~Dengarkanlah bicara ORANG yang TELAH MATI~



Adakah anda gerun mendengar istilah kematian? Setiap manusia akan menghadapinya tak mengira usia, darjat, keturunan, bangsa, derhaka atau seorang abid pun bakal kembali menemui Allah SWT.


Kematian mengungkapkan pengakhiran kehidupan. Tidak kah kita sedar, ia adalah permulaan kehidupan kita yang hakiki. Permulaan menuju kehidupan abadi, permulaan untuk menatap wajah Allah SWT... Tidakkah kita merinduinya?


Saya sebenarnya baru membeli sebuah buku Jumaat lalu- Langit Ilahi Tuhan tidak melupakan kita. Ada 1 bahagian yang membuatkan saya terkedu ketika membaca buku tersebut. InsyaAllah dalam post yang akan datang, saya akan ulas sedikit mengenai buku tersebut.


Sebelum ini memang saya tidak pernah terfikir berkenaan isu ini. Tidak sama sekali. Bicara si mati? Benarkah mampu si mati yang sudah bercerai nyawa dari jasad itu berbicara?


Bagaimana hendak mendengar bicara orang yang telah mati? Bukankah kita dipisahkan oleh 2 dimensi yang berbeza. Dua alam yang berbeza, 2 fasa kehidupan yang berbeza. Nah, sesungguhnya di sinilah terbuktinya mukjizat kalam suci Al-Quran nur kareem. Al-Quran menjadi "pembesar suara" untuk kita mengetahui apa yang berlaku di alam barzakh.


Anda tahu tak kisah pemuda soleh yang terpatri dalam surah Yassin?


"Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas. Lalu dia berkata ' Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu."

Yassin: 20


Malang sekali, kaumnya turut mendustakannya dan tidak menerima ajakannya, malahan pula dia dipukul dan diseksa sehingga mati. Maka dia dibangkitkan di alam barzakh, lalu Allah tunjukkan kepadanya seluruh balasan atas usaha dan kerja yang dilakukan untuk mengajak manusia menuju kebaikan. Maka tahukah anda apakah bicara orang soleh yang telah mati itu?


" Alangkah baiknya, sekiranya kaumku mengetahui hal ini (yakni balasan yang ku perolehi kerana mentaati Allah."

Yassin:26


Apakah makna kata-kata lelaki ini?

Maknanya ialah ketahuilah bahawa semua manusia di dunia ini apabila mereka mati dan ditunjukkan balasan amal mereka, semuanya hendak berkata seperti mana bicara orang soleh itu tadi. Semuanya hendak memberitahu apakah yang mereka dapat sebagai balasan amal kebajikan mereka di dunia.


Kenapa mereka hendak memberitahu yang hidup sedangkan mereka telah mati? Kerana mereka ingin kita yang hidup ini tahu akan segala ganjaran-ganjaran itu dan berasa ghairah untuk berlumba-lumba mendapatkannya. Malah kata-kata itu turut bermaksud, seandainya mereka dihidupkan semula maka mereka akan melakukan perkara yang sama. Taat kepada perintah Allah SWT.


Mahu mendengar 1 lagi bicara?

Cuba buka surah As-sajadah, ayat ke 12:


" Dan apabila penderhaka-penderhaka melihat apa yang disediakan untuk mereka (di akhirat), maka mereka berkata ...Ya Rabbana, kami telah melihat, kami telah mendengar, maka pulangkanlah kami ke dunia untuk beramal soleh, sesungguhnya sekarang kami benar-benar percaya..."


Nah, bicara siapakah ini? Inilah bicara si penderhaka. Hidupnya bergelumang dengan maksiat, yang ingkar di dunia dan setelah mendapat balasan di akhirat inilah bicara mereka. Apabila kita mendengar bicara mereka, tidakkah kita sedar bahawa mereka memberi peringatan kepada kita agar tidak mengikuti jejak langkah mereka?


Bicara-bicara ini sebenarnya sudah tidak berguna bagi mereka. Telah tertutup segala kunci kebaikan, telah tertutup peluang untuk bertaubat. Bicara mereka hakikatnya untuk kita. Ya... KITA. Selagi kita masih hidup, dengarkanlah bicara-bicara ini dan ambillah iktibar daripadanya. Dua dunia yang berbeza waktu dan dimensi ini, dihubungkan Allah SWT dengan ayat-ayatnya... MENGINGATKAN KITA SEBELUM TERLEWAT...


Telah dengarkah anda bicara-bicara orang yang telah mati?


Ingin mendengarnya lagi?...





0 comments:

Post a Comment