~Masih di bulan Hijrah~


" Kadangkala Allah SWT memberi 'cubitan' teguran kepada kita dengan melemparkan 'batu-batu' kecil. Jika kita tidak menghiraukan 'batu-batu' kecil tersebut, maka Allah akan melemparkan pula 'batu-batu' besar. Janganlah sampai Allah menghempapkan 'gunung' ke atas kita... barulah kita ingin berubah."



Itulah dia hukum sunnahtullah.


Hijrah datang lagi kali ini. Lalu bagaimana dengan diri kita ini? Masih di tahap lamakah atau bagaimana? Peluang datangnya Maal Hijrah 1431 sering kita sambut dengan azam-azam dan tekad2 baru. Tambahan pula, tahun ini Maal Hijrah hampir dengan sambutan tahun baru 2010. Kita masing-masing memasang azam dan janji-janji baru. Banyak. Terlalu banyak untuk dibentangkan.


Dari segi bahasa, hijrah berasal daripada perkataan ' hajara' -berpindah, menjauhi dan meninggalkan. Bermakna, hijrah adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Walaubagaimanapun, hijrah secara khusus merujuk kepada hijrah Nabi Muhamad saw bersama sahabat karibnya, Saidina Abu Bakar ra dari Makkah ke Madinah demi menegakkan agama Islam.



Apa yang kita dapat dari sejarah hijrah, bergantung kepada cara kita melihatnya. Jika tasawur ini tepat, maka apa yang kita dapat juga tepat. Begitulah juga sebaliknya.



Bagaimana nak menghijrahkan diri?



Perubahan mestilah bermula dari diri sendiri. Allah swt telah menjelaskan perkara ini dalam firmannya yang bermaksud:



" Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."



Surah al-Ra'd:13:11





Sesungguhnya, ayat ini merujuk kepada 3 elemen utama dalam manusia yang perlu diubah iaitu akal, hati dan nafsu. Tiga elemen inilah yang membentuk nilai, keyakinan, paradigma dan seterusnya tingkah laku dan sikap seseorang. Bermakna, untuk mengubah diri, kita perlu mengubah akal, hati dan nafsu. Hati adalah raja, akal adalah bendaharanya dan nafsu adalah penghalang.




Huraiannya cukup panjang dan perlu pemahaman yang sebenarnya. Dan untuk faham kita mesti belajar. Inilah yang kita katakan konsep- 'tahu, mahu dan mampu'. Ingin tahu mestilah dengan ilmu dan dari ilmu itu terbentuknya kesedaran dan terbinanya kemampuan. Justeru, untuk berhijrah dari yang lama ke lebih baik, ketiga-tiga aspek ini perlu kita ambil berat.




Walaupun kita melihat awal tahun hijrah sebagai satu platform untuk membina azam-azam baru, tidak semestinya kita perlu menunggu genap setahun baru ingin berubah. Saya amat-amat tidak bersetuju dengan pandangan ini. Bukankah kita pernah mendengar ungkapan ' hari ini mesti lebih baik dari semalam'?




Kita... perlu setiap hari memuhasabah diri. Membaiki mana-mana lubang yang terkoyak, mana-mana ruang yang telah dimasuki debu-debu hitam. Itulah dia mukmin yang sebenarnya. Koreksi, muhasabah... sentiasa menjadi amalan dirinya. Kerana itulah kita perlu berubah, berubah sebelum ALLAH menghempap dengan sebuah 'gunung' besar sehingga kita tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Waktu itu... segalanya saya kira sudah terlambat.




Hijrah kita adalah hijrah setiap hari.

Setiap hari perlu muhasabah diri.

Setiap hari perlu membaiki diri: hablumminallah wa habluminnannas.

Lakukan sekadar kemampuan. Walaupun sedikit tetapi istiqamah... nilainya tetap tinggi di sisi Allah swt.




InsyaAllah. Yang utama... lakukan penghijrahan itu semata-mata kerana Allah, bukanlah mengejar materi mahupun pujian orang lain.



(^_~)@isya_YusRA.

0 comments:

Post a Comment