~Inspirasi Djailuh, Sadik dan Laksamana Sunan~





Teringat.

Saya teringat watak-watak dalam Trilogi Bagaikan Puteri ini. Laksamana Sunan @ Saifuddin, Djailuh dan Sadik. Kepada sesiapa yang telah membaca trilogi ini pasti cukup kenal dengan inspirasi-inspirasi ini. Mungkin 90% daripada pembacanya setuju dengan saya: mereka memberikan impak terhadap kehidupan kita seharian. Seolah mereka hidup. Hidup memberikan inspirasi. Hidup menjanjikan satu penambahbaikan dalam diri walaupun sebenarnya mereka hanya watak khayalan hasil keajaiban buah fikiran Ramlee Awang Murshid (RAM) dan tentunya ilham dari Yang Maha Esa.



Mengapa saya teringat?


Perkaitan. Apakah perkaitan ketiga-tiga individu yang saya sebutkan ini? Kalau saya ceritakan semua umpama saya mengulas novel ini pula. Sudah terlalu lapuk untuk ulasannya kerana RAM sudah muncul dengan 2 novel baru selepas berakhirnya trilogi ini: Hijab Sang Pencinta.



Perkaitan. Perkaitan antara watak-watak ini adalah persahabatan. Ya persahabatan. Semua kita bersahabat dan persahabatan itu diintrepitasikan dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Dan itu yang membezakan persahabatan 'kita' dan 'dia'. Djailuh, Sadik dan Saifuddin: 3 sahabat yang bersahabat kerana Allah. Bersama-sama berjuang menentang mungkar dan sama-sama menyokong tatkala duka dan lara.



Pengorbanan. Elemen penting dalam bersahabat. Umpamanya ketika Sang Laksamana Sunan itu berterus-terang dengan Djailuh bahawa dia tahu Djailuh juga mempunyai perasaan kepada Haryani, Sunan rela berkorban untuk Djailuh. Pengakuan itu membuatkan Djailuh sangat-sangat malu dengan ketulusan hati sahabatnya. Malu yang teramat-amat sangat sehingga dia melarikan diri ke hutan. Di situ dia melepaskan tangisannya. Tangisan keharuan atas ketulusan hati seorang sahabat.



Juga ingatkah dengan Sadik? Sadik yang tidak mahir dalam persilatan, yang tidak punya kekuatan untuk melawan lawan seampuh Ratna Sang Ratu? Tatkala Sang Laksamana itu tidak terdaya melawan kesakitan akibat panahan sihir dan berhadapan dengan mata pedang Sang Ratu... Sadiklah yang berada di hadapannya. Sadiklah yang mempertahankan Saifuddin atas nama kasih dan tekad yang jitu walhal tahu dirinya takkan mampu berbuat demikian. Benar, dengan sekali tepis sahaja, Sadik tersungkur jauh dari Sang Laksamana.



Kala Sang Laksamana bersedih dengan kematian isterinya... siapakah yang dapat menebak hati Laksamana Sunan itu? Jawapannya Sadik. Sadik berkongsi kesedihan dengan Saifuddin dan sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya.



Lihatlah inspirasi-inspirasi ini. Memberi pengorbanan yang tiada nilainya untuk sahabatnya. Memang ia hanyalah watak-watak yang dicipta untuk novel ini, tapi keperibadian mereka ini tidak mustahil untuk direalitikan dan dibumikan. Bila teringatkan mereka-mereka ini, saya rasa gugah dan lemah. Sungguh... terasa.



Pengorbanan. Pengorbanan yang menjadikan ukhwah itu indah. Pengorbanan yang berdiri di atas landasan keimanan dan keikhlasan: bermakna kita tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada sahabat kita. Ya, kita korbankan ruang jiwa untuk sahabat kita... memendam ketidakpuashatian hanya dalam hati kerana kita tahu bagaimana penerimaannya. Bagaimana dia akan bersedih dengan penyataan itu. Demi untuk tidak melihatnya bersedih kita pendamkan sahaja. Diam itu emas yang berselindung di sebaliknya kesabaran. Ruang jiwa terkorban.



Kita korbankan wang ringgit, masa dan diri untuk sahabat kita. Mengapa? Kerana dasarnya ukhwah tertinggi itu itsar iaitu melebihkan sahabat daripada diri sendiri manakala ukhwah terendah adalah berlapang dada. Tidak mengharapkan sebarang balasan daripadanya, ikhlas jiwa dan raga kerana sesungguhnya Allah jugalah sebaik-baik pemberi balasan.



Adakah sahabat kita faham perkara yang sama?




Allah, saya malu apabila teringatkan watak-watak ini. Saya tidak mampu menjadi sehebat mereka. Lemah dan gugah, rasa tidak terdaya dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya hidup ini suatu anafora. Pengulangan ujian setiap masa. Ujian tanpa jemu bertamu tanda teguran kasih sayang Allah kepada kita. Seorang ulama pernah menyebut;




" Allah swt tahu manusia ini tidak akan mampu menerima nasihat berupa kata-kata, lalu Dia turunkan ujian dan musibah agar manusia belajar daripadanya..."




Sungguh, pengalaman itu guru terbaik. Memetik kata-kata Ustaz Khairul dalm kuliah tafsir:


" Kita boleh katakan apa-apa sahaja sewaktu dalam keadaan normal. Tapi sewaktu kita diuji, kita tak akan mampu untuk melakukan apa yang kita katakan..."



Terasakah dengan ungkapan itu? Saya, terus-terang...terasa. Amat-amat terasa.


" Tak ape, tenangkan diri dulu. Buat solat sunat dan baca Surah Ar-Rahman, minta pada Allah agar dilembutkan hati dia dan hati kamu. "
Ahmad Zahiruddin.


Allah jugalah yang memegang hati-hati ini dan Dialah juga yang membolak-balikkannya. Tiada pengaduan lain selain dari Allah dan pada-Nya lah tempat berserah diri. Ukhwah yang dibina hanya kepada Allah, bersandarkan iman dan ikhlas.



Djailuh, Sadik dan Saifuddin... inspirasi yang hidup dalam diri saya. Memberi makna mengungkap erti persahabatan yang sebenarnya. Walau gugah walau lemah bukan bermakna penamat bagi segala-galanya. Permulaan baru itu sentiasa ada. Bukankah seorang mukmin itu tidak akan jatuh ke lubang yang sama untuk kali kedua?



Sahabat... maafkan saya...


*Teruja kerana bakal bertemu lagi dengan Laksamana Sunan dalam Cinta Sufi. Apabila RAM mengatakan dia mengekalkan dialog ' mahukah engkau mendengar tawaranku' dan ' sebagai insan, aku sayang padamu', saya sudah menjangkakan cerita yang hebat dari RAM. Saya sudah terbayang pertarungan hebat antara dua pemegang akidah yang berbeza: percaya pada Allah dan si tunggangan syaitan di dunia. Saya tunggu Cinta Sufi dan semoga Allah panjangkan umur saya sehingga ke hari itu. Aminn...

5 comments:

This comment has been removed by the author.
 

wow! olahan yang cukup menarik.
memang tersentuh.

tertarik dengan,
"..pengorbanan yang berdiri di atas landasan keimanan dan keikhlasan: bermakan kita tidak mengaharapkan apa-apa balasan dari sahabat kita.."

hmm bergantung pada kondisi. adakalanya win win situation pun penting agar diri terasa dihargai. Sebab tu la dalam bersahabat, sifat saling memahami dan alert antara satu sama lain tu sangatla penting. Supaya tak timbul ketidak puasan hati.

 

betul tu...
sebab itu saya tulis di situ
"adakah sahabat kita faham perkara yang sama?"

pengorbanan memang menjadi rempah sebuah persahabatan namun bukankah lebih baik andai kita saling lengkap-melengkapi tanpa ada jiwa yang terkorban?

bukan mudah...
tapi itulah ertinya persahabatan.
peace=)

 

salam...
pengolahan yg baik dan menarik..
tahniah..
sampai skrg bila org tnya...
...apa itu ukhuwah...?
<>

 

thaqifatul rifhah...

terima kasih...
Allah jua pembei ilham.

Ukhwah itu berpaksikan iman=)
suka gunakan frasa ni.

 

Post a Comment