itu sama sahaja dengan menumbuhkan Al-Quran dalam hati, sebagaimana air mampu menumbuhkan sayur-sayuran
Kedua
Anda boleh baca secara detail pada halaman 239. Secara kasarnya, kaedah kedua ialah kaedah yang cuba mengajak kita berfikir balik tentang alam dan seluruh kehidupan kita. Dari situ kita akan nampak bukti-bukti keagungan Allah.
Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun? Dan kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah). (Surah Qaf - 6-8)
Ketiga
Melakukan perbuatan-perbuatan soleh. Boleh dibaca pada halaman 248. Di sini, saya suma ringkaskan sahaja. Melalui buku Aku Rindu Pada Allah, penulis memberi 6 contoh perbuatan soleh itu. Berikut ringkasannya :
Kita harus belajar mengingati nikmat-nikmat Allah. Kata penulis, kita terlalu sibuk menimbun nikmat-nikmat sahaja tanpa kita sempat memperhatikan pemberi nikmat-nikmat itu. Apabila kita suka berfikir tentang nikmat Allah, maka secara tidak langsung akan membantu kita sentiasa bersyukur. Ajaklah orang lain untuk berfikir-fikir tentang perkara sama. Wujudkan diskusi dan sembang-sembanglah sesama kawan-kawan yang bertemakan tentang nikmat-nikmat Allah.
Ambillah pelajaran daripada setiap apa yang berlaku di seluruh kehidupan kita. Kejadian yang terjadi pada diri kita sendiri juga harus dilihat sebagai pengajaran dan bukti-bukti cinta kasih Allah kepada kita. Setiap orang ada jalan kehidupannya yang tersendiri. Ada kehidupan yang susah dan ada kehidupan yang senang. Semuanya itu mengandungi makna yang bukan sia-sia dan memerlukan mata hati kita untuk memerhatinya betul-betul, bukanlah semata-mata untuk menjadi alasan kepada kita berburuk sangka kepada Allah.
Banyakkanlah mengunjungi orang sakit, orang miskin, anak yatim, penjara, kawasan peperangan, orang kurang paya dan sebagainya. Apabila kita melihat mereka, secara tidak langsung akan mewujudkan rasa syukur di dalam diri.
Susah mana pun kita, ada lagi orang yang susah. Bayangkan jikalau kita tidak ada mata, Ya Allah, tidak dapat dibayangkan. Bayangkan jikalau sakit dan hanya mampu baring sahaja di katil, Ya Allah tidak dapat juga dibayangkan.
Walaupun Allah memberi kita kesusahan dalam kehidupan tetapi kita jangan lupa Allah juga memberi perbagai nikmat lain yang tidak terkata. Tetapi kita tidak nampak nikmat-nikmat itu, apa yang kita nampak ialah dari sudut negatif. Mari kita belajar berbaik sangka kepada Allah. Binalah kehidupan yang ceria dan redha dengan setiap apa yang Allah tentukan.
Banyakkanlah ucapan Alhamdulillah. Banyakkanlah berzikir kepada Allah. Minta kepadaNya untuk sentiasa diberikan kenikmatan dan dilimpahkan rezeki. Jangan kita sombong padaNya. Kita cuma hamba. Dia adalah Tuhan yang sentiasa menyayangi dan membantu kita. Jangan lupa, bantulah orang lain untuk turut sama belajar mencintai Allah.
Belilah buku ini. Tidak rugi. Selamat bercinta kepada Allah!
