~...Hadiah buat kekasih...~


Hadiah buat kekasih. Apakah yang sesuai untuk saya berikan buat kekasih saya? Menyingkap sirah... saya terkenangkan kekasih hati ini. Kekasih hati setiap orang mukmin. Siapa dia? Dia... Muhammad bin Abdullah. Junjungan besar, nabi akhir zaman.



Saya, sudah lama ingin buat post tentang Rasul tercinta ini. Tapi pengetahuan sirah yang terbatas buat saya berfikir sebentar. Yang saya ingin tulis di sini... hanyalah sedikit perkongsian yang saya perolehi dari sumber-sumber intenet dan buku. Juga sedikit dari kuliah-kuliah agama.



Dia... Muhammad bin Abdullah tersangat istimewa orangnya. Figur yang lengkap serba-serbi. Teladan buat segenap manusia. Dirinya yang maksum tapi penuh dengan akhlak-akhlak terpuji. Sehinggakan dalam satu hadith, Saidatina Aisyah RH berkata:



"Akhlak rasullullah adalah Al-Quran"




Dulu, saya amat-amat tersentuh dengan cerita hijrah Nabi saw ke Taif. Sejak zaman sekolah rendah saya membaca kisah itu... tapi waktu itu, minda yang belum berkembang membuat ia hanya terlafaz di mulut sahaja. Tanpa aplikasi... tanpa rasa perlu dicontohi.
Namun, syukur semuanya berubah sejak mula bersekolah menengah. Tersentuh dengan keperibadian Rasullullah saw: apabila Jibrail menawarkan untuk menghempap penduduk Taif yang tega membaling batu kepada baginda dengan bukit, baginda tidak mahu. Apa kata baginda?


" Sesungguhnya mereka itu tidak tahu"




Rasul kita yang ummi itu... walaupun buta huruf tetapi masih bertolak-ansur dan tidak sombong diri. Pernah dalam Perjanjian Hudaibiyah, penduduk pada ketika itu tidak setuju ditulis dalam lafaz syahadah Muhammad rasullullah. Mereka hanya mahu Muhammad bin Abdullah. Nabi kita dengan rasa rendah diri menyuruh Saidina Ali memadamkan perkataan Muhammad rasullullah dan menggantikan dengan Muhammad bin Abdullah. Namun Saidina Ali tidak mahu.


Apa tindakan Rasullullah?


Baginda bertanya kepada Saidina Ali... di manakah perkataan itu. Lalu, apabila Saidina Ali menunjukkannya... baginda padam dengan tangan baginda sendiri.



Ketika membuat persediaan untuk Perang Khandak, sahabat-sahabat menggali parit dalam keadaan kelaparan. Mereka mengikat perut mereka dengan batu bagi mengempiskan perut mereka agar angin tidak masuk, agar kurang rasa laparnya.


Namun, sampai satu ketika, mereka rasa tidak tahan. Mereka bertemu dengan Rasulullah SAW yang juga bersama mereka menggali parit. Mereka tidak mengadu dengan mulut, namun sekadar tersenyum dan mengangkat baju mereka, menunjukkan perut mereka yang diikat dengan batu tanda sangat lapar.


Rasulullah SAW ketika itu tersenyum. Lantas baginda pun mengangkat bajunya, menunjukkan perut baginda yang diikat juga dengan batu, bukan satu, tapi dua batu. Tanda baginda lebih lapar lagi. Sahabat-sahabat tidak berkata apa-apa, terus menurunkan baju mereka dan menyambung kerja. Rasulullah lebih lapar lagi dari mereka.


Pernah sekali, ketika giliran Rasulullah SAW bersama dengan Aisyah RH, isteri Rasulullah yang lain bernama Zainab binti Jahsy menghantar makanan. Aisyah RH rasa terganggu kerana ketika itu, adalah gilirannya dengan Rasulullah SAW. Lantas, Aisyah menolak semula makanan yang dihantarkan Zainab melalui khadamnya. Makanan itu jatuh dan perkakas yang digunakan untuk membawa makanan itu pecah.




Rasulullah SAW ketika itu tidak melenting, tidak menunjukkan rasa marah, tidak pula berkasar dengan Aisyah atas sikapnya. Baginda amat tenang, memikirkan semua perkara, baginda faham Aisyah masih muda dan agak mudah cemburu. Maka baginda sendiri bergerak, mengutip pecahan perkakas itu, dan makanan yang bersepah.


Kemudian baginda berkata: “Pergilah meminta maaf kepada madumu itu”
Itu sahaja. Dan Aisyah pergi.


~Cinta... manakah sewajarnya?~

Begitulah... indahnya peribadi si kekasih. Kekasih yang tidak pernah melupakan umat tercintanya. Sehinggakan pada saat sakarat sekalipun, lidahnya masih menyebut umatnya. Kita? Ingatkah kita pada sang kekasih ini. Sungguh... cintanya pada umat tiada tara. Tapi berapa ramai kita ingat dan sedar akan cintanya?



Dalam kuliah lepas, Ustaz Fikri sedikit bercerita mengenai Nabi Muhammad saw. Sebagai ikon yang perlu kita contohi. Kita selalu dengar, ramai ulama'-ulama yang telah bermimpi bertemu rasullullah. Dia pernah bertanya pada gurunya... bagaimana untuk bertemu mimpi dengan baginda. Apa kata guru ustaz Fikri? Gurunya kata... tanya dalam diri kamu, pernahkah kamu berhajat untuk bertemu rasullullah?




Wahai pembaca... pernahkah? Mengkoreksi diri... kita selalu ingin bertemu dengan model-model manusia hebat di dunia. Ada yang nak berjumpa Dr Syeikh Muzafar; angkasawan negara yang pertama, mungkin juga pemain bola sepak dunia; David Beckham dan entah siapa-siapa lagi. Tapi pernahkah... berhajat untuk bertemu rasullullah???




Si kekasih ini... cintanya berpanjang sejak dilantik menjadi rasul hinggalah menerjah gerbang akhirat. Masih menunggu umat-umatnya untuk memberi syafaat. Mengapa kita tidak semaikan rasa cinta pada baginda sebagaimana cintanya baginda kepada kita?



Kalau kekasih kita, kita beri bunga, anak patung beruang sedangkan dia belum tentu beri bakti pada kita. Sanggup. Tapi mengapa cinta kita tidak sebegitu pada baginda. Patutnya, cinta itu berlebih-lebih lagi. Tetapi berapa ramai yang mengaku cintakan rasullullah?




Ingin amal sunnah rasul pun malu. Pakai serban... malu, pakai jubah... malu, makan dalam dulang pun malu. Jadi bagaimana? Bagaimana mahu kita zahirkan kecintaan kita pada Rasullullah saw jika bukan melalui sunnahnya? Cintakah kita pada baginda sedangkan mulut begitu berat untuk berselawat padanya?


Mari sama-sama kita koreksi diri kita. Agak-agak... apakah hadiah yang sesuai untuk kekasih kita itu?

..............................

2 comments:

salam ziarah...:) mengomen sikit. sory l bab2 mengomen ni, no 1. hihi. erm, artikel yg sangat bagus. sy tertarik. cuma, pengisiannya lari dri tajuk. hihi

 

salam ziarah...
oh lari kah???
hihi=)

sbnrnya 'hadiah' itu hanya 1 simbolik sahaja.
bdw syukran atas komennya.
InsyaAllah, saya akan tingkatkan lagi=)

 

Post a Comment