~Apa dalam perutmu?~


"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah."



Al-Baqarah:172


Pernahkah kita fikir akan pengertian thoiyibb yang disebutkan dalam ayat ini? Setiap hari kita makan. Ada yang berfalsafahkan makan untuk hidup, ada juga yang hidupnya untuk makan. Jadi yang mana satu?



Perlu titikberatkan soal makan dan pemakanan ini. Yang saya maksudkan bukanlah pemakanan seimbang, diet seimbang: cukup protein, cukup karbohidrat... kurang lemak tapi dari mana sumber makanan kita itu.



Sekarang mungkin kita tidak melihat isu ini sebagai satu isu yang besar. Iya, bukan kita bekerja untuk mendapatkan wang untuk beli makanan. Kita masih bergantung kepada ibu bapa, pada duit pinjaman PTPTN, JPA lalu kita memandang isu ini hanya sebelah mata. Ada yang pandang langsung pun. Yang dia tahu, cukup waktu kena makan. Limitation satu pinggan. Kalau tak makan perut mula berbunyi-bunyi, tak ada tenaga mahu belajar, mahu berjalan. Angkat tangan pun tak mampu.



Hukum makan sebenarnya apa?



Kalau dalam fekah, kita ada pembahagian dalam hukum. Ada wajib, sunat, harus dan haram. Itu asas. Jadi makan? Hukumnya apa?



"Eh, mestilah wajib. Kalau tak wajib, maka ia tak jadi keperluan asas manusia."


Perlu? Adakah itu tetapan untuk menjadikannya wajib?


Kalau saya katakan hukum makan itu harus, kamu percaya? Harus itu apa? Perlu kah maknanya? Kalau kita terjemahkan dalam rangka bahasa mungkin benar maknanya perlu tapi saya suka berkongsi makna harus itu dalam pengertian yang lebih islami. Pengertian fekah.


Harus dalam fekah maksudnya kalau kamu buat kamu tidak dapat apa-apa tetapi kalau kamu tinggalkan kamu tidak dapat apa-apa juga. Jadi perkara harus ini kita tidak perlu buatkah? Tak dapat apa-apa, maka sia-sia kalau kita buat. Kamu fikir begitu?



Makan hukumnya harus. Tetapi harus ini pembahagianya sangat istimewa. Ia boleh jadi wajib dan boleh jadi haram. Mahu tahu? Ingat penyataan awal tadi. Makan itu hukumnya harus, buat atau tinggal kita tidak dapat apa-apa. Tetapi makan dari sumber yang halal itu WAJIB dan makan dari sumber yang haram itu HARAM. Apabila berurusan dengan perkara-perkara haram maka dosa iringannya dan begitu sebaliknya: pahala sebagai ganjaran.



Sumber makanan kita dari mana agaknya? Halal atau tidak?


Mungkin dalam istilah biokimia, sintesis glukosa, protein dan lipid (lemak) yang kita makan hasilnya tenaga yang diterjemahkan dalam istilah saintifiknya ATP. ATP inilah yang kita guna untuk gerak kerja tubuh badan kita. Untuk berjalan, angkat tangan, lompat-lompat. Itulah yang kita guna. Apa yang kita makan, akan keluar semula dari tubuh kita jadi mengapa perlu fikir asal halal atau haram?


Mengapa perlu ambil kisah dalam bab makanan? Apa yang kita makan akan menjadi darah daging atau bahasa mudahnya sebahagian dari tubuh badan kita. Makan banyak makanan berlemak, maka lemak yang tak dapat disintesiskan itu akan berkumpul bawah sel-sel kulit kita. Menjadikan kita bertambah 'kiut' dan 'comel'. Makanan akan membentuk sel-sel badan, otot-otot kita. Jadi ia jadi sebahagian dari tubuh badan. Kalau sumbernya haram secara tidak langsung akan mengelapkan hati kita. Menyukarkan untuk menerima ilmu.



"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."


Al-A'araf:31


Sering rasa tidak puas hati kalau makanan dicatu. Kena marah pula kalau mahu ambil lebih. Bukan untuk kita, tapi untuk kawan-kawan kita. Lihatlah secara positif. Mengapa makanan itu dicatu? Jawapanya kerana ada orang yang makan lebih, yang mengambil sesuatu yang bukan hak dia sehingga kan orang lain tidak dapat.


Makan yang bukan hak kamu maka hukumnya haram.


Patutnya berterima kasih kepada insan-insan itu. Sudahlah mereka masak untuk kamu tapi juga menyelamatkan perutmu dari makanan yang haram. Yang bakal menyukarkanmu menerima ilmu.


Kalau pula kita buat jualan untuk persatuan atau kelab. Barang-barang jualan semuanya dibeli dari tabungan organisasi-organisasi tadi. Contohnya kita buat air, tiba-tiba rasa dahaga... kita minum tanpa persetujuan dari pengerusi, tanpa bayar. Halalkah sebenarnya minuman itu? Mungkin kita fikir,


"Eh, aku buat ni tak kan lah tak boleh rasa sikit"


"Tinggallah sikit untuk AJK"


Oh... walaupun kamu yang buat ia tetap bukan hak kamu. Ia adalah amanah dari organisasi kamu. Makan, minum yang bukan hak kamu tetap hukumnya haram. Itulah kita katakan, bila kamu sedekahkan kudrat kamu untuk organisasi itu, maka pelaburan kamu mesti yang sebaik-baiknya. Jangan mengharapkan balasan. Kalau sudah budget 1 liter air untuk dijual, maka 1 liter itulah. Bukan 900ml sahaja. Yang 100ml lagi masuk perut kamu.


Terfikirkah yang masuk itu dari sumber yang haram?


Allah... menulis ini pun saya kecut perut. Kecut, bimbang andai perut ini pernah dimasuki dengan makan minum yang haram. Yang menjadi darah daging yang mana daging yang terbentuk dari sumber yang haram ini akan disambar oleh api neraka! Allah... nau'zubillah.


Fikirlah... apa dalam perutmu itu, statusnya?

..................

2 comments:

Btul tue aisyah..bab makan minum nie ramai yg endah x endah..entah dri sumber maner pon orang bt x kisah..mcam benda remeh temeh pulak..tpi hakikat sbenarnyer, aper yg kita mkan & minum itulah yg mengalir dlam tbuh bdan kita tiap saat dan ketika..mengalir dan trus mengalir hingga ajal dtang mjemput..
thanks aisyah sbb sudi bkongsi ilmu nie..
kita thu dan ingat tpi kdg2 kita jgk tlupa..
oleh itu, sedarlah..
'mencari yg halal itu wajib'

 

sungguh...
walau sesuap kita makan dari sumber yg haram,
natijahnya sgt buruk...

smoga Allah beri jalan, kemudahan dan keselamatan dari azab api neraka.aminn=)

 

Post a Comment