~Kenapa surah NUH?~


Kenapa surah Nuh?
Seseorang bertanya kepada saya...

Bacalah Surah Nuh. Saya menyeru sekali lagi... bacalah. Bacalah dan tadabbur. Surah itu penuh dengan inspirasi untuk seorang pendakwah.
Mari kita baca sebahagian darinya.

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya
harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?
“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,


“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,


“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.


Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).


“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.


“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.

Ayat 5-24 Surah Nuh

Lihat… Nabi Nuh ini melalui semua itu selama 950 tahun. Dia tidak henti-henti berusaha. Kalau cara terang-terangan tak berjaya, dia ubah kepada senyap-senyap, bila lama menggunakan cara senyap-senyap dan tidak berjaya, dia kembali menggunakan cara terang terangan. Kalau dengan menyatakan berita gembira tidak berjaya, dia cuba membawa pula kepada ancaman neraka.

Rasul ALLAH bernama Nuh ini tidak pernah lesu, tidak pernah letih, tidak pernah bosan, tidak pernah jemu melalui 950 tahun dakwahnya dalam keadaan manusia menyumbat telinga, memalingkan muka, memasukkan muka ke dalam baju apabila dia menyeru.

Bayangkan kalian, bila kalian berucap, semua pendengar menyumbat telinga mereka dengan jari telunjuk, apakah kalian mampu berbicara? Tidak. Jangan bohong saya. Hari ini, sudah hampir pupus manusia yang mempunyai kesabaran seperti Nabi Nuh ini.

Tetapi Nabi Nuh, dia terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul, sebagai da’ie, sebagai penyeru, sebagai pembawa manusia ke arah kebenaran.

Tahukah kalian, 950 tahun itu, berapa ramaikah pengikut Nabi Nuh?

Diriwayatkan bahawa, pengikutnya pada penghujung 950 tahun hanyalah 83 orang sahaja. Sedikit bukan? Hatta anak dan isterinya juga menolak dakwahnya. Tetapi apakah dia kecewa dengan sedikit yang menyahut seruannya? Adakah dia berhenti? Tidak… Malah dia teruskan dakwahnya. 950 tahun dilangkahi dengan penuh tabah.


Kalau kita bagaimana? Baru hendak mengajar budak sekolah rendah ABC, sudah marah-marah kerana lambatnya budak itu menangkap ajaran kita. Kalau kita fikir semula, sekurang-kurangnya budak itu tidak menyumbat telinganya dari mendengar ajaran kita.
Kemudian Nabi Nuh diuji lagi, apabila ALLAH SWT mengarahkan dia membuat bahtera.

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh:


“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.
Surah Hud ayat 36-37.


Manusia tambah mengejeknya gila.
“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya.” Surah Hud ayat 38.
Namun dia tetap tabah. Terus melaksanakan arahan ALLAH SWT tanpa bertanya, tanpa rasa kecewa, tanpa rasa tak bermakna. Dia terus melaksanakan kerja-kerja yang diarahkan.
Kita lihat di sini, Nabi Nuh tidak pula membentak kepada Allah.


Tidak.

Nabi Nuh sedikit pun tidak berkata begitu. Dia taat, patuh tanpa banyak soal.
Kita bagaimana? Baru kata jangan couple, kita dah sibuk tanya: “Kenapa tak boleh? Salah ke? Apa yang salah? Kenapa salah?” Dan sebagainya.

Nabi Nuh kemudiannya diuji lagi, sudahlah 950 tahun dilalui dengan kesusahan, kemudian diminta pula membuat bahtera keseorangan, dikutuk gila atas arahan TUHAN, ketika peristiwa banjir besar yang diiturunkan ALLAH kepada kaumnya sebagai hukuman, dia diuji lagi dengan anaknya sendiri tenggelam tidak selamat, mati dalam kekafiran di hadapan matanya.


Adakah dia patah hati dengan dakwahnya?
Tidak…


Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Surah Hud ayat 47.

Dia terus menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie sebaik sahaja bahteranya mendarat di bukit Judiy, terus mendidik 83 orang yang naik ke bahteranya itu, sehingga ke akhir hayatnya, dan buat sementara selepas zamannya, manusia menikmati kehidupan dalam keimanan dengan tenang, sebelum zaman berzaman berlalu dan manusia dengan sifatnya yang pelupa melupakan arahan ALLAH sekali lagi.


Nah…
Setelah menyelusuri perkara ini bersama saya, apakah yang kalian dapat?
Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan kalian telah berusaha sebagai alasan untuk kalian mengundur dan berputus asa atas jalan ini? Adakah usaha kalian setegar usaha Nuh?

Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan yang kalian telah kekeringan idea untuk menyeru manusia kembali kepada ALLAH? Adakah kalian ini dikurniakan kehidupan yang teramat panjang seperti Nuh untuk kalian kehabisan idea sehingga tak terkeluar apa-apa lagi kekreatifan dari kepala kalian?
Tak mahu menyeru? Malas? Penat?

Wahai manusia, apakah kamu sudah putus asa untuk meneruskan pekerjaan kamu? Adakah kamu sudah berputus asa mencari rahmat dan maghfirah Allah kamu? Adakah kamu sudah penat dalam melakukan amal kebaikan? Adakah kamu sudah rasa bosan taat kepada Allah?
...................




~SPECIAL DEDICATION 2 ALL NEW COMMITTEE MEMBERS OF BALAI ISLAM KK4 09/10~

~Bila @isya_YuSra demam~


Muhasabah cinta-Edcoustic


Wahai Pemilik nyawaku betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu kupasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru kusedar indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur kini kuharapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini ya ilahi..
Muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku lindungiku dari putus asa
Jika kuharus mati pertemukan aku dengan-Mu


Demam saya kembali menyerang hari ini. Badan saya panas, bercampur selsema, pening kepala dan batuk. Dua minggu lepas saya demam juga. Simptom-simptom yang sama juga kali ini. Dua hari lepas, saya menemani kawan saya ke klinik universiti untuk mendapatkan rawatan sakit mata. Tak sangka rupa-rupanya hari ini saya demam kembali.


Dua hari lepas...

Roomate saya demam. Kawan saya sakit mata. Saya pula sihat walafiat. Saya lihat ubat-ubat yang roomate saya makan. Banyaknyaa... Petang itu, saya teman kawan saya yang sakit mata tu pergi ke klinik. Ramainya orang sakit. Kebanyakan demam...saya rasa. Saya berada di tengah-tengah kelompok mereka.

Dalam hati, saya memanjatkan kesyukuran. Alhamdullillah saya sihat.

Hari ini... saya pula yang kurang sihat. Bermula pagi semalam saya selsema. Macam orang baru lepas nangis. Hari ini, bertambah teruk... ditambah pula dengan pening kepala.huhu..


Saya... bukanlah seseorang yang jenis terikut-ikut dengan kesihatan yang kurang baik. Maksudnya di sini, saya tak akan 'memanjakan' diri saya hanya kerana demam. Sesetengah orang bila demam, mind set nya telah diprogramkan

"aku demam...aku tak larat..."

"peninglah...nak jalan pun tak larat."


Malah ada yang berbaring sepanjang hari. Mengharap makan disediakan, disuapkan. Tapi saya tidak. Kalau saya demam, saya akan buat perkara-perkara yang boleh mengeluarkan peluh. Tujuannya supaya saya cepat sihat.
Malam semalam saya suda dapat rasakan yang saya akan demam. Namun, saya programkan minda saya- jangan dilayan sangat demam tu.


Pagi-pagi lagi saya sudah bangun. Lebih awal daripada roomate2 saya yang sihat walafiat. Mandi dan bersarapan di bawah dengan teman. Kemudian saya menjahit baju, menyiapkan report makmal, mengadap komputer, turun semula ke dewan santapan-tapau makanan tengahari dan makan.

Kalau di rumah, saya tetap buat kerja-kerja seperti biasa tapi dalam kelajuan yang paling rendahlah. Kadang-kadang saja melompat-lompat setempat untuk keluarkan peluh.hihihi. Bila saya demam, antara minuman wajib saya- air limau nipis suam. Di sini, tak bolehlah nak buat air tersebut. Limaunya tak ada. Sesiapa yang sayangkan saya...boleh belanja air limau suam?? hehe...


Pukul 1 petang, pening kepala saya semakin menjadi-jadi. Saya makan panadol sebiji kemudian bergerak ke katil. Hajat di hati ingin berehat sekejap sementara menunggu Zohor tapi nampaknya tak kesampaian. Kepala saya bertambah pening bila mendengar sekumpulan pelajar India berlatih lagu kebudayaan mereka. Lagu tamil. huhu. Kalau hindustan saya tak la kisah sangat. Sangat kuat...seolah-olah saya rasakan berada dalam panggung cerita Tamil. Tak bolehkah berlatih senyap-senyap? Buat gaya cukuplah, jangan keluarkan suara. Boleh? hehe


Pukul 1.15 mereka senyap tiba-tiba. Saya sangkakan mereka sudah tamat latihan. Amanlah... tidur 15 minit pun jadilah. Rupa-rupanya tidak. Mereka tukar lagu lain pulak.huhu...

Saya memang tak mampu nak buat apa-apa lagi. Kepala saya semakin memberat. Saya sapu minyak cap kapak dan saya ajak roomate2 saya bersembang. Kalau saya layan pening tu lagilah terasa sakitnya. Saya ambil nota, saya baca sambil baring. Lusa saya ada test, jadi saya tak mahu sia-siakan waktu yang ada. Akhirnya, saya terlena dengan nota bab Fungi di tangan.

Bangun dari tidur, saya rasakan sedikit kelainan. Pening kepala sudah surut tapi masih selsema. Alhamdullillah... semoga esok saya akan sihat sepenuhnya.

~Jadilah seperti daun besar~


Renungan yg baik untuk kita semua...


Pada sebatang pohon kecil, hiduplah beberapa daun yang tumbuh bersama. Di antara daun-daun tersebut terdapat sehelai daun yang sangat besar dan kuat. Daun itu diagung-agungkan kerana kekuatannya.Ia lah yang dianggap pelindung bagi daun-daun lainnya dari badai, hujan, panas matahari yang terik, dan bahaya lainnya.



Suatu ketika datanglah musim kemarau yang panjang. Daun-daun di pohon kecil itu mulai layu kerana tidak mendapat air dan makanan. Daun besar yang tadinya kuat dan besar mulai kering. Ia berusaha melindungi daun-daun lainnya dari matahari yang bersinar sangat terik sehingga daun-daun sahabatnya itu tidak kehilangan air lebih banyak lagi.


Hari berganti hari, daun besar itu sudah sampai pada puncak usahanya. Ia mulai berlubang-lubang sehingga sinar matahari mulai menembusinya. Ia mulai kehilangan kekuatan dan daun-daun lain pun sudah mulai mengabaikannya kerana ia tidak kuat lagi seperti dulu.


Beberapa hari kemudian daun besar itu merasa tidak kuat lagi dan berkata kepada teman-temannya :


"Teman-teman aku tidak lagi mempunyai kekuatan untuk melindungi kalian, aku akan gugur. Selamat tinggal. "


Setelah berkata demikian akhirnya daun besar itu pun gugurlah. Musim kemarau terus berlanjutan, daun-daun di pohon kecil itu saling bertahan untuk hidup. Mereka sama sekali sudah melupakan daun besar yang telah berjasa melindungi mereka sehingga mereka dapat bertahan sampai sekarang.


Musim kemarau tidak juga berakhir. Daun-daun di pohon kecil itu sudah mulai kehilangan harapan. Mereka merasa sangat kelaparan, kehausan dan akan mati. Di saat mereka putus asa, tiba tiba dirasakan adanya air dan makanan dari tanah. Mereka kehairanan dengan keajaiban itu.


Setelah lama mencari-cari, mereka menyedarinya. Mereka melihat daun besar itu sudah membusuk dan menghasilkan air serta sari makanan bagi mereka. Akhirnya dengan air dan sari makanan dari daun besar tadi, daun-daun di pohon kecil itu mampu bertahan sampai musim hujan datang.Daun-daun di pohon kecil itu sangat menyesal kerana telah melupakan daun besar.


Padahal sampai akhir hayatnya daun besar itu tetap menjadi pahlawan bagi daun-daun lainnya.Renungan bagi kita :



Janganlah menilai seseorang dengan penampilan dan kekuatannya saja.Tuhan memberikan bantuan kepada kita melalui sesiapa saja bahkan melalui orang yang kita anggap telah jatuh dan hina. Ingatlah rencana Tuhan itu ajaib dan tidak ada pilih kasih terhadap semua hambanya.

~Langit ilahi~


Saya berjaya menghabiskan buku Langit Ilahi: Tuhan tidak lupakan kita ini pada hari Rabu, tepat 9.25 pagi. Sementara menunggu lecturer masuk, saya khusyuk membaca. Oh ada hikmahnya ye lecturer saya terperangkap dalam kesesakan jalan raya=). 60 bab dalam buku ini saya hayati dengan penuh minat. Menarik. Gaya yang bersahaja dan penuh ilmiah.

Mengenali Hilal Asyraf melalui websitenya langitilahi.com menyebabkan saya tertarik untuk membeli buku ini. Saya jumpa buku ini dahulu, buka websitenya dan baru beli bukunya...hihi. Beli di Pekan Buku harganya dikurangkan kepada RM18.90...bermakna saya jimat rm2 lebih.

Secara keseluruhannya saya dapat membahagikan buku ini kepada beberapa bahagian daripada 60 bab tersebut.

Menyentuh bab hakikat kita sebagai manusia membuat saya terfikir. Kita sebenarnya makhluk mulia. Firman Allah yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami ciptakan insan itu dengan sebaik-baik penciptaan."

At-tin:4

Cuba kita fikir, bagaimana jika Allah menjadikan kita sebagai batu? Batu yang saban hari dipijak orang, batu yang kadang-kadanng di baling pada monyet. Kalau dijadikan sebagai kambing pula macam mana? Kambing yang takut pada air, yang menunggu untuk disembelih? Cuba bayangkan. Justeru kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat kehidupan kita. Jangan memandang orang yang rendah darjatnya, kurang pelajarannya kerana hakikatnya kita ini makhluk yang mulia. Kita semua sama, yang menjadikan kita lebih mulia hanyalah IMAN dan TAQWA.

Dari mana kita datang, kenapa kita didatangkan dan ke mana kita hendak pergi? Jawapannya hanya 1 iaitu ALLAH. Datang dari Allah untuk beribadat pada Nya untuk kembali ke syurga. Jelas bukan?

Satu lagi bab yang menarik minat saya ialah Motivasi dalam Sirah. Saya minat juga bab-bab sejarah ni (ambil kursus pun tentang sejarah). Sirah rasul dan para sahabat memberikan banyak pengajaran. Kita belajar dari sirah, mengambil motivasinya untuk menjadi lebih semangat, tawaduk dan tawakkal dalam hidup.

Kadang-kadang kita mungkin tersentuh dengan sirah-sirah terdahulu, tapi kita jarang mengambil pengajaran daripadanya. Bagai angin lalu... bila angin yang membawa bayu sejuk menyapa, kita akan merasa kesejukannya, namun bila ia berlalu pergi kita lupa akan kesejukkan itu.

Menarik. Buku ini menarik apabila diselitkan dengan pengalaman penulis sendiri. Saya sangat menyukai keperibadian Dr Thowalbeh, mudir dan Sir Abduh.

' Hikmah orang tua perlu ada dalam semangat orang muda'

Betul juga. Saya teringat juga pada Ustaz Ustazah dan guru-guru saya di sekolah dan universiti. Memang kita perlu sematkan hikmah mereka dalam diri kita- orang muda.hihihi.

Tapi saya rasakan buku ni seolah-olah tergantung kerana di akhiri dengan cerita tentang Sir Abduh. Saya tercengang-cengang. Eh, dah habis ke? Saya selak muka surat belakang... memang tiada tulisan lagi, yang ada hanya gambar-gambar buku baru. Eh, dah habis?? Saya memang rasa tak puas hati. huhu

Saya tahu, pengisian dalam buku ini adalah hasil dari tulisan dalam blog beliau yang terdahulu. Namun, saya akui... saya berpuas hati akan isinya tapi bukan endingnya... hihi. Tak rugi rasanya saya membeli buku ini. Seronok, enjoy dan bermanfaat. Belilah, kalau nak pinjam pun saya sedia beri...

Andai mendongak ke LANGIT

adakah itu tandanya sombong dan lupa diri?

Tiadakah di sana kasih Ilahi yang dicari?

LANGIT ILAHI- di sini kasih terpatri!

~400x1~

Tak tahu bagaimana mahu memulakan post ini. Saya terfikir 2 perkara saat ini, yang kedua-duanya sangat berkaitan. Lalu, saya memutuskan: saya simpan yang buruk dan ceritakan hikmahnya. Itu lebih bererti dan bermakna... hihi. Emosi saya tidak 100% seimbang semalam. Geram saya menggunung, seakan-akan mahu tercetusnya letupan. Memuntahkan lahar panas. Wah, overnya ayat saya...hihi.

Jujurnya saya tidak tahu. Mengapa yang baru ini sama dengan yang lama? Saya terfikir. Saya merenung... Akhirnya saya putuskan.


"Ini adalah ujian. Allah ingin menduga saya kerana Dia menyayangi saya. Dia mahu saya kenal akan diversiti ciptaan-Nya. Ini adalah tarbiahnya."


Saya tersenyum... berpuas hati dengan jawapan tersebut. Namun syaitan masih cuba menyuntik hasutannya kepada saya. Tak peduli...saya tetap tersenyum. Seorang diri. Apa pandangan anda? Saya tidak waras?


Saya teringat kata-kata seseorang yang boleh saya panggilnya adik. Saya agak rapat dengannya semenjak menjejak kaki ke universiti. Saya mengadu pada mulanya. Mengadu kepenatan membuat kerja rumah seorang diri tanpa bantuan sedangkan di sisi ada orang yang boleh membantu. Sayalah yang memasak, sayalah yang menyapu sampah, sayalah yang menyiang ikan. Pendek kata semua saya buat.Bersungguh-sungguh saya mengadu. Saya penat. Teramat-amat penat.


Namun, hanya jawapan pendek yang dia berikan:


" Buatlah kerja tu dengan senyuman dan keikhlasan."


Saya tertawa. Saya katakan sebegitu banyak aduan saya, dia hanya menjawab dengan 7 perkataan. Dia membalas dengan ketawa juga. Hehehe: itu saja yang dia tahu.


Saya seperti disuntik semangat baru. Saya buat semua kerja dengan senyuman. Lipat baju saya senyum, ambil surat di peti surat pun saya senyum, angkat kain digigit kerengga pun saya senyum. Semua gara-gara kata- kata 'adik' saya yang seorang ni. Kepenatan yang saya rasakan sebelum ini entah melayang ke mana.


Sungguh, bila saya teringatkan perkara itu... cairlah kegeraman saya. Saya terus tersenyum dan hari ini apabila saya berjumpa lagi dengan 'ujian ALLAH ' itu dan melihat kerenahnya saya hanya perlu menggerakkan sedikit mulut saya agar membentuk lekukan senyuman. Saya niatkan senyum saya itu sebagai ibadah, sebagai penyucian hati dan sebagai husnulzhon. Kalau anda kata saya tak waras terpulanglah pada anda. Niat saya hanya seperti di atas

~ibadah-penyucian hati-husnulzhon~





Kenapa ya kalau kita tersenyum hati akan gembira?



Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.



Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.


Anda juga perlu sedar bahawa bayi lebih banyak tersenyum dari orang dewasa. Bayi senyum 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Wah, kita orang dewasa kedekut senyuman ye.

Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.


Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.




Kawan saya pernah bergurau. Mengatakan saya bayi- tak ada gigi. Ooh, saya ingin menjadi bayi bermula saat ini. Tapi bukan dari segi fizikal dan bersikap seperti bayi... tapi saya ingin mencuba untuk senyum 400 kali sehari. Sesiapa yang menerima senyuman saya (termasuk almari, cermin, semut, skrin laptop dan kawan-kawan) itu termasuk target 400 kali senyum saya...hihi.


Mudah mendapat pahala bila diniatkan untuk ibadah

Mudah beroleh ketenangan jiwa bila tiada berburuk sangka


Senyumlah... Ada sesiapa yang mahu sertai kempen 400x1 hari saya? Tiada yuran penyertaan, yang perlu hanya SENYUMAN IKHLAS ANDA.


~Anda golongan yang mana?~


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah IA mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.S

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun."

Lalu sambil berkata,

"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang Ada Dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana Mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

~Kira dan tunggu~

Hari ini saya rasa panas membahang. Walaupun dewan kuliah di fakulti saya berpenghawa dingin, saya tetap rasa panas.

Saya mengantuk.

Saya lapar.

Allah, hari saya terasa panjang. Sememangnya jadual saya agak padat untuk semester ini. Isnin hingga Rabu, sepanjang semester. Hari ini adalah hari yang paling padat. Kelas saya bermula 8 pagi dan berakhir jam 5 petang, hanya berhenti rehat sejam untuk solat Zohor. Saya tidak pernah berasa penat dan lelah seperti hari ini. Perut saya berbunyi-bunyi kira-kira jam 12.30 tengahari. Wah, dari terasa lapar, saya geli hati. Geli hati mendengar bunyi perut sendiri. Hahaha…

Saya sangat mengantuk. Saya mengira-ngira waktu. Jika amali tamat awal pada hari ini, saya akan terus mencari bantal sebaik sampai di kolej. Saya mengira-ngira juga. Mengapa terlalu lapar dan mengantuk. Saya mengira-ngira dengan jari. Ooh… mungkinkah?

Pelbagai cubaan menduga saya hari ini. Menduga kesabaran terutamanya. Menjadi kumpulan terakhir untuk evaluation memang teruji kesabaran. Tetap menunggu dalam sabar, dalam keadaan mengantuk dan lapar. Fikiran saya membayangkan bantal dan katil bercadar hijau. Fikiran saya melayang lagi…

Oh, hari ini 27 Rejab. Kita sedia maklum hari ini hari Israk dan Mikraj. Bercakap tentang ujian, ia lebih hebat -bukan sahaja menguji kesabaran tapi keyakinan.

Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rasulullah saw sesungguhnya menguji keyakinan umat Islam ketika itu. Peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah saw itu dianggap tidak masuk akal oleh golongan kafir dan munafik pada masa itu. Malah ia turut diragui oleh sebilangan umat Islam yang tipis imannya. Peristiwa Israk dan Mikraj memang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad saw.

Semasa dalam perjalanan israk dan mikraj ini Nabi saw telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa suka dan duka; menghibur dan menakutkan silih berganti. Rasanya tak perlu saya ceritakan di sini.

Peristiwa besar dalam Israk dan Mikraj ini ialah apabila Rasulullah saw menerima perintah mengerjakan solat. Berbeza dengan ibadat lain seperi puasa, haji, zakat, ibadat solat diterima secara langsung daripada Allah swt.

Perintah bersolat. Anda tahu tak bahawa kita selalu mengulang-ulang peristiwa ini dalam kehidupan seharian kita? Asasnya 8 kali sehari, tidak tercampur dengan yang sunat.

Pabila telah mendapat perintah solat dari Allah, maka berkatalah Rasullullah:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.”

Dan Allah menjawab,
"Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya."

Jawab rasul saw
"Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. "

Dan berkata pula para malaikat yang mendengar perbualan tersebut,
"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad"

Tahukah anda perbualan tersebut adalah bacaan dalam tahiyat? Hmm…semoga kita lebih menghayati dan khusyuk dalam solat selepas mengetahui akan hal ini.

Saya berkira-kira lagi. Kelas sepatutnya tamat pada pukul 5 tapi telah melebihi hadnya. Tepat 5.35 petang saya tiba di bilik. Semestinya saya mencari katil dahulu. 5 minit 10 minit, saya bangun semula. Saya belum solat Asar.

Saya menunggu lagi. Menunggu waktu berbuka. Alhamdullillah ada rezeki dari Allah.
Dalam fikiran saya telah terbayang 1 perkara…saya akan laksanakannya selepas solat Isya’… Rasanya anda tahu bukan rancangan saya itu?.....

~Aku rindu pada Allah~



Tajuknya nampak menarik bukan? Tidakkah anda rindu pada Allah? Sebenarnya saya belum membaca buku ni...hihi... tapi saya postkan di sini sebagai... hmm...sebagai keinginan saya, sebagai matlamat saya= saya perlu jadikan ia koleksi peribadi. Ulasan ini saya pinjam dari blog seorang kawan. Moga kita bersama mendapat manfaatnya.

Bagaimana kita mahu menumbuhkan perasaan cinta kepada Allah? Ada 3 cara semuanya yang dituliskan oleh penulis.

Pertama

Kita harus dekat dengan Al-Quran dan wujudkan komitmen di dalam diri untuk melaksanakan perintah Allah seperti yang terkandung di dalam kitab suci itu. Kita harus sedar apabila kita membacanya adalah dengan tujuan cuba memahami apa yang dibaca dan bersungguh-sungguh membaca dengan tartil serta cuba untuk menangis ketika membacanya.

Kita renung sedikit hadis ini,

Siapa yang merasa senang dapat mencintai Allah dan RasulNya, makahendaklah dia membaca al-Quran. (Hasan - Diriwayatkan oleh Abu Nu'aim , Al-Baihaqi)

Allah menggunakan kaedah pengulangan dalam memberi pemahaman kepada kita dengan cara penyampaian yang berbeza di dalam kitab sucinya. Kaedah ini cenderung untuk memberi keyakinan kepada akal dan mempengaruhi perasaan.

Mari kita bersama-sama menjadikan Al-Quran sebagai aktiviti prioriti di dalam setiap hari-hari kehidupan kita. Jangan biarkan hari berlalu tanpa membaca Al-Quran dan maknanya. Biar satu ayat sahaja dibaca, tetapi jikalau kita konsisten, maka itu sudah cukup bermakna. Janganlah kita menjadi manusia yang membaca buku keduniaan bertimbun-timbun, tetapi Al-Quran sekali sekala sahaja dijenguk. Selain itu, kita juga harus membiasakan diri membaca hadis-hadis Rasulullah saw.

Saya petik lagi kata-kata Ibnu Rajab yang diperolehi melalui buku ini iaitu :

Mendengarkan Al-Quran itu sama sahaja dengan menumbuhkan Al-Quran dalam hati, sebagaimana air mampu menumbuhkan sayur-sayuran

Kedua

Anda boleh baca secara detail pada halaman 239. Secara kasarnya, kaedah kedua ialah kaedah yang cuba mengajak kita berfikir balik tentang alam dan seluruh kehidupan kita. Dari situ kita akan nampak bukti-bukti keagungan Allah.


Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun? Dan kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah). (Surah Qaf - 6-8)

Ketiga

Melakukan perbuatan-perbuatan soleh. Boleh dibaca pada halaman 248. Di sini, saya suma ringkaskan sahaja. Melalui buku Aku Rindu Pada Allah, penulis memberi 6 contoh perbuatan soleh itu. Berikut ringkasannya :

Kita harus belajar mengingati nikmat-nikmat Allah. Kata penulis, kita terlalu sibuk menimbun nikmat-nikmat sahaja tanpa kita sempat memperhatikan pemberi nikmat-nikmat itu. Apabila kita suka berfikir tentang nikmat Allah, maka secara tidak langsung akan membantu kita sentiasa bersyukur. Ajaklah orang lain untuk berfikir-fikir tentang perkara sama. Wujudkan diskusi dan sembang-sembanglah sesama kawan-kawan yang bertemakan tentang nikmat-nikmat Allah.

Ambillah pelajaran daripada setiap apa yang berlaku di seluruh kehidupan kita. Kejadian yang terjadi pada diri kita sendiri juga harus dilihat sebagai pengajaran dan bukti-bukti cinta kasih Allah kepada kita. Setiap orang ada jalan kehidupannya yang tersendiri. Ada kehidupan yang susah dan ada kehidupan yang senang. Semuanya itu mengandungi makna yang bukan sia-sia dan memerlukan mata hati kita untuk memerhatinya betul-betul, bukanlah semata-mata untuk menjadi alasan kepada kita berburuk sangka kepada Allah.

Banyakkanlah mengunjungi orang sakit, orang miskin, anak yatim, penjara, kawasan peperangan, orang kurang paya dan sebagainya. Apabila kita melihat mereka, secara tidak langsung akan mewujudkan rasa syukur di dalam diri.

Susah mana pun kita, ada lagi orang yang susah. Bayangkan jikalau kita tidak ada mata, Ya Allah, tidak dapat dibayangkan. Bayangkan jikalau sakit dan hanya mampu baring sahaja di katil, Ya Allah tidak dapat juga dibayangkan.

Walaupun Allah memberi kita kesusahan dalam kehidupan tetapi kita jangan lupa Allah juga memberi perbagai nikmat lain yang tidak terkata. Tetapi kita tidak nampak nikmat-nikmat itu, apa yang kita nampak ialah dari sudut negatif. Mari kita belajar berbaik sangka kepada Allah. Binalah kehidupan yang ceria dan redha dengan setiap apa yang Allah tentukan.

Banyakkanlah ucapan Alhamdulillah. Banyakkanlah berzikir kepada Allah. Minta kepadaNya untuk sentiasa diberikan kenikmatan dan dilimpahkan rezeki. Jangan kita sombong padaNya. Kita cuma hamba. Dia adalah Tuhan yang sentiasa menyayangi dan membantu kita. Jangan lupa, bantulah orang lain untuk turut sama belajar mencintai Allah.

Belilah buku ini. Tidak rugi. Selamat bercinta kepada Allah!

~Dengarkanlah bicara ORANG yang TELAH MATI~



Adakah anda gerun mendengar istilah kematian? Setiap manusia akan menghadapinya tak mengira usia, darjat, keturunan, bangsa, derhaka atau seorang abid pun bakal kembali menemui Allah SWT.


Kematian mengungkapkan pengakhiran kehidupan. Tidak kah kita sedar, ia adalah permulaan kehidupan kita yang hakiki. Permulaan menuju kehidupan abadi, permulaan untuk menatap wajah Allah SWT... Tidakkah kita merinduinya?


Saya sebenarnya baru membeli sebuah buku Jumaat lalu- Langit Ilahi Tuhan tidak melupakan kita. Ada 1 bahagian yang membuatkan saya terkedu ketika membaca buku tersebut. InsyaAllah dalam post yang akan datang, saya akan ulas sedikit mengenai buku tersebut.


Sebelum ini memang saya tidak pernah terfikir berkenaan isu ini. Tidak sama sekali. Bicara si mati? Benarkah mampu si mati yang sudah bercerai nyawa dari jasad itu berbicara?


Bagaimana hendak mendengar bicara orang yang telah mati? Bukankah kita dipisahkan oleh 2 dimensi yang berbeza. Dua alam yang berbeza, 2 fasa kehidupan yang berbeza. Nah, sesungguhnya di sinilah terbuktinya mukjizat kalam suci Al-Quran nur kareem. Al-Quran menjadi "pembesar suara" untuk kita mengetahui apa yang berlaku di alam barzakh.


Anda tahu tak kisah pemuda soleh yang terpatri dalam surah Yassin?


"Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas. Lalu dia berkata ' Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu."

Yassin: 20


Malang sekali, kaumnya turut mendustakannya dan tidak menerima ajakannya, malahan pula dia dipukul dan diseksa sehingga mati. Maka dia dibangkitkan di alam barzakh, lalu Allah tunjukkan kepadanya seluruh balasan atas usaha dan kerja yang dilakukan untuk mengajak manusia menuju kebaikan. Maka tahukah anda apakah bicara orang soleh yang telah mati itu?


" Alangkah baiknya, sekiranya kaumku mengetahui hal ini (yakni balasan yang ku perolehi kerana mentaati Allah."

Yassin:26


Apakah makna kata-kata lelaki ini?

Maknanya ialah ketahuilah bahawa semua manusia di dunia ini apabila mereka mati dan ditunjukkan balasan amal mereka, semuanya hendak berkata seperti mana bicara orang soleh itu tadi. Semuanya hendak memberitahu apakah yang mereka dapat sebagai balasan amal kebajikan mereka di dunia.


Kenapa mereka hendak memberitahu yang hidup sedangkan mereka telah mati? Kerana mereka ingin kita yang hidup ini tahu akan segala ganjaran-ganjaran itu dan berasa ghairah untuk berlumba-lumba mendapatkannya. Malah kata-kata itu turut bermaksud, seandainya mereka dihidupkan semula maka mereka akan melakukan perkara yang sama. Taat kepada perintah Allah SWT.


Mahu mendengar 1 lagi bicara?

Cuba buka surah As-sajadah, ayat ke 12:


" Dan apabila penderhaka-penderhaka melihat apa yang disediakan untuk mereka (di akhirat), maka mereka berkata ...Ya Rabbana, kami telah melihat, kami telah mendengar, maka pulangkanlah kami ke dunia untuk beramal soleh, sesungguhnya sekarang kami benar-benar percaya..."


Nah, bicara siapakah ini? Inilah bicara si penderhaka. Hidupnya bergelumang dengan maksiat, yang ingkar di dunia dan setelah mendapat balasan di akhirat inilah bicara mereka. Apabila kita mendengar bicara mereka, tidakkah kita sedar bahawa mereka memberi peringatan kepada kita agar tidak mengikuti jejak langkah mereka?


Bicara-bicara ini sebenarnya sudah tidak berguna bagi mereka. Telah tertutup segala kunci kebaikan, telah tertutup peluang untuk bertaubat. Bicara mereka hakikatnya untuk kita. Ya... KITA. Selagi kita masih hidup, dengarkanlah bicara-bicara ini dan ambillah iktibar daripadanya. Dua dunia yang berbeza waktu dan dimensi ini, dihubungkan Allah SWT dengan ayat-ayatnya... MENGINGATKAN KITA SEBELUM TERLEWAT...


Telah dengarkah anda bicara-bicara orang yang telah mati?


Ingin mendengarnya lagi?...





~Al-mulk- mengapa ahsanu bukan aksaru?~

Perkongsiaan muslimat semalam membincangkan tentang kelebihan surah Al-Mulk. Hasil cetusan Iffah, maka terbentuklah 1 halaqah. Bila Iffah minta idea untuk perbincangan mengisi waktu antara maghrib dan Isya' itu, ana seakan-akan blur... hihi. Mungkin penat sedikit, sebab petang tu ana berjoging dengan kawan-kawan di varsiti. Sedikit perkongsian ana coretkan di sini kerana ana berasa rugi dan kecewa pulak kerana tak dapat bercakap malam tadi kerana kekangan waktu...( kak dayah cakap banyak sangat lagipun..hehe)


Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.


Ibnu Abbas menceritakan:"Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur.


Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud:

"Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka."


Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain.Diantaranya:


1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk."


2. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."


3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."


4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur."


5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.


6. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga."


Lihat...terlalu banyak kelebihan surah-surah dalam Al-Quran. Ana cuma letakkan 6 sahaja kerana ana ingin fokuskan kepada 1 isu yang kebanyakkan antara kita tak pernah perasan, atau perasan tapi buat-buat tak tahu atau memang tak tahu...



Kalau anda perasan, ayat 2 daripada Surah Al-Mulk bermaksud:

“Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun,”

Perhatikan: “…untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya”

ALLAH menggunakan kalimah ‘ahsanu’(terbaik) dan bukannya aksaru(terbanyak) dalam menyatakan tujuannya menguji manusia.


Kenapa Ahsanu? Kenapa bukan aksaru?


Saya tidak perasan juga awalnya, berkenaan persoalan ini. Selama ini, saya hanya membaca dan mengambil ayat ini sebagai dalil bahawa ALLAH menciptakan kita dengan ujian untuk melihat bagaimana kita melalui kehidupan kita, dan bagaimana kita beramal dengannya.

Tetapi, persoalannya kenapa ALLAH menggunakan kalimah Ahsanu dan bukan aksaru,?

Biasanya, kita akan melihat bahawa orang yang menderma RM1000 lebih pemurah dari orang yang mendermakan RM10 bukan?

Biasannya, kalau kita nampak orang yang solat 20 rakaat tarawih, kita akan katakan dia lebih baik dari orang yang solat 8 rakaat tarawih.

Kita, manusia, biasa mengukur sesuatu itu dengan bilangan. Banyak, maka kita akan katakan itu baik. Sikit, maka kita akan pandang rendah seakan ia tidak bernilai.

Kenapa ahsanu? Kenapa bukan aksaru?

Kalau kita melihat dari segi penerimaan amal, adakah ALLAH menerima amal berdasarkan bilangan, atau berdasarkan bagaimana amal itu dilakukan?

20 rakaat tarawih yang dilakukan secara tergopoh gapah, ataupun tanpa wudhu’, adakah lebih baik dari 8 rakaat yang dilakukan dengan tenang, teratur, dan dengan wudhu’ yang sempurna?
RM1000 yang diderma dalam keadaan terpaksa, atau menunjuk-nunjuk, adakah lebih baik dari RM10 yang didermakan dalam keadaan ikhlas, menderma dalam keadaan tangan kiri tidak mengetahui?

Menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzu’ dalam keadaan tajwid tunggang langgang, tergopoh-gapah, adakah lebih baik dari membaca 10 helai muka surat AL-Quran dalam keadaan tajwid teratur, tenang?


Kadang-kadang, kita rasa berbangga apabila kita dapat bangun qiamullail, dapat puasa, dapat zikir 1000 kali, atau dapat melakukan amal-amal yang kita rasa jarang-jarang kita buat.


“ Banyak juga amal aku” Kita akan rasa begitu.


Tetapi, pernah satu ketika, Rasulullah SAW bersabda di tengah-tengah sahabat-sahabatnya:


“ Akan berlalu di hadapan kalian selepas ini seorang ahli syurga”


Dan berlalulah seorang lelaki.
Esoknya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata yang sama, dan lelaki yang sama juga keluar. Lusanya, Rasulullah SAW mengulang lagi kata-kata baginda, dan lelaki yang sama juga keluar.


Salah seorang sahabar Rasulullah, mempunyai rasa ingin tahu, apakah amal lelaki itu sehingga dia mendapat ganjaran syurga. Maka dia mencari alasan untuk bermalam di rumah lelaki itu selama 3 hari. Namun, dia tidak melihat lelaki itu bangun mengerjakan qiamullail. Pendek kata, amal lelaki itu tidak banyak, dan tiada pula perbuatan-perbuatan istimewa yang kelihatan pada lelaki itu.


Selepas 3 hari, sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:


“ Aku mendengar Rasulullah SAW menyatakan bahawa engkau ahli syurga, tetapi aku tidak melihat pada engkau ini seorang yang bangun malam bersolat, dan tidak pula aku melihat kau mempunyai apa-apa amal yang istimewa. Maka beritahulah kepada aku, apa yang telah engkau kerjakan?”


Lelaki itu menjawab: “ Aku sebagaimana yang engkau lihat, tiada apa yanng istimewa dan tidak pula banyak amalnya. Tetapi dalam hatiku, tiada sedikit pun rasa hasad dan sangka buruk kepada saudara muslimku yang lain”


Nah, tanpa qiamullail, tanpa zikir banyak-banyak, tetapi hanya dengan itu, dia berjaya mendapat tempat di syurga. Kerana amalnya yang satu itu, ALLAH kira sebagai yang terbaik.

Sebab itu, kita tidak perlu tergopoh gapah dalam memperbanyakkan amal kita.


“ Amal yang sedikit tetapi berterusan itu, lebih baik dari amal banyak, kemudian tidak berterusan”


Hendak menjadikan amal kita sebagai amalan yang terbaik, bukannya mudah. Lebih sukar dari memperbanyakkan amal. Kita perlu menjaga hati, pergerakan, dan tindakan kita dalam amal itu. Hati perlu ikhlas, pergerakan biar teratur, dan tindakan biar cermat.


Sebagai contoh, solat. Solat nampak mudah kan? Hari-hari kita buat. Kalau sehari 5 kali solat, setahun sudah 1825 kali kita solat, itu belum ditambah solat sunat, solat raya, solat jenazah dan sebagainya. Banyak. Tetapi bagaimanakah kita mendirikan solat kita? Apakah kita sudah mendirikan solat dengan cara yang terbaik?


Kita membaca Al-Fatihah tanpa penghayatan, kita bergerak laju dari satu pergerakan ke satu pergerakan. Kadangkala kita bertarung pula dengan masa, hendak habis solat awal. Ada masa kita sengaja pula lewat-lewatkan solat kita. Itu belum dikira lagi khusyuk kita dalam solat, tumpuan kita kepada ALLAH. Hati pula, berbolak balik dari keikhlasan kepada menunjuk-nunjuk.


Tambah pula bila kita ini merupakan seorang imam, dan orang puji pula suara kita sedap dan sebagainya.

“ Maka celakalah orang yanng solat, yaitu oranng-oranng yang lalai terhadap solat mereka”
Surah Al-Ma’un ayat 4-5.


Pokoknya, ALLAH tidak ingin melihat betapa banyaknya amal kita. Tetapi ALLAH hendak melihat bagaimana kita melakukan amal kita.


Seorang yang bergaji RM3000 sebulan, tanpa hutang, lebih baik dari orang yang bergaji RM12000 sebulan tetapi hutang bertimbun keliling pinggang. Seorang yang bergaji RM3000 sebulan, dapat makan nasi, tidur cukup, hidup bahagia, lebih baik dari orang yang bergaji RM12000 sebulan, sempat makan maggi sahaja, tidur tak lena, hidup porak peranda.

“ Masalahnya bukan berapa, tetapi bagaimana”


Bukan banyak itu menjadi ukuran.


Tetapi terbaik itu yang akan mendapat perhatian.


Mari kita perbaiki kehidupan kita.Menjadikan amalan-amalan kita sebagai ahsanu amala(amalan yang terbaik)!

~coret-coret hati~

Hmm, ana terfikir... perkara apa yang patut ana postkan untuk post 'pertama' ni. hihi. Fikir dan fikir dan fikir, ana terasa nak berkongsi coretan hati dan beberapa koleksi gambar ana dengan anda semua. ..

apa khabar pokok jagung ?






Sebenarnya ana baru telefon mak ana di kampung. Bertanya khabar. Alhamdullillah mak ana sihat. Paling ana rindu saat ni, mak analah..Sempat ana bertanya tentang pokok jagung yang ana tanam sebelum kembali ke um. Hmm, mak kata nak jagung tu cuma ada daun 6 helai...hihi. Oh, tak mengapa anak jagungku... membesarlah dikau dengan rahmat Allah, dengan kasih sayang dan kudrat dari-Nya. Jangan tertipu dengan gambar di atas. Pokok tu pokok lama yang telah dicabut oleh tangan ana ni... dan analah yang menanamnya semula. Tapi, kacang bendi yang ana tanam nampaknya tak hidup..huhu

Tak ape..takpe. Hati ana teringatkan segala-galanya yang di rumah sekarang. Eh eh, baru 2 minggu berpisah. hihi. Ana teringatkan mak, abang, kakak, pokok, kucing dan segala-galanya. Dua minggu, 3 minggu mahu 1 hari setengah hari, hati ana takkan pernah melupai semua ni.

Selain pokok jagung, ana ingat-ingat juga pada ejat- yang suka buat muka slamber bila nak masuk rumah...

"Ejat... jangan masuk...keluar keluar"

hmm..tapi sikit pun dia tak layan. Masuk dengan slamber, lenggang lenggok mak minah.



Ana rindu nak siram pokok bunga...


oh...macam-macam lagi yang ana rindu...

~Wajah baru~

Assalamualaikum wbt...

Sedih rasanya perlu berpisah dengan teman sembang ana yang lama iaitu blog Al-halawah. Oleh sebab ana dah lama tak update blog tu jadi ana jadi kurang bersemangat mahu mengupdatenya semula.. hihi. Kini ana kembali dengan wajah baru bagi mewarnai arena pemblogkan ni...

Semangat baru mungkin...
hohoho...
bercakap tentang semangat, ana memang bersemangat untuk menghadapi sem baru ni... cuma satu benda je yang ana xda hati langsung..
jeng jeng jeng....
hehe..rahsia2..
xperlu kot diberitahu...
jangan marah ea.

Hmm...dengan berat hati ana telah memadam entry2 dan post2 lama dalam blog tu. Ana nak bangunkannya semula dengan cara yang baru, dengan lebih hikmah. Insyaallah. Doakan moga dipermudahkan ye. Amin Ya Rabbala'lamin.