~Ukhwah kita= kerana Allah~

Hidup saya tidak lengkap tanpa mereka. Mereka ibarat gula dalam hidup saya. Penyeri dalam hidup saya. Pembawa gelak ketawa dan pengkongsi duka lara. Indahnya persahabatan ini. Hidup saling melengkapi. Saya sukakan analogi yang dibawa oleh Hilal Asyraf dalam Sinergi:

Satu tambah satu menjadi tiga... bukan hanya dua.

Tahukah anda siapa yang ketiga yang dimaksudkan Hilal di sini?
Yang ketiga adalah Allah.
Bila dua sahabat menjalinkan persahabatan yang ikhlas, penuh toleransi maka di sebalik ikatan itu... ada Allah yang menguatkannya.

Saya teringat akan mereka-mereka ini yang telah hadir dalam hidup saya. Kurniaan Allah yang tak ternilai harganya. Syukur... syukur dan syukur. Allah mengurniakan mereka kepada saya. Hidup saya lengkap rencahnya dengan mereka.


Hari ini sempena hari kemerdekaan ( tak de kene mengene pun sebenarnya...hihi) lihatlah penyeri-penyeri hidup saya ini.



Kenangan zaman sekolah. Tak silap masa ni kelas tambahan SPM. Antara 'orang-orang' kuat saya ni..hihi (Zahidah,Wahila dan Ekin).

Sod' nisa and Raihan- orang kuat jugak ni..hihi. Apa yang kita makan 2 sama je masa jamuan petang 2 kan...huhu.

Al-Firzanah... sebenarnya kita pilih nama lain kan? Tapi Abg Naim nak jugak nama tu. Dia tanya nak nama mana tapi dia yang pilihkan...huhu. Tapi kata Ustaz Zakaria xpayah nama cantik2... guna nama lama je. Hmm... medan tarbiah saya. Banyak yang saya belajar... banyak yang kita belajar. Tak dinafikan aplikasinya digunakan sampai sekarang. Berkesan... Penasihatnya, Ustaz Abu... we miss u...hihihi=)

Kawan-kawan masa form 6... Nothing 2 say... memang enjoy sangat-sangat.


a> 6AS2 memang best... kelas yang paling banyak wat jamuan makan... 'paling bersatu hati'...hihi.. faham2 je lahh..


Huda, ajat and kak aisyah... masa ni majlis perasmian KEMBARA.


Gabungan PAKK, Sains dan Akaun...huhu

K.Yan dan Wawa... siapa sangka di sebalik kelembutan mereka, sebenarnya mereka ni kelakar... Lot of jokes...hihi.. bergambar bersama keris taming sari..


Haa.. ni bahagian paling istimewa... Penyeri-penyeri hati saya di bumi Malaya ni...hihi. During our visit to Kedah... Banyak sangat kenangan manis, kelakar dan sebagainya.. Harapnya ukhwah kita kekal selamanya.

Ama... i rasa doa u telus la...Why u buka tangan 2 luas sangat.hihi... Doalah, moga persahabatan kita kekal selamanya. Aminn..

Pantai Murni pantai berlumpur...hihi.. Ayu, teha, huda, ajad dan ama... Rasa tak ada sorang 2 tersesat... dia sorang je fakulti Sains...huhu~

Memori di Batu Feringgi... Ingat kuda ingatlah pak cik tu... hihi.. Pengajarannya sebelum buat apa2 sila bertanya dahulu... Namun puas hati.. hihi.. Cerita naik kuda 2 tak perlu kot ditulis di sini... Ingat2 sendiri, gelak2 sendiri...hihi=)



Macam iklan Adabi pulak... hihi.. Jangan lupa publish buah tangan kita dari sini. Bukan senang nak buat... special edition 2..hihi

Last day di Tadika Kolam Batu... ops Kampung Kolam. Jangan marah eh Huda..

Terima kasih banyak2 buat ajat and family... abg ajat (nama baru..hihi) yang sudi amik mc semata-mata nak bawak kitorang jalan2. Jasamu dikenang...


Team balai Islam... banyak juga kenangan dalam balai islam ni...sampai xtahu nak cerita apa. Best...=)


Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Ali-Imran ayat 31

Moga ukhwah kita yang kerana Allah ini akan kekal selamanya. Aminn..

~pEmburu CinTa yAng Buta~



Pemburu cinta yang buta...
Siapakah dia??

Kali ini post saya tentang cinta. Bukanlah saya sedang dilamun cinta. Sengaja saya postkan isu ini..Isu lapuk... seringkali dibincang seringkali dibualkan. Namun, belum juga manusia-manusia ini bertemu cinta sejati. Matanya masih diselubungi kegelapan. Teraba-raba dan sesat entah ke mana. Kita memburu cinta. Alasan terbaik:

" Cinta itu fitrah lah kak... kenapa mahu menafikannya. Manusia yang hidup itu mesti punya rasa cinta, kalau tiada rasa cinta... tak normal. "


Jawapan saya --tersangatlah normal--. Tapi anda tidak normal bila tidak meletakkan cinta itu pada tempat yang sepatutnya. Tempat yang sepatutnya cinta itu berada. Kadangkala saya terpaksa menjadi ' kaunselor cinta tak bergaji ' kepada orang-orang tertentu. Sukarnya menyingkap perasaan orang bercinta ini. Terlalu sukar...


Cinta adalah isu lama, selama kewujudan Nabi Adam a.s... Melihat sepasang burung yang bercinta maka tumbuhlah perasaan itu dalam hati baginda, maka Allah menciptakan Siti Hawa untuk melengkapkan perasaan itu. Dan cinta jugalah yang menaikkan semangat Nabi Adam a.s untuk menyeberangi Titian Adam ( Adam Bridge) dari puncak pergunungan Sri Lanka ke benua kecil India.



Mengharungi belantara, padang pasir dan gunung-ganang hanya untuk bertemu kekasih hatinya Siti Hawa. Sedangkan Siti Hawa juga berkorban berjalan dari Jeddah menuju ke Padang Arafah dan di sinilah dua hati dipertemukan semula oleh Yang Maha Merancang.


Begitulah sucinya cinta… walau berpisah akhirnya bertemu juga. Namun cinta zaman ini amatlah terpesong dalam erti kata ‘cinta’ yang sebenarnya. Mengapa dicabuli dengan cinta murahan walhal cinta itu dalah anugerah dari Allah. Sebagaimana yang dirakamkan dalam satu hadith Qudsi;


“ Wajiblah cinta-Ku bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku”

Indahnya hadith ini.


Tetapi kita sering melihat konsep cinta itu pada ruang yang sempit. Terbatas dan tiada ruang untuk bergerak bebas. Cinta yang kita fikir mestilah berjumpa si uda dan dara, berpegang-pegangan tangan, SMS berjam-jam. Bila mendengar lagu-lagu cinta, terpampang di fikiran... kitalah model video klip lagu tersebut...huhu. Relanya kita...


Mabuk...
Rasa itu memang bergejolak, menolak-nolak. Hati rasa tersiat, seluruh tubuh seakan khianat. Kadang-kadang langsung tidak dapat mengawal diri. Ada masa hendak menangis menanggung cinta ini, ada masa tersennyum-senyum sendiri. Dalam tidur termimpi-mimpi, dalam jaga tercari-cari.

Benarkah itu cinta?


Manusia terlalu bodoh. Dia merasakan cintanya agung melangit. Tetapi dia tidak sedar, sebenarnya ketika itu dia tidak mencintai. Hakikatnya, dia pun tidak dicintai. Dia melontarkan pasangannya ke neraka. Pasangannya juga melontarkannya ke neraka. Apakah itu cinta yang sebenarnya?


“ Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sesungguhnya adalah perkara yang keji dan merupakan satu jalan yang buruk”

Surah Al-Israa’ ayat 32.


Cinta bukanlah semudah tiga perkataan. Cinta memerlukan sepenuh jiwa, berdiri atas landasan ketaatan dan menembusi akhirat. Wahai pemburu cinta yang buta. Itulah istilah cinta hakiki. Cinta yang ingin kita bina mestilah atas dasar ketaqwaan. Cinta ILAHI. Cinta ILAHI bakal membimbing kita untuk memburu cinta insani. Cinta yang kekal menembusi syurgawi... bukan cinta yang tiada makna... yang berakhir bertanda nisan putih. Tidak.


Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Surah Ali-Imran ayat 31


Manusia yang tidak mendirikan cintanya berasaskan iman dan taqwa hanya berlandaskan nafsu. Nafsu. Ya, kepuasan diri semata-mata. Rapuh bukan? Sedangkan cinta itu saling kasih mengasihi. Tetapi sedar atau tidak, kita menjalani cinta yang berasaskan nafsu ini, hanya untuk kepuasan diri sendiri. Itukah cinta?


Bercinta bukanlah jenayah. Jatuh cinta juga bukan jenayah. Persoalannya bagaimanakah cara kita bercinta dan mencintai itu. Cinta datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab menjaga pasangan kita berbahagia bukan sahaja di dunia tapi di akhirat. Lalu apa maknanya cinta kalau di dunia ini kita telah menjerumuskannya ke neraka?


Perbaikilah diri... muhasabahlah hati dan tambahkan ilmu untuk mengejar cinta hakiki. Cinta abadi yang menembusi syurgawi dan mendapat redha Ilahi... Bukalah mata dan jadilah pemburu cinta yang diterangi cahaya iman dan taqwa.



Hmm... bagaimanakah agaknya dengan cinta saya??? =)

~Mencari kepastian~


Celaru...

Fikiran saya bercelaru...


Alahai, sukarnya saat ini. Di mana kepastian yang dicari? Saya belum menemuinya... saya belum jumpa... saya belum ketemu jawapannya.


Alahai, bila fikiran bercelaru saya sukar berfikir dengan tenang. Fikiran saya menjadi penat. Menjadi lelah sehingga membataskan pergerakan jasmani saya. Sungguh, bila fikiran menjadi berat, jasad terasa bejat.


Hari ini saya telah merancang setiap aktiviti yang ingin saya lakukan. Namun, sejak dua hari ini, segalanya tidak menjadi. Dugaan buat saya. Saya lebih rela menempuh ujian fizikal daripada ujian mental. Ujian dalaman. Sukarnya ujian ini... saya merasainya sekarang.


Terapi Ramadhan menjadikan saya sedikit tenang. Saya sentiasa berharap ketenangan yang bertandang itu terus kekal di dalam hati, namun kecelaruan tetap datang bila saya memikirkannya. Janganlah bermain kata dengan saya. Saya bukanlah sasterawan yang bijak mentafsir. Bukan juga sasterawan yang mudah mengerti setiap bait kata itu. Saya keliru.



Kurang semangat, kurang penghayatan.
Semuanya kerana kekeliruan ini.


Saya perlu bangkit. Tapi bagaimana? Kekeliruan ini hanya boleh dijawap oleh insan-insan itu. Saya tak mampu mentafsir. Andai tersalah tafsir, saya juga yang menanggung akibatnya. Tapi saya perlukan sedikit cahaya untuk keluar dari kegelapan ini. Biarpun hanya sedikit. Biarlah sedikit, asalkan tidak teraba-raba hingga sesat di perjalanan. Itulah kata-kata ' teman bicara hati ' saya.


' Teman bicara hati'
Dialah sahaja yang memahami saya. Memberi saya sedikit udara untuk bernafas dalam kecelaruan ini. Memberi saya sedikit kekuatan untuk menghadapi kecelaruan ini. Syukur, Allah mengurniakan teman sepertinya.


Temanku... masalah kita hampir serupa.
Bicara itu biarlah tersemat kukuh di hati kita. Hanya kita berdua.
Saya teringat akan satu sirah berkaitan Saidina Abu Bakar r.a...
Ketika kebimbangan dan kecelaruan. Ketika hijrah, apabila dia dan Rasulullah SAW bersembunyi di dalam gua Tsur, dia amat gelisah. Kerana orang quraisy sudah berada di hadapan pintu gua. Dia berkata kepada Rasulullah SAW dalam resah:
“Ya Rasulullah, andai kata mereka menundukkan kepala dan melihat ke dalam gua, nescaya mereka akan dapat melihat kita”

Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kamu, jika kita berdua, dan yang ketiganya adalah Allah?”
Ini memberikan kesan dalam keimanan Abu Bakr RA. Tenteramlah hatinya. Hilanglah gundahnya. Daripada Rasulullah SAW, dia belajar untuk yakin sepenuhnya kepada Allah SWT. Dan daripada sirah ini juga, saya belajar yakin sepenuhnya kepada Allah SWT. Kecelaruan ini dariNya dan Dialah yang akan memberikan jalan keluarnya.


Insyaallah... Saya perlu meneruskan terapi sendiri. Tiada gunanya terus kekal dalam kecelaruan ini. Jawapannya tiada pada saya... tapi pada mereka.


.....................




~Istimewa buatmu An-Nisa: Mari menjadi B.I.D.A.D.A.R.I~


Mengisahkan tentang bidadari-bidadari syurga, mereka itu adalah wanita suci yang menyenangkan jika dipandang mata, menyejukkan jika dilihat, dan mententeramkan hati setiap pemiliknya. Rupanya cantik jelita, kulitnya mulus. Ia memiliki akhlak yang paling baik, perawan, kaya akan cinta, dan umurnya sebaya.

Siapakah yang orang yang beruntung mendapatkannya?

Siapa lagi kalau bukan orang-orang yang syahid kerana berjihad di jalan Allah, orang-orang yang tulus dan ikhlas membela agama Allah. Sebahagian kita mungkin berfikir..
Kapan kita berjumpa dengan bidadari-bidadari itu?
Apakah ia akan kita miliki, adakah ia sedikit di antara mereka mendiami bumi sekarang ini?

Bidadari-bidadari itu telah turun ke bumi.
Seperti apakah bidadari bumi itu?


Semenjak Islam mulai bangkit lagi di bumi ini. Bidadari-bidadari itu menghias diri setiap hari. Dia berwujud manusia yang berhati lembut, menyenangkan jika dipandang mata, menyejukkan jika dilihat, mententeramkan hati setiap pemiliknya. Dialah wanita solehah yang menjaga kesucian dirinya.


"Dan dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."

(HR. Muslim).



Jadilah seorang wanita solehah,
Yang hatinya dibalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Dien Allah
Yang senantiasa haus dengan ibadah kepada Allah,
Yang senantiasa dahaga akan mengharap redha Allah...


Yang solatnya adalah bekal dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang senatiasa bersama para mujahiddah Allah...


Jadilah seorang wanita solehah,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang senantiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jahat...



Jadilah seorang wanita solehah,
Yang menghormati suaminya.
Yang senantiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendampingi suami dalam mendidik anak-anaknya
untuk mendalami Islam...



Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya...
adalah rumah sementara menuju akhirat.



Jadilah seorang wanita solehah,
Yang senatiasa bersedia untuk menjadi makmum imamnya
Yang hidup di bawah naungan Al-Qur'an dan qana'ah
Yang tidak dikotori dengan perhiasan dunia
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.



Jadilah seorang wanita solehah
Yang selalu menjaga lisan, penyayang keluarga & suaminya,
Matanya kepenatan kerana membaca Al-Qur'an,
Suaranya lesu kerana penat berzikir...


Tidurnya lelap dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kesigapan
Karena dia sedar betapa indahnya menjadi wanita solehah melebihi perhiasan apapun di dunia
Semakin sedar bertambah usianya...
bertambahlah kematangannya.



Jadilah seorang wanita solehah
Yang senantiasa mengabdikan diri untuk menjadi mujahiddah Allah
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dipelihara dan dijaga,
Agar tumbuh putik tunas yang bakal menjaga dirinya di alam baqa'
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.



Jadilah seorang wanita solehah
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia...
Kerana dia mengimpikan syurga Allah


Dialah bidadari dunia...


Dialah wanita solehah yang keberadaan dirinya lebih baik dan bererti dari seluruh isi alam ini...


Kitalah bakal bidadari dunia itu wahai an-nisa...
Tidak mahukah dikau bergelar bidadari dunia???
..............................


Dinukil dari buku Temasya ke Syurga, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.

~Field trip 1= Fraser Hill~


Kali ini saya nak berkongsi gambar dengan anda semua. Field work saya dan kawan-kawan di Bukit Fraser!!! hihi...
Banyak cerita, pelbagai peristiwa tapi biarlah kali ini gambar yang berbicara =)
(sebenarnya saya tak larat nak mengarang...hihi..)


~dah sampai dah... setelah bas melalui perjalanan yang agak mencabar: gaung beberapa kaki je dari bas, siap bergeser lagi dengan bukit... agak scary~

~7am kat Fraser Hill...nampak bulan lagi~


~tempat mengumpul spesimen..hehe~




~ya... mari meredah hutan~


~gambar hiasan... nak tunjuk binokular sebenarnya..hihi~


~Wah2... @isya_Yusra sedang bird watching..huhu~

~Pitfall tercantik...hihi. Mane ade kumpulan lain buat macam ni~


~Lihatlah kebesaran ciptaan Allah... Subhanallah~




~Burung comel+terperangkap di jaring= sedang dikenalpasti spesis apa~

~semua nak try pegang burung belatuk... tp takut2 kena patuk..hehe~


~Hasilnya...~

~ haa, kan akak dah kata nak letak gambar Yus dalam blog ni...hihi~


~End of the journey~

~Untukmu wahai Ar-rijal~


Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami... Asadullah, Saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkira,


Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.


Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat,perogol bersiri.


Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.


Dulu,
Bila wanita dibawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.


Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.


Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.


Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zurnuarain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.


Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angakatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.


Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,

Andai teguran menguris hatimu... ketepikan ia sementara waktu,
Teguhkan dirimu, kuatkan azammu...

Menjadi mujahid yang tidak gentar memburu syahid
Kami rindukan lelaki dulu... acuan madrasah Rasul.


Sedarlah wahai rijal-rijal sekalian, tanggungjawab khalifah terletak di bahumu...
Amanah memakmurkan bumi Allah terpaku di atas jasadmu...
Peranan seruan ke arah yang haq adalah perananmu...


Di manakah asybal (singa-singa) yang dahulunya mengaum di medan jihad?

Bangunlah wahai sahabat-sahabatku, wahai pemuda-pemudaku... Bersama mengorak langkah di medan jihad...


"Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka, dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka. "

(18:13)
........................................

~Pamitan Syaaban menuju Ramadhan~



SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, Alhamdulillah. Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya, terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang baru kita lalui.


Tidak beberapa hari lagi, Insya-Allah... kita akan memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan. Malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.


Rejab dan Syaaban berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan. Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam. Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar.


Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk ‘meminang’ lailatul qadar.

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."



Antara hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan bulan ini adalah:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
Riwayat Bukhari dan Muslim



“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim



“Solat fardhu lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah merupakan penghapus dosa bagi dosa yang berada di antara keduanya selagi mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
Riwayat Muslim


Baru-baru ini saya menerima kunjungan dari sahabat lama saya. Agak lama kami tidak bersua... berpisah sekolah sejak tingkatan 4 hinggalah sekarang. Kesempatan bertemu ini, kami berkongsi banyak cerita. Sempat saya bertanya budaya berpuasa masyarakat di Mesir. Budaya mereka patut kita contohi.


Masuknya bulan Syaaban, mereka sudah mula mengemaskan rumah mereka, menyediakan keperluan untuk berhari raya dan apabila masuknya Ramadhan... mereka hanya menumpukan perhatian terhadap ibadat sahaja. Malah, 10 malam terakhir Ramadhan, ibadah mereka bertambah giat... bertambah khusyuk... bertambah syahdu.



Kita???


10 malam terakhir adalah masa untuk membuat kuih raya, memasang pelita dan menghias rumah. Malah, ada yang menunggu malam-malam terakhir ini untuk menunggu jualan murah. Kuih raya, baju raya. Sedangkan amal ibadat, zikir munajat ditolak tepi. Tidakkah kita rasa rugi untuk meninggalkan Ramadhan dengan sia-sia?


Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

.....................


~Ku mohon keizinan itu~


Jika Allah tidak memberi izin, apakah yang mampu kita lakukan?

Tiada...

Tiada apa yang mampu kita lakukan. Walaupun sekadar mengerdipkan mata, walaupun sekadar mengangkat tangan. Segala apa yang berlaku hanyalah dari kudrat Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:



'Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.'

(surah At-Thaaghabun ayat 1)


Bila saya memuhasabah diri, saya terfikir. Terlalu banyak perkara yang perlu saya lakukan. Ingin saya lakukan. Dalam menjadi hamba-Nya yang patuh akan segala perintah dan dalam menghadapi kehidupan ini sebagai pelajar, sahabat, dan anak. Namun, apalah yang ada pada kudrat seorang Aisya Yusra? Saya tiada apa-apa... penggantungan saya 150% kepada Allah.


Saya sangat takut seandainya Allah membiarkan saya. Membiarkan saya sendirian. Selepas azan malam Nisfu Syaaban yang lalu, saya sempat berdoa panjang. Alhamdulillah, Tuhan beri saya kesempatan. Namun, saya merasakan masih ada terlalu banyak lagi yang ingin saya minta. Saya bukanlah tamak. Tapi saya takut... takut dibiarkan... takut andai tidak diberikan keizinan itu. Tetapi saya tetap meletakkan prasangka baik kepada Allah di puncak segala pengharapan.


Ya... penggantungan saya 150% kepada Allah. Tiada yang lain. Hanya Dia Yang Maha Cinta.


Allah tidak akan sedetik pun meninggalkan hambanya. Cuma kita yang terkadang lupa. Hanya mencari Allah ketika ditimpa kesusahan, ketika bersedih... ketika semua yang berada di sekeliling meninggalkan kita. Ketika kita gembira, suka... jarang sekali kita mengucapkan syukur. Mengingati bahawa semua itu adalah kurniaan-Nya.


Kadang-kala saya melihat orang-orang di sekeliling saya. Melihat, memerhati dan berfikir. Pedih di hati saya terasa seandainya keizinan untuk beribadah dengan sebenar-benar ibadah itu tidak diberikan kepada orang-orang di sekeliling saya. Juga pada saya.


Siapalah saya untuk memaksa agar 'mereka-mereka' itu solat di awal waktu, meninggalkan urusan dunia itu sebentar untuk mengadap Allah seketika. Siapalah saya untuk menyuruh mereka menyeimbangkan urusan-urusan mereka? Saya hanya mampu mengingatkan... ingat dan ingat sambil mengajak.


Kerana urusan-urusan dunia kita terlupa akan kewajipan kita yang sebenarnya. Hakikat penciptaan kita sebagai hamba kepada Rabb.


Saya sangat sensitif tentang hal-hal yang berkaitan dengan solat. Saya sentiasa mengingati diri saya agar menjaga solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Saya sangat-sangat alah melihat orang-orang yang meringan-ringankan solat. Yang masih bermain game, mendengar lagu dan sebagainya sedangkan waktu semakin merangkak pergi.


Apakah kita punya terlalu banyak kesempatan untuk melaksanakannya di akhir waktu? Adakah kita pasti umur kita akan dipanjangkan sehingga kita selesai melaksanakannya?


'Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya). '

(49 :Surah Yunus)

Sememangnya Allahlah punca segala kudrat. Dia yang memberikan keizinan dalam setiap perilaku manusia. Namun, kita tidak boleh menyalahkan Allah andai sesuatu tidak dapat dilaksanakan. Kadangkala Allah memberi izin, tetapi kita yang tiada kemahuan.


Allah membuka telinga kita mendengar bunyi jam loceng yang mengejutkan dari tidur kala subuh hari. Memberikan kita sahabat yang membantu membangunkan tetapi kita masih senang menarik selimut... lebih senang melayari mimpi.


Allah memberi izin...tetapi kita tiada kemahuan.

Lalu bagaimana?


Berdoalah kepada Allah dan bergantung haraplah kepadanya tetapi jangan pula meninggalkan usaha untuk meningkatkan tahap keimanan. Ikhlaskan pada hati segala amal itu untuk Ilahi. Hidup dan mati untuk-Nya. Teguhkanlah dalam diri kalam Rabbani dan jadikan pesanan nabi sebagai panduan diri.


Ya Allah... aku mohon keizinan itu...
Kumohon kudrat pelaksanaan dari keizinan itu...
Amin ya rabbi.

~Nilai sebuah persahabatan~

Dalam dunia ini kita tidak hidup bersendiri. Kita sebenarnya beruntung kerana mempunyai keluarga dan sekurang-kurangnya seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia.


Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.




Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa.



Tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan... Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama.


Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya?


Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita.

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?

Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah.?
Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?


Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat sebagai kekuatan.

Jadilah kita sahabatnya itu.

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu.
................................

~Hatimu untuk siapa?~


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

" Manusia itu dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, kedua kakinya sebagai perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya."


Hati... atau dalam bahasa arabnya disebut kibdah. Jika anda perhatikan, dalam sabda-sabda Rasulullah dan ayat-ayat Al-quran, perkataan yang menceritakan tentang hati ini akan disebut sebagai 'qalb'. Qalb bermaksud berbolak-balik. Mengapa Allah menggunakan istilah ini? Jawapannya ialah begitulah sifat hati kita. Mudah berubah-ubah dan sering berbolak-balik.


Hati adalah bejana iman kepada Allah SWT... Bejana atau tempat untuk menyimpan air. Bolehkah anda membayangkan rupa bentuk bejana ini? Dalam seminit selepas anda membaca ayat ni cuba bayangkan rupa bentuknya..

Sudah dapat bayangan?hihi


Analoginya begini, sekiranya bejana keimanan kita elok, maka iman kita akan tersimpan dengan elok; tidak tumpah dan tidak mengalir keluar. Tetapi jika bejana keimanan kita retak, maka iman akan menyusut dan berkurang. Lebih teruk lagi jika bejana ini pecah, hancur, lebur... maka tiadalah lagi tempat untuk kita berlindung.


Lihat, betapa pentingnya hati. Hati yang berfungsi sebagai bejana iman manusia.

Sabda Rasulullah:

' Sesungguhnya hati itu berkarat
bagaikan karatnya besi...'

Cuba ita bayangkan besi pula. Besi yang dibiarkan berpanas dan berhujan...berembun. Lama- kelamaan kita akan melihat, tompok-tompok keperangan di besi tersebut. Besi berkarat. Begitulah hati kita. Andai dibiarkan tanpa iman, tanpa amal... hati kita akan berkarat. Hati yang berkarat seterusnya akan mati!


Qalb yang berbolak-balik ini bukan sahaja perl kita jaga dari berkarat tetapi perlu dijaga juga agar bebas dari belenggu-belenggu syaitan. Perhatikan surah ini.


'Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.'

'Raja manusia.'

'Sembahan manusia.'

'Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi,'

'yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,'

'dari (golongan) jin dan manusia.'

(ayat 1-6 Surah An-naas)


Syaitan sentiasa berusaha untuk membisikkan kejahatan dalam bejana iman ini. Mudah...andainya bejana ini terisi dengan bisikan dan hasutan jahat itu maka bermaharajalela lah kejahatan di dunia ini.


Hati terisi dengan karat-karat perang, bisikan-bisikan syaitan dan sifat mazmumah- buruk sangka, dengki, amarah. Hmm... menakutkan bukan? Kadang-kadang kita mengisi hati dengan cinta. Cinta manusia yang tiada hujungnya... bila cinta itu berlaku khianat, maka tersiat-siatlah ia. Menikam hingga ke jantung lalu menghentikan nafas dan menghilangkan kewarasan fikiran. Bukankah begitu?



Lalu... untuk siapakah hati ini terisi?
Andai telah terisi dengan karat, dengan sifat mazmumah... bagaimana pula?


Hati ini untuk iman. Untuk ALLAH. Untuk iman bertandang dan menjadi penghuni yang kekal abadi. Bersihkan hati kita agar mudah iman melekat. Iman itu hanya boleh mengalir ke seluruh pancaindera apabila hati itu diselubungi iman. Jika hati rosak, iman akan tersekat dan seluruh tubuh kita akan menjadi bejat dengan dosa dan maksiat. Andai ingin mengisinya dengan cinta... isilah cinta yang berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.


Nah... hatimu untuk siapa sekarang?

Pilihlah...belum terlewat untuk mengisi hati dengan IMAN.