~Bahagia-bahagia dunia... harapnya kekal ke syurga~

~Mereka cahaya cinta saya~



Bahagia-bahagia dunia... terlalu banyak perkara yang membahagiakan di dunia ini. Terpulang kepada perspektif manusia untuk memanifestasikan kebahagiaannya. Saya bahagia... anda bagaimana? Dan besar rasa di jiwa saya agar bahagia- bahagia dunia ini berkekalan hingga ke syurga. Moga bahagia-bahagia dunia inilah yang menjadikan saya insan yang sentiasa bersyukur dan kurniaan-Nya. Moga bahagia- bahagia dunia inilah yang mengingatkan saya bahawa saya hanya insan kerdil yang tiada apa- apa jika tanpa belas kasihan dan rahmat Yang Maha Pencipta.





Dunia ini sememangnya hanyalah sandaran sahaja. Hidup kita... tiadalah bermatlamatkan dunia. Akhirat juga selamanya. Akhiratlah yang menentukan adakah kitalah orang yang paling bahagia. Tapi hiduplah di dunia ini dengan rasa bahagia kerana dengan rasa itulah kita mampu meneruskan kehidupan dunia sebagai semaian amal menuju akhirat yang abadi. Bahagia melakukan amal ibadah keranaNya... bukankah itu enak bunyinya dan mudah perilakunya?





Lihatlah... Rasullullah adalah orang yang sangat bahagia walaupun baginda bukan dilahirkan kaya raya. Baginda si miskin yang yatim piatu. Pernah mengembala kambing dan merasa dilempar batu. Jika dibandingkan dengan kehidupan kita zaman ini terlalu luas dan besar jurangnya. Jadi mengapa mencipta alasan untuk tidak bahagia? Berbahagialah dengan apa yang Allah kurnia pada kita... bukan membandingbeza kurniaan orang lain dengan apa yang kita ada.







Bahagia yang saya rasa... sering kali menjengah dalam tempoh masa seminggu ini. Bahagia. Sangat-sangat bahagia dan rasanya bagai berbunga-bunga dalam jiwa. Wangiannya menyemarak ceria. Bahagia... ya, saya bahagia.





Bahagia saya bukanlah dari sudut harta benda yang saya ada. Saya tidak kira dari sisi itu. Saya bahagia dengan insan-insan yang berada di sekeliling saya. Saya ada keluarga yang ceria... yang tidak pernah lupa memberi kata dorongan dan pertolongan. Saya ada sahabat- sahabat yang sentiasa menemani jalan... saya ada adik-adik yang menceria suasana. Saya ada pengajar-pengajar yang banyak menyuluh cahaya. Saya ada kamu semua...


~Ceria semuanya~





Tiada kata selain kesyukuran yang selayaknya selain kepada Allah swt. Hanya dia yang mentadbir alam buana ini dan hanya Dialah yang memberikan segala kebahagiaan yang saya rasakan ini. Alhamdulillah... segala puji bagiMu.





Insan- insan ini... hadir mereka memang membuah bahagia pada saya.





Bahagialah kamu semua. Bahagia dengan apa yang kita ada. Bukan memandang kebahagian orang lain dengan kaca mata kesukaan kita. Masing- masing manusia semuanya telah ditetapkan rezekinya. Maka yang ada itulah untuk kita... yang ada pada mereka untuk mereka. Benarlah... bahagia itu letaknya pada hati yang sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang ada. Moga bahagia-bahagia dunia ini kekal ke syurga. Moga bahagia- bahagia saya, anda dan kita semua mendapat redha dan rahmat kasih sayang-Nya.



by Aisya_Yusra
1.00pm

0 comments:

Post a Comment