~Usaha tanpa ada rasa CUKUP~



Salam pertemuan kembali...


Hampir satu bulan blog ini tidak diupdate. Menyiapkan projek penyelidikan merupakan priority saya saat ini. Blog hanya dijenguk dan dibalas komen, tanpa ada sebarang post baru. Walaupun dalam fikiran, ada banyak yang ingin dikongsi... ada banyak yang ingin diberi. Alhamdulillah hari ini ada kesempatan. Mengambil sedikit ruang kerehatan sebelum esok saya bakal berdepan satu gerak- gempur. Gerak- gempur apakah? Hihi... adalah=)

~Ini dia... fasa kesulitan 1 telah ditempuhi~




Seseorang menegur;

"Akak bila nak update blog?"

Jawapannya hari ini... hihi.


* Belajar dari kehidupan




Hidup kita penuh dengan melankolik. Sahabat saya kata, itu dia hitam putih kehidupan. Hitam putih sahajakah? Saya kata warna warni ada juga. Hitam putih nampak macam terlalu membosankan. Hanya ada dua. Mungkin yang dia maksudkan gembira dan kesedihan. Saya rasa tidak. Hidup penuh dengan warna- warna.

Kita mungkin suka warna hijau... tidak suka warna yang terang-terang, yang menyakitkan mata. Ada orang lain suka warna seperti itu... tidak suka warna yang kita suka tadi. Begitulah hidup. Maka setiap warna- warna itu kita kena telusuri... sama ada kita suka atau tidak. Kalau pelangi itu perlu lengkap dengan 7 warna, begitulah hidup kita. Untuk lengkap satu pusingan kehidupan maka perlu hadapi semua warna- warna itu.



Warna yang kita suka kita tidak akan banyak komen. Hidup dipenuhi kehendak dan cita-cita sangat menyenangkan. Allah beri segalanya bahkan pada benda yang kita tidak duga. Allah beri sesuatu yang kita tidak pernah usaha. oH~ syukurlah.



Kadang-kadang kita rasa... sudah banyak berusaha maka memang selayaknya kita dapat kurnia. Kurnia bentuknya kejayaan. Kalau dapat keputusan cemerlang, kita kata:



"Inilah hasil penat- lelah saya. Saya belajar siang dan malam, buat latih tubi maka selayaknya saya berjaya."



" Program berjaya. Hebatnya aku."



Inilah dia satu falsafah yang salah. Tiada kejayaan selain daripada pemberian Allah semata. Namun, kita tidak boleh menafikan usaha kita, penat- lelah dan ikhtiar untuk kita berjaya. Usaha... ia dinamik. Pegangan ahlul sunnah wa jamaah, bukan tersasar dari falsafah jabarriyyah dan qadarriyyah.



*Dan ketahuilah, dalam usaha yang banyak itu tidak dinamakan cukup.




Mengapa? Dalam usaha yang banyak, belum tentu ada kecukupan?



Kita boleh rasa cukup dengan harta yang kita ada tapi kita tidak boleh rasa cukup dengan usaha dan ilmu yang kita ada. Bahaya. Sangat berbahaya jika kita rasa cukup dengan 2 aspek ini. Saya juga terfikir, berjaga menyiapkan projek sehingga tidur tidak cukup, habiskan masa di perpustakaan membuat kajian, pergi ke kelas... cukupkah itu sebagai satu ukuran kejayaan?


Sebagai manusia, kita tidak boleh rasa sudah sempurna dengan usaha yang kita laksana, tidak boleh rasa kita sudah berjaya. Kerana yang menyempurna itu adalah Allah s.w.t. Maka dengan itu kita perlu sentiasa dahaga untuk mengharap pertolongan Dia Yang Maha Mencipta. Maknanya USAHA MESTI BERIRING DOA!


Cuba fikirkan... jika apa yang kita usaha, natijahnya tidak seperti yang kita jangka, apa yang dirasa. Sudah buat latih- tubi, sudah belajar ikut jadual dan sebagai macam usaha tapi tidak berjaya. Sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui. Kita hanya perlu mengkoreksi diri.



Saya pernah terbaca dalam satu buku. Katanya;


"Lagi banyak yang kita belajar, lagi banyak yang kita tidak tahu."


Suka saya kata yang saya berstuju dengan kata-kata ini. Itulah maknanya kita tidak boleh rasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Sudah tahu dari 1 aspek, maka belajar pula dari aspek yang lain. Jangan kita tutup pintu- pintu itu sehingga tiada ruang langsung untuk ilmu- ilmu menembus masuk. Kotak yang sempit dan kecil... bolehkah mengisinya dengan barang yang banyak? Tidak. Maka keluarlah dari kotak tersebut.



*Sudah usaha, tapi orang menghina.




Allhuakhbar. Saya mahu motivasikan adik- adik saya. Dalam hal ini, bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama- sama dengan hambanya yang bersabar. Dahulu, saya pernah membuat post tentang tafsir surah Nuh. Jadi hari ini saya mahu ulang semula. Nabi Nuh yang dakwahnya selama 950 tahun, tidak berhenti- henti menerima hinaan sepanjang kerja dakwahnya.


~Usah lelah dalam usaha~


Bayangkan bila baginda berdakwah, kaum- kaumnya menutup telinga dengan tangan- tangan mereka dan memalingkan wajah. Malah, anak- anak dan isteri baginda turut mengejek. Bila Allah perintahkan membuat bahtera lagilah dasyat hinaan dan ejekan mereka. Namun selama 950 tahun perjalanan dakwahnya bertahan sehingga Allah mentaqdirkan banjir besar berlaku.


Nabi Muhammad pula dibaling batu, dikatakan gila namun masih sempat mendoakan orang- orang yang menghina baginda itu.


Maka adik- adikku sayang... cukuplah Allah sebagai sebaik- baik penolong.



*Jangan ada rasa cukup




Minggu lepas dalam kuliah hadis saya perasan yang ustaz yang mengajar ulang semula hadis yang beliau telah ajar dahulu. Balik ke bilik, saya selongkar semula khazanah- khazanah kuliah saya. Memang saya jumpa nota tentang hadis yang diulang itu... namun tahukah isi yang disampaikan tidak sama. Begitulah, ilmu ini terlalu banyak untuk kita rasa cukup dan sombong diri.



Dahagalah dalam mencari ilmu. Jangan rasa sudah cukup pandai sudah cukup bijak. Tingkatkan usaha tanpa mengenepikan hak- hak yang sepatutnya. Maknanya, kalau mengantuk kita perlu tidur, kalau penat perlu ada masa rehat. Dalam satu hari ada masa kita dengan Allah, berdoa... di samping usaha- usaha kita yang sewajarnya kita buat.


Apa yang penting setiap usaha itu mestilah untuk mengharap Allah redha... bukan untuk mendapat nama dan dipandang mulia.

~@Isya_Yusra

0 comments:

Post a Comment